Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa agar persempadanan pilihan raya yang ada sekarang dikaji semula sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengatasi masalah persempadanan yang telah lama berlaku. Kerajaan negeri yang berfikiran reformasi mesti proaktif untuk memimpin pembaharuan ini sekiranya kerajaan persekutuan enggan melakukannya.
BERSIH 2.0 pada hari ini melancarkan sebuah laporan yang bertajuk “Perwakilan Saksama dan Berkesan dengan Persempadanan Daya Usaha Kerajaan Negeri – Kajian Kebolehlaksanaan Untuk Pulau Pinang.” Laporan ini dinaungi oleh BERSIH 2.0 dan ditulis oleh Prof Wong Chin Huat. Mengambil Pulau Pinang sebagai contoh, laporan ini mengkaji masalah persempadanan di kawasan-kawasan DUN di Pulau Pinang dan menjalankan simulasi persempadanan untuk mengurangkan masalah ketidaksekataan (malapportionment) dan gerimander (gerrymandering) di Pulau Pinang. Penyelidikan ini juga mengkaji masalah sempadan pilihan raya di Selangor dan Negeri Sembilan, yang hasilnya akan dikongsikan kepada umum kelak.
BERSIH 2.0 menyatakan kebimbangan bahawa masalah ketidaksekataan akan menjadi lebih serius apabila penurunan usia mengundi kepada 18 tahun (Undi18) dan pendaftaran pemilih automatik (AVR) dilaksanakan kerana golongan muda kebanyakan tinggal di kawasan bandar bagi mendapatkan pendidikan dan pekerjaan. Pada masa ini, jumlah pengundi di kawasan bandar sudah jauh lebih tinggi daripada di kawasan luar bandar, sekitar 3-4 kali ganda. Jurangnya mungkin menjadi 6-8 kali ganda selepas Undi18 dan AVR berkuatkuasa.
Dalam pelaksanaan persempadanan semula pada tahun 2016 berdasarkan daftar pemilih tahun 2015, DUN terbesar di Pulau Pinang iaitu N34 Paya Terubong mempunyai 3.27 kali ganda lebih banyak pengundi daripada jumlah pengundi terkecil di negeri ini iaitu N23 Air Putih. Tanpa perubahan persempadanan pilihan raya, nisbah diantara keduanya telah meningkat kepada 3.62 dalam tempoh lima tahun, pada akhir tahun 2020, menurut hasil kajian laporan ini.
Sementara di Selangor, DUN terbesar iaitu N30 Kinrara, memiliki 77,638 pemilih, atau 4,76 kali pemilih di DUN terkecil, N01 Sungai Air Tawar, 16,315 pengundi. Perbezaan saiz pengundi ini dijangka akan semakin teruk.
Di Negeri Sembilan, DUN terbesar Negeri Sembilan iaitu N25 Paroi, memiliki 39,200 pemilih sementara yang daerah terkecil iaitu N17 Senaling, hanya memiliki 7,955 pemilih, menghasilkan nisbah maksimum-ke-minimum yang tinggi iaitu 4,93. Dari 36 DUN, hanya 13 (36%) memenuhi piawaian 1957 dan 12 (33%) lagi memenuhi piawaian 1962, menjadikan empat kawasan pilihan raya (11%) terlalu besar dan tujuh yang lain (19%) terlalu kecil.
Tanggungjawab terbesar masalah ini terletak pada Suruhanjaya Pilihan Raya yang gagal menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan membetulkan masalah dalam proses persempadanan kawasan pilihan raya yang dilakukan pada setiap lapan tahun. Ia tidak dapat bertindak balas terhadap perubahan sosio-demografi yang penting iaitu migrasi dan pembandaran.
Perkembangan seperti ini, jika tidak ditangani segera, akan merosakkan prinsip satu orang satu undi dan akan mengganggu keputusan pilihan raya.
Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, subseksyen 2(c), menetapkan bahawa semua kawasan pilihan raya harus mempunyai jumlah pengundi yang hampir sama dan 2(d), menekankan “pemeliharaan hubungan tempatan”.
Oleh itu, kami menggesa agar kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk mengatasi masalah ketidaksekataan dan gerimander di negeri mereka. Ini dapat dilakukan dengan menambahkan kerusi ke DUN, yang akan mencetuskan pelaksanaan pemilihan di peringkat negeri. Suruhanjaya Pilihan Raya berkewajiban untuk melakukan persempadanan dengan segera dan bukannya menunggu sehingga kitaran lapan tahun berakhir.
Kerajaan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan juga mesti memperkenalkan pindaan terhadap perlembagaan negeri masing-masing yang menetapkan secara jelas dua kriteria penting dalam persempadanan kawasan di negeri mereka:
- Jumlah pengundi mestilah hampir sama di antara kawasan pilihan raya di negeri ini. Bagi Selangor, setiap wakil rakyat yang terpilih akan mewakili sejumlah pemilih yang antara 1.17 peratus hingga 2.02 peratus dari semua pemilih. Di Pulau Pinang, setiap wakil rakyat yang terpilih akan mewakili sejumlah pemilih yang turun antara 1.55 peratus dan 2.68 peratus dari semua pemilih.
- Setiap wakil rakyat yang terpilih hanya mewakili pemilih dari satu daerah pentadbiran. Persempadanan kawasan DUN tidak boleh melintasi 2 atau lebih daerah pentadbiran.
Ketuanan Pengundi!
Hidup Demokrasi!
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0