Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) ingin menegaskan kembali bahawa dalam krisis kesihatan dan ekonomi sekarang, situasi politik yang tidak stabil kini memperlihatkan bahawa terlalu banyak kelompangan dalam sistem demokrasi dan institusi negara. Ahli politik berterusan berebut kekuasaan sedangkan rakyat sengsara akibat kuncitara untuk elakkan jangkitan COVID-19 kepada mereka dan keluarga. Rakyat menjadi keliru dan seperti hilang harapan dengan menyaksikan sandiwara-sandiwara politik.
Oleh itu, BERSIH 2.0 akan melancarkan secara rasmi Kempen Ketuanan Pengundi untuk mengembalikan semula kuasa pada Rakyat pada 15 September 2021, bersamaan dengan Hari Demokrasi Antarabangsa. Kempen ini akan berjalan sehingga Pilihan Raya Umum yang seterusnya dengan sasaran agar cadangan polisi oleh pihak kami akan diterima oleh rakyat seterusnya diangkat oleh parti-parti politik dalam manifesto pilihan raya mereka.
Sehingga hari pelancaran tersebut, kami akan menjalankan beberapa siri kempen di pelantar media sosial seperti Instagram, Twitter, Facebook dan pelbagai portal berita dengan tema serta tanda pagar #KetuananPengundi. Kami juga telah mereka logo khas kempen yang dilampirkan bersama kenyataan ini.
BERSIH 2.0 mengusulkan enam tuntutan Ketuanan Pengundi yang perlu diangkat dan disokong semua parti politik untuk menjadikan demokrasi negara kita lebih matang dan parti-parti politik bersaing atas padang yang sama rata serta secara sihat. Enam tuntutan tersebut adalah:
- Jangan nafikan undi kami
- Hentikan lompat parti
- Pastikan parlimen berfungsi
- Hak rakyat untuk membantah
- Tolak dua darjat
- Beri pembayar cukai bersuara
BERSIH 2.0 menegaskan bahawa Langkah Sheraton dan langkah politik selanjutnya telah mengetepikan kepentingan rakyat dan menghakis demokrasi berparlimen. Sudah tiba masanya kita mengembalikan demokrasi negara dengan meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Rakyat secara keseluruhan perlu menjadi tuan. Kita perlu berhijrah daripada ketuanan kaum kepada #KetuananPengundi!
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0