Gubal Prosedur Pecat Wakil Rakyat Untuk Menghentikan Katak Politik Di Peringkat Negeri

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini melancarkan laporan bagi mengusulkan pelaksanaan Undang-Undang Prosedur Pecat Wakil Rakyat (Recall Procedure Law – RPL) di peringkat negeri untuk mengatasi isu lompat parti yang telah melanda Malaysia selama berdekad. RPL mengembalikan mandat kepada pengundi dengan membenarkan mereka memulakan petisyen untuk mengekalkan atau memecat ahli dewan negeri (ADUN) yang telah menukar parti untuk kepentingan peribadi atau jika kepemimpinan parti tidak setuju dengan keputusannya. Ini telah menjadi amalan di negara-negara seperti India, Jerman, Kanada dan Amerika Syarikat di mana inisiatif untuk menghentikan lompat parti telah dimulai di peringkat sub-nasional.

Laporan penyelidikan ini bertajuk “Satu Kes untuk Undang-Undang Prosedur Pecat Wakil Rakyat Peringkat Negeri untuk Mengatasi Lompat Parti di Malaysia” telah ditauliahkan oleh BERSIH 2.0 kepada Profesor Wong Chin Huat, seorang ahli sains politik terhormat yang menulisnya dengan bantuan Wo Chang Xi.

Laporan tersebut memperincikan bagaimana RPL tidak segera membuang ADUN dari kerusinya tetapi akan memulakan cadangan prosedur yang disebutkan di atas untuk ditandatangan oleh pengundi. BERSIH 2.0 kemudian mengusulkan sekumpulan pemula atau asas yang terhad agar undang-undang ini tidak disalahgunakan. Pencetus prosedur ini adalah:

  1. Sekiranya ADUN mengundurkan diri atau dipecat dari parti, kecuali untuk menjawat jawatan Speaker.
  2. Sekiranya ADUN dipilih sebagai bebas dan seterusnya bergabung dengan parti politik.
  3. Sekiranya ADUN disabitkan dengan kesalahan yang tidak dapat dikompaun setelah terpilih, kecuali yang berada di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Perhimpunan Aman 2012, atau dipenjarakan kerana kesalahan yang boleh dikompaun.
  4. Sekiranya ADUN tidak hadir dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebanyak 50% dari jumlah hari bersidang selama jangka masa enam bulan berturut-turut.

Prosesnya dimulakan dengan cadangan pemecatan, yang harus diketuai oleh penyokong utama dan ditandatangan oleh minimum 1% pemilih di kawasan pilihan raya tersebut. Sekiranya berjaya, petisyen akan meminta tandatangan yang memerlukan ambang 40% pengundi atau separuh daripada jumlah pengundi pada pilihan raya terakhir, mana-mana yang lebih rendah. Sekiranya ambang ini dipenuhi, maka kerusi tersebut diumumkan kosong dan pilihan raya kecil akan diadakan seperti kekosongan kerusi yang lain. Prosedur pemecatan hendaklah dikendalikan oleh tiga orang di dalam Lembaga Pecat Wakil Rakyat yang dicalonkan oleh Menteri Besar dan dilantik oleh Dewan Undangan Negeri. Anggota lembaga tidak boleh terdiri daripada ahli politik dan mesti ada keperwakilan gender. Keseluruhan prosedur tidak boleh melebihi 80 hari.

Manfaat RPL adalah pertama, bahawa ia mengembalikan mandat kepada pengundi untuk memutuskan dan bukannya menunggu hingga pilihan raya umum berikutnya. Kedua, ianya adalah berperlembagaan tidak seperti undang-undang anti lompat dan tidak menyekat kebebasan berpersatuan wakil rakyat. Ketiga, wakil rakyat dapat menggunakan kebebasan ini dalam isu-isu dasar dan menyertai dalam pemberontakan wakil rakyat barisan belakang atau menyokong polisi yang mereka anggap sesuai, seimbang dengan persetujuan pengundi mereka.

BERSIH 2.0 juga ingin menekankan pentingnya pembaharuan yang perlu seiring dengan RPL. Lompat parti adalah gejala isu struktural dan kepelangganan (clientelism) seperti kebergantungan pengundi terhadap wakil rakyat untuk perkhidmatan dan kurangnya pengawasan terhadap lantikan jawatan utama kerajaan dan GLC, yang membolehkan jawatan-jawatan ini diagihkan oleh Eksekutif seperti memberi gula-gula kepada kanak-kanak untuk mendapatkan sokongan dan kesetiaan. Sekiranya isu-isu struktur yang disebutkan di atas tidak ditangani dan jika pengundi menyokong lompat parti atas alasan kepelangganan, maka RPL akan menjadi kurang berkesan.

RPL adalah satu-satunya jalan keluar untuk menyelesaikan masalah-masalah lompat parti. Mekanisme lain yang sebelumnya dicadangkan oleh BERSIH 2.0 bagi mengurangkan insentif tingkah laku tersebut adalah:

  1. ‘Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan’ antara pemerintah dan parti pembangkang untuk mencegah penggulingan dan pembentukan kerajaan secara tiba-tiba yang disebabkan oleh wakil rakyat yang bercita-cita tinggi yang ingin menjadi penentu ketua; dan
  2. Pemerkasaan wakil rakyat pembangkang dan penyokong kerajaan melalui pembaharuan perundangan untuk membolehkan pembentangan rang undang-undang persendirian yang berjaya, melarang dan mengawal pelantikan utama kerajaan dan GLC, peruntukan pembangunan kawasan yang adil, pilihan raya tempatan untuk meningkatkan perkhidmatan kerajaan tempatan, mengurangkan kebergantungan pada ADUN / MP, dan reformasi Jabatan Peguam Negara, SPRM dan LHDN sehingga mereka tidak dapat dijadikan senjata oleh Eksekutif untuk mendorong lompat parti.

BERSIH 2.0 mendesak agar pelaksanaan RPL oleh kerajaan negeri sebelum Pilihan Raya Umum berikutnya sebagai pencegahan lompat parti sebelum pilihan raya dan untuk mengembalikan keyakinan pengundi yang kecewa dengan lompat parti yang bermaharajalela dalam dua tahun lepas ini.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0