Parti Politik Perlu Diselia Oleh SPR Yang Bebas Berbanding Di Bawah ROS

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk kepada keputusan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang melarang penangguhan pemilihan dalaman UMNO selama 18 bulan dan mengarahkan agar parti tersebut mengadakan secepat mungkin. Keputusan ROS tersebut yang diumumkan sejurus selepas UMNO menarik semula sokongan terhadap PM Muhyiddin Yassin, menyebabkan ianya dilihat sebagai tindakan yang bermotif politik.

Keputusan ROS adalah percubaan terbaru sepanjang sejarah tindakan bermotifkan politik di bawah arahan tuan politik mereka iaitu Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menghalang pendaftaran parti, gabungan dan NGO baharu, serta mencampurti urusan dalaman parti atau persatuan yang berdaftar di bawah mereka. Ini adalah satu lagi contoh bagaimana cabang kuasa Eksekutif membidik musuh politik mereka.

BERSIH 2.0 menggesa penyeliaan parti politik diletakkan di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas atau menubuhkan badan pengurusan pilihan raya yang baharu iaitu Suruhanjaya Penguatkuasaan Pilihan Raya (SPPR) untuk mengawal selia parti politik dan menguatkuasakan Akta Parti Politik yang baharu dan undang-undang pilihan raya.

Perkara ini adalah selari dengan Cadangan ke 11 Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) yang mengusulkan supaya pendaftaran parti politik diletakkan di bawah SPR. Perkara ini dinyatakan dalam laporan akhir yang diserahkan kepada PM Muhyiddin Yassin pada Ogos 2020.

BERSIH 2.0 telah mengeluarkan satu laporan kajian bertajuk “Tiga Lebih baik dari Satu – Pembaharuan Institusi untuk Pengurusan Pilihan Raya di Malaysia” yang mencadangkan antara lain perkara di atas dan cadangan-cadangan lain untuk memperkasakan pengawasan pilihan raya dan parti politik. Laporan ini boleh dimuat turun di pautan berikut: https://www.bersih.org/download/bersih-policy-research-institutional-reforms-for-electoral-management/

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0