Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memutuskan untuk menangguhkan kempen Simulasi Pilihan Raya Pecat (PRP) kerana pertimbangan situasi sosio-ekonomi yang menghalang kempen politik sebegini yang dilihat tidak bersesuaian. Keputusan ini diambil bersama rakan teknologi kami, ReGov Technologies, yang memikul sepenuhnya kos pembangunan dan penyelengaraan sistem e-undi. Sekiranya situasi mengizinkan pada masa akan datang, kami akan mengaktifkan semula kempen ini kerana sistem e-undi dan advokasi bagi pelaksanaan pilihan raya pecat wakil rakyat kekal relevan serta sangat diperlukan untuk memperkasakan pengundi bagi mencegah masalah lompat parti.
Kerjasama kami dengan ReGov untuk membangunkan penyelesaian e-undi bagi menjamin keselamatan pengundian semasa tempoh pandemik menjadi langkah menarik untuk memajukan pengundian jarak jauh. Sistem e-undi dibangunkan oleh ReGov tetap ada untuk kegunaan pada masa hadapan sekiranya ada badan yang ingin melaksanakan pilihan raya yang selamat, sahih dan dipercayai, sama ada untuk pihak berkuasa tempatan, parti politik, pemilihan wakil rakyat atau untuk mana-mana organisasi.
Advokasi BERSIH 2.0 untuk mempromosikan pilihan raya pecat sebagai penyelesaian bagi mencegah lompat parti masih berjalan dengan perundingan bersama wakil rakyat di peringkat Persekutuan mahupun Negeri dan dengan kempen kepada orang ramai. Sasaran kami adalah untuk mendapatkan komitmen parti politik supaya memasukkan pelaksanaan pilihan raya pecat ke dalam manifesto pilihan raya mereka.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0