Henti Jadikan GLC Sebagai Alat Politik, Tambah Baik Pelantikan GLC

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan berita bahawa Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Razlan Rafii yang telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi Boustead Holdings dan ahli lembaga pengarah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

 

  1. Walaupun peletakan jawatan kedua-dua ahli politik UMNO ini mungkin adalah tindakan protes terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), kami berpandangan protes ini akan menjadi sia-sia sekiranya kekosongan tersebut terus digunakan pula oleh PN untuk memenangi hati penyokong yang berpotensi untuk mengekalkan kuasa walaupun sebagai kerajaan minoriti.

 

  1. Jawatan di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah sekian lama digunakan oleh kerajaan memerintah dan paling ketara dipergunakan oleh PN sebagai alat politik untuk menguatkan kuasa mereka dengan menghalang wakil rakyat berpaling tadah. Tindakan sebegini memberi kesan buruk terhadap kestabilan politik Malaysia dengan kerajaan persekutuan dan beberapa kerajaan negeri runtuh akibat Langkah Sheraton. Penyalahgunaan GLC serta penaungan politik akan menjadi benih korupsi dan kronisme, yang menyebabkan kurangnya keberkesanan fungsi GLC akibat lantikan perjawatan GLC bukan berdasarkan merit, sebagaimana kes bekas pengerusi PRASARANA Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

 

  1. Kami menggesa kerajaan Perikatan Nasionan untuk berhenti menyalahgunakan jawatan GLC sebagai balasan untuk memenangi sokongan politik dan menguatkan kuasa. Kerajaan PN tidak wajar mempergunakan jawatan di Boustead dan LTAT untuk memancing sokongan dan mengisi kekosongan tersebut dengan penyokong mereka.

 

  1. Sebaliknya, kerajaan PN perlu memperkenalkan undang-undang bagi pelantikan GLC yang akan menggariskan proses pelantikan jawatan GLC yang bersesuaian bagi menjamin keadilan, ketelusan dan berdasarkan merit. Pelantikan GLC perlu ditapis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dwi-partisan untuk memastikan pelantikan GLC dibuat berdasarkan merit dan bukannya kepentingan mana-mana parti.

 

  1. Undang-undang GLC yang baharu perlu untuk melarang wakil rakyat sama ada ahli parlimen atau ADUN daripada dilantik ke dalam GLC bagi mencegah konflik kepentingan antara tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat yang akan mengawasi tindakan kerajaan melantik lembaga pengarah GLC. Undang-undang ini juga perlu memastikan semua GLC untuk lebih terbuka dan mendedahkan maklumat penting antara lain seperti pelantikan pengerusi, pengarah, dan gaji mereka melalui laporan berkala.

 

  1. Kami justeru mengajak UMNO dan semua parti politik yang lain untuk menuntut dan menyokong pembaharuan pelantikan GLC bagi meratakan padang permainan politik dan mengawal kuasa kerajaan untuk memanipulasikan GLC sebagai alat politik. Pembaharuan ini akan menjamin GLC dikendalikan oleh calon yang berkelayakan, profesional dan kompeten yang akan menempa kecemerlangan dan bekerja untuk kepentingan awam.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0