Jangan Beralasan Untuk Halang Proses Parlimen Terus Berjalan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memandang serius kenyataan terbaru oleh Timbalan Yang di-Pertua (YDP) Dewan Rakyat, Dato’ Rashid Hasnon yang menyatakan bilangan Ahli Parlimen akan dihadkan pada Mesyuarat penggal baharu Dewan Rakyat bermula 6 September depan, atas alasan bagi mengekang penularan wabak COVID-19. Kami juga mengambil maklum kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah semalam yang menyatakan terdapat 97 kes positif COVID-19 yang dikaitkan dengan Parlimen termasuk satu kematian melibatkan pegawai kepada timbalan menteri.

Kami berpandangan alasan ini tidak lebih sekadar ulang tayang menggunakan alasan sama COVID-19 sejak tahun lepas lagi bagi menggantung fungsi Parlimen walaupun pelbagai alternatif dan teknologi telah digunakan negara luar agar Parlimen terus beroperasi dengan efektifnya.

Adakah cadangan menghadkan kehadiran Ahli Parlimen ke Dewan Rakyat ini adalah salah satu cubaan melengahkan dan terus menunda persidangan Parlimen? Atau apakah ini suatu langkah menghalang proses pengundian bagi usul percaya terhadap Perdana Menteri daripada berjalan dengan lancar dan adil?

Setelah negara telah hidup dengan norma baharu dan terpaksa hidup dengan COVID-19 bagi tempoh satu setengan tahun, kami serta rakyat keseluruhan mempersoal usaha sebenar Kerajaan khususnya KKM dalam menyediakan persekitaran yang selamat untuk institusi Parlimen, selaku badan semak imbang terpenting negara agar terus berfungsi. Gantung dan tunda Parlimen bukan lagi penyelesaiannya. Apakah KKM mengharapkan dengan kaedah sama bakal membuahkan keputusan yang berbeza?

Kami mendesak pihak KKM dan Parlimen Malaysia mengambil langkah proaktif bagi instiusi Parlimen terus berjalan tanpa diratib lagi alasan COVID-19 bagi menghalang aktiviti demokrasi dan semak imbang kepada dasar-dasar negara. Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat mesti disegerakan bagi membenarkan persidangan Parlimen dan mesyuarat Jawatankuasa Parlimen diadakan secara maya mahupun mod hibrid.

Kami ingin mengingatkan KP Kesihatan supaya menjalankan tugasnya secara profesional dan kekal berkecuali dalam politik. KKM dan pandemik COVID-19 tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik Kerajaan Perikatan Nasional bagi menghalang undi percaya di Parlimen. Selanjutnya, jika KP Kesihatan tidak dapat mengendalikan virus COVID-19 di sebuah kawasan tertutup Parlimen untuk persidangan parlimen yang penting ini, adakah kita benar-benar boleh mengharapkan beliau menangani wabak COVID-19 di seluruh negara?

Akhirnya kami percaya proses demokrasi yang terencat akan merencatkan lagi usaha bagi menangani dan mengekang penularan pandemik COVID-19 yang tidak kebah kini. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0