- Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, memerhati dengan dekat perkembangan berkaitan sidang Parlimen dan politik semasa termasuk perutusan khas oleh Perdana Menteri tengah hari ini.
- Kami menggesa supaya Dewan Rakyat bersidang dengan segera, dan bukan dalam bulan September, untuk memberi laluan kepada sebuah usul percaya mahupun usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membuktikan keabsahan kepimpinannya. Namun, jika usul undi percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal kali ini, sepatutnya seorang Ahli Parlimen perlu mengemukakan sebuah usul percaya kepada calon Perdana Menteri yang lain. Ketidaktentuan dan ketidakstabilan politik tidak boleh dipanjangkan sehingga bulan September.
- Penutupan Parlimen selama dua minggu seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pengarah (KP) Kementerian Kesihatan adalah tidak logik dan tidak munasabah sedangkan kebanyakan tempat-tempat yang terdapat penularan wabak COVID-19 terus boleh dibuka selepas beberapa hari dinyah cemar. Kami menyarankan untuk dipanggil sebuah mesyuarat khas Dewan Rakyat diadakan dalam masa seminggu selepas perutusan khas Perdana Menteri hari ini.
- Penundaan sidang Parlimen sehingga ke bulan September untuk usul percaya diundi hanya akan memberi masa dan menyemarakkan kegiatan mendapatkan sokongan Ahli-ahli Parlimen dengan melompat parti melalui pelbagai ugutan, jawatan dan imbuhan sebelum sesi Parlimen bulan September. Ia juga mungkin membolehkan kerajaan Perikatan Nasional menggunakan kuasa kerajaan untuk menindas atau menyekat mereka yang mungkin mengundi tidak sokong usul percaya terhadapnya.
- Dalam mesyuarat Parlimen yang akan datang, Yang Di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat tidak boleh lagi menolak usul percaya atau tidak percaya yang dikemukakan oleh mana-mana Ahli Parlimen terhadap Perdana Menteri daripada dibentangkan dalam mesyuarat Parlimen pada 26-29 Julai, yang mana menjadi punca krisis perlembagaan yang dihadapi negara terus berpanjangan dan tidak selesai sehingga kini. YDP dan Timbalan-timbalan YDP mestilah menjalankan tugas mereka sebagai pegawai kepada Parlimen, bukan jurucakap untuk Perdana Menteri.
- Jika penutupan Parlimen sekarang atas alasan wabak COVID-19, apakah jaminan untuk KP Kementerian Kesihatan tidak akan menggunakan alasan sama pada bulan September nanti? Alasan penularan wabak COVID-19 tidak patut lagi digunakan untuk mengelakkan sidang Parlimen yang amat penting ini, sama ada diadakan dalam masa terdekat ataupun pada bulan September. Kementerian Kesihatan perlu bertindak secara profesional, bertanggungjawab, tidak partisan dan bebas daripada diperalatkan untuk kepentingan politik mana-mana pihak. Segala usaha perlu dilakukan oleh Kementerian Kesihatan untuk membolehkan mesyuarat Parlimen dapat diadakan. Mereka yang menyalahgunakan kuasa perlu diambil tindakan oleh kerajaan sekarang atau kerajaan yang baru jika usul percaya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ditolak dalam Parlimen.
Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.
Ditandatangani oleh:
- Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
- ENGAGE
- Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
- Bait Al-Amanah
- Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
- Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)