Persaingan Dalam Reformasi Institusi Adalah Baik Tetapi Undi Percaya Perlu Dibuat Bulan Ogos

Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menganggap tawaran Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk beberapa pembaharuan institusi sebagai balasan sokongan daripada Pembangkang dalam usul Undi Percaya di Dewan Rakyat adalah langkah yang baik untuk kestabilan politik dan demokrasi berparlimen negara kita. Namun Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) supaya sebuah kerajaan minoriti ini kekal berfungsi tidak boleh hanya datang daripada Muhyiddin, tetapi juga mereka yang beraspirasi untuk menjadi Perdana Menteri dan memegang kerajaan selepas ini. Kami menggesa mereka untuk bersaing di atas dasar pembaharuan bagi membentuk kerajaan yang stabil dengan pada masa yang sama menyelesaikan kelompangan sistem politik negara.

Sementara itu, Muhyiddin yang mengakui kehilangan majoriti di Dewan mewajibkan beliau untuk membuktikan semula sokongan di Parlimen dengan usul Undi Percaya, sekiranya beliau tidak mahu meletakkan jawatan atau membubarkan parlimen segera berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.

Pendirian penuh kami seperti berikut:

  1. Muhyiddin tidak boleh memegang kuasa sehingga selepas Titah Diraja pada September. Titah Diraja tidak mewakili pandangan peribadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tetapi pelan tatatadbir kerajaan. Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin berhak membuktikan majoriti beliau di parlimen, ini tidak membenarkan beliau untuk menangguhkannya sesuka hati. Sekiranya tewas, kerajaan baharu perlu diberikan masa untuk menyediakan Titah Diraja. YDPA tidak wajar untuk memberikan dua Titah Diraja dalam sela masa yang dekat, yang akan menghakis peripentingnya prosedur ini dalam demokrasi berparlimen.

  2. Kami sangat menggalakkan kem pembangkang yang kini mempunyai 120 Ahli Parlimen anti-Muhyiddin untuk bersaing dengan cadangan kerajaan PN dengan segera membentangkan majoriti 111 atau lebih dan memberikan pakej pembaharuan yang mengukuhkan pentadbiran merentas parti. Mekanisme pembuktian ini agar Pembangkang mempunyai majoriti sebelum mereka dapat membuang PM sedia ada diistilahkn sebagai Undi Tidak Percaya Konstruktif (Constructive Voice of No Confidence). Ia perlu dipertimbangkan untuk mengelakkan kekhuatiran orang ramai kepada kekosongan kementerian – sebagaimana yang berlaku apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 24 Februari 2020 dan pembentukan kabinet Perikatan Nasional (PN) pada 8 Mac 2020.

  3. Pakej pembaharuan yang ditawarkan oleh adalah Muhyiddin tidak lengkap. Kami menggesa kedua-dua kerajaan PN serta Pembangkang yang diketuai oleh PH dan UMNO untuk menawarkan pakej berikut untuk pembaharuan dan kestabilan:
  1. Pembuatan dasar berkaitan pandemik yang lebih inklusif melalui Majlis Persekutuan-Negeri Bagi Kesihatan dan ekonomi, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan ahli parlimen, dengan keanggotaan oleh menteri kanan, ahli parlimen pembangkang kanan, kesemua 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri serta pakar atau teknokrat.
  2. Manual kabinet yang menjelaskan konvesyen perlembagaan dan peraturan pentadbiran untuk isu utama seperti pembentukan kerajaan, kerajaan sementara, prerogatif Ketua Pembangkang Parlimen dan menteri bayangan;
  3. Pembaharuan parlimen yang lebih luas berbanding pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) dan peruntukan saksama pengerusi jawatankuasa, yang meliputi kuasa menetapkan agenda oleh Perdana Menteri dan Speaker, keutamaan usul percaya dan tidak percaya, Akta Perkhidmatan Parlimen dan rang undang-undang persendirian;
  4. Pembaharuan Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menghapuskan pendakwaan terpilih dan kekebalan;
  5. Buka peluang undi tidak hadir dan siaran kempen untuk meminimumkan risiko kesihatan semasa pilihan raya dalam pandemik;
  6. Pembaharuan sistem pilihan raya dan institusi menguruskan pilihan raya serta parti politik, meliputi SPR, ROS dan pengenalan kerusi Perwakilan Berkadaran Disenarai Parti dengan kuota jantina serta pilihan raya pecat.
  1. Untuk menggariskan komitmen pembaharuan dan mengembalikan kepercayaan rakyat, kerajaan Perikatan Nasional perlu segera:
    a. meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengutamakan usul percaya/tidak percaya pada masa akan datang;
    b. melaksanakan Undi 18 dengan segera mewartakan hari bekerja seterusnya sebagai tarikh pindaan perlembagaan berkuatkuasa; dan
    c. menghentikan semua tahanan, pendakwaan dan gangguan kerajaan kepada mereka yang mengkritik kerajaan serta membantu perhimpunan aman #Lawan pada 21 Ogos.

Ketuanan Pengundi!
Hidup Demokrasi!

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0