Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan atau beliau perlu mendapatkan undi percaya di Dewan Rakyat susulan pengumuman Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO telah menarik semula sokongan terhadap beliau, dan sekurang-kurangnya 11 Ahli Parlimen UMNO telah mengumumkan pendirian yang selari dengan Presiden mereka. Kekuatan kerusi Muhyiddin paling banyak adalah 104 kerusi, 7 kerusi kurang untuk memerintah dengan majoriti mudah.
BERSIH 2.0 menekankan bahawa adalah tidak bertanggungjawab untuk memanjangkan ketidakstabilan politik dan menafikan rakyat Malaysia untuk mempunyai kerajaan yang berfungsi tatkala negara sedang menghadapi pandemik yang semakin serius dan ekonomi semakin merudum.
Seandainya Muhyiddin masih percaya beliau mempunyai majoriti, beliau harus memanggil Dewan Rakyat untuk bersidang dan membentangkan usul percaya terhadap diri sendiri dengan segera, tidak terikat dengan cadangan meragukan tentang penangguhan Parlimen 14 hari yang dibuat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Nor Hisham Abdullah. Sekiranya Muhyiddin gagal membuktikan majoriti dan enggan meletakkan jawatan, beliau boleh dipecat oleh YDPA untuk memberi laluan kepada pelantikan Perdana Menteri baharu sebagaimana Perkara 43(2a) Perlembagaan Persekutuan. Alternatif yang lain adalah dengan pilihan raya yang telah dikesampingkan oleh pandemik, pendirian yang telah diambil oleh kerajaan Muhyiddin sendiri dengan proklamasi darurat di Sarawak.
Dengan peletakan atau pemecatan Muhyiddin, YDPA perlu melaksanakan kuasa budi bicara beliau di bawah Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan dengan memanggil semua pemimpin gabungan dan parti politik untuk meninjau sekiranya antara mereka mempunyai majoriti, yang kalau perlu boleh didapati melalui Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA).
Walaupun pada akhirnya keberlangsungan kerajaan baharu perlu diuji dengan undi percaya di Dewan Rakyat setelah mengangkat sumpah, dan setiap Ahli Parlimen boleh bertindak secara bebas dari pendirian parti mereka, proses gabungan kerajaan harus berdasarkan parti pada awalnya. Sekiranya setiap Ahli Parlimen dipanggil, ini hanya akan meningkatkan kemungkinan pembelian kerusi, memperpanjang kebuntuan politik, meletakkan pemerintahan negara dalam mod pandu auto, yang akhirnya melemahkan keabsahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.
BERSIH 2.0 menggesa semua parti politik untuk melindungi institusi Raja Berperlembagaan dengan tidak menekan Istana untuk bertindak dengan cara yang berbeza daripada apa yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan konvensyen perlembagaan Westminster.
BERSIH 2.0 menggesa penjawat awam, polis dan tentera untuk bersikap neutral sepenuhnya apabila pemimpin parti politik berunding untuk membentuk atau mengekalkan kerajaan. Sebarang kelakuan partisan mungkin akan ada kesan susulan selepas semuanya selesai dan memperpanjang krisis politik.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0