Sarah Bebas, Henti Intimidasi Anak Muda

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) sangat prihatin dengan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masih menggunakan taktik mengganggu dan mengintimidasi rakyat yang hanya bersuara menyatakan kekecewaan mereka dengan kegagalan kerajaan PN untuk menangani pandemik dan ekonomi negara. Intimidasi ini bukan hanya menguatkan tekad mereka yang telah menjadi sasaran intimidasi malah rakyat Malaysia yang rasional yang geram dengan taktik pembulian tersebut.

PDRM telah menahan dan mereman pengasas Misi: Solidariti, Sarah Irdina yang berusia 20 tahun semalam, di bawah Akta Hasutan kerana ciapan Twitter beliau pada 1 Julai, menggesa rakyat menyokong protes #Lawan dengan mengibarkan bendera hitam sekiranya mereka bersetuju dengan tuntutan supaya PM meletak jawatan, buka parlimen dan tamatkan darurat. Beliau ditahan semalaman di Pusat Tahanan Reman Jinjang (KL) tetapi telah dibebaskan awal pagi tadi.

Sebelum ini, tiga aktivis anak muda juga telah dipanggil untuk soal siasat di IPD Dang Wangi disebabkan oleh protes #Lawan pada Sabtu, 31 Julai di Dataran Merdeka. Mereka adalah Tharma Pillai, Afiq Adeeb dan Mohammad Alshatry. Mereka tidak ditahan selepas kenyataan diambil.

BERSIH 2.0 mengajak semua rakyat Malaysia untuk bersolidariti dengan anak muda yang hanya mengamalkan hak perlembagaan mereka untuk bersuara dan berhimpun secara aman. Mereka hanya memperjuangkan tuntutan mereka dan suara serta aspirasi mereka wajib didengari.

Kepada mereka yang berada di Kuala Lumpur dan ingin menyokong protes aman #Lawan pada 31 Julai, pukul 11.00 pagi di Dataran Merdeka, sila pastikan anda memakai pelitup muka dengan betul, mengamalkan penjarakan sosial dan mematuhi arahan penganjur.

Sekiranya anda tidak dapat menyertainya di KL, anda boleh bersolidariti dengan memakai pakaian hitam atau menaikkan bendera hitam pada hari Sabtu.

Kami sekali lagi menggesa PDRM untuk membebaskan Sarah Irdina dengan segera daripada tahanan dan tidak melayan anak muda yang patriotik seperti penjenayah. PDRM wajib menjalankan tugas mereka untuk memastikan protes Sabtu ini berjalan dengan aman dan selamat.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0