Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memanggil sidang khas Parlimen segera untuk membuktikan beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen (MP) melalui undi percaya, dan bukannya tunggu sehingga bulan September.
Penangguhan ini hanya akan memperpanjang ketidakstabilan politik apabila parti-parti akan mencari sokongan MP melalui janji habuan dilantik ke dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) atau jawatan dalam Kabinet, atau menyalahgunakan badan penguatkuasa seperti SPRM, LHDN, PDRM dan Peguam Negara untuk menyiasat serta mendakwa mereka yang tidak selari dengan kerajaan. Taktik ini telah kita saksikan sejak Langkah Sheraton yang menaikkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dengan penarikan sokongan lapan MP UMNO, sebagaimana yang diakui oleh Muhyiddin, adalah jelas beliau tidak mendapat sokongan majoriti melainkan beliau telah atau sedang merancang untuk menyebabkan pengkhianatan MP pembangkang. Skim politik sebegini tidak boleh dibenarkan mengambil tempat.
Tambahan lagi, sidang parlimen September adalah diperuntukkan untuk YDPA menyampaikan titah diraja dan tidak sepatutnya diganggu dengan undi percaya yang mungkin membawa kepada peletakan jawatan PM dan Kabinet.
Sekiranya kerajaan Muhyiddin berharap untuk mendapat sokongan Pembangkang tanpa menggoda MP mereka, beliau perlu jujur mengajak pemimpin Pembangkang untuk berunding Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) di mana Pembangkang bersetuju untuk menyokong PM sebagai balasan diberikan peranan bermakna dalam jawatankuasa melawan COVID-19 dan memulihkan ekonomi.
CSA perlu memasukkan pembaharuan undang-undang untuk memastikan padang yang sama rata kepada semua parti seperti pembaharuan parlimen dengan semua MP berada dalam Jawatankuasa Pilihan, Peruntukan Pembangunan Kawasan yang saksama, pilihan raya pecat wakil rakyat untuk mencegah lompat parti, pembaharuan pembiayaan politik dan pemisahan peranan Jabatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Rakyat mengharapkan kestabilan politik semasa krisis ini agar kebimbangan kesihatan dan ekonomi mereka dapat ditangani.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0