Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Perlu Diperkasa Peranan dan Kuasanya untuk Semak dan Imbang Berkesan kepada Badan Eksekutif

Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa agar fungsi, kuasa, sumber dan kebebasan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPKP) Parlimen diperkasa serta diberi perhatian serius selaku instrumen semak dan imbak peringkat persekutuan kepada Kerajaan dan agensi di bawahnya. Perkara ini juga termasuk dalam usaha bagi mengangkat doktrin pemisahan kuasa antara badan Eksekutif dan badan perundangan signifikan dalam sebuah negara demokrasi yang sihat.

BERSIH 2.0 pada hari ini melancarkan sebuah laporan kajian yang bertajuk “Reformasi Jawatankuasa Pilihan Parlimen”. Laporan ini dinaungi oleh BERSIH 2.0 dan ditulis oleh Dr Muhammad Sayuti Hassan & Sahanah Kathirvelu. Laporan kajian ini antara lain mengenalpasti keterpinggiran Ahli Parlimen Pembangkang dan Ahli Parlimen penyokong Kerajaan dalam proses pembuatan dasar dan undang-undang di Parlimen. Kuasa terlalu tertumpu kepada Eksekutif, peluang menyumbang terhad dan kurang dilibatkan peranannya dalam JPKP. Sebagai contoh 9/10 JPKP Dewan Rakyat dipengerusikan oleh Ahli Parlimen penyokong Kerajaan.  

Oleh itu, kami menggesa agar pihak pimpinan Kerajaan baharu dan dan Parlimen Malaysia mengambil tanggungjawab dan komited terhadap reformasi insitusi Parlimen sekaligus memperkasa JPKP ini. Berikut merupakan cadangan reformasi oleh BERSIH 2.0 seperti terdapat dalam kertas kajian terbaru kami ini seperti:

  1. Pindaan Peraturan Mesyuarat bagi mengembangkan kuasa JPKP, menambahbaik proses pelantikan, diberi keanjalan bentuk mesyuarat, tanggungjawab Eksekutif untuk memberi maklum balas kepada dapatan JPKP, mengkaji semula komposisi ahli JPKP serta siaran langsung aktiviti-aktiviti dilakukan JPKP.

  2. Memperkasa peranan dan kuasa JPKP untuk mendapatkan bahan bukti dan mengadakan inkuiri serta siasatannya sendiri.

  3. Menilai kembali tatacara pelantikan ahli JPKP supaya ia seimbang dan berkadar dengan perwakilan keseluruhan di dalam Dewan. Juga dicadangkan agar ahli dipilih melalui proses pencalonan dan ahli dibenarkan memilih sendiri JPKP mengikut minat serta kepakaran.

  4. Menginstitusikan blok Pembangkang dengan mengiktiraf Ketua Pembangkang setaraf Menteri Kabinet.

  5. Mengadakan siaran langsung terhadap segala kerja JPKP untuk tontonan awam bagi membina kepercayaan dan keyakinan awam terhadap institusi Parlimen.

  6. Memberi keanjalan kepada JPKP untuk menentukan bentuk mesyuaratnya sendiri yang tidak terhad hanya di dalam premis Parlimen. Lebih-lebih hal ini mendesak ketika pandemik sekarang supaya diberi kemudahan diadakan mesyuarat secara mod maya mahupun hibrid.

  7. Meningkatkan bilangan JPKP di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara berdasarkan keperluan tertentu serta mengisi kelompongan pemantauan terhadap kementerian-kementerian semasa yang tidak dipantau.

  8. Memperuntukkan peruntukan belanjawan secukupnya bagi menjamin fungsinya efisien dan operasinya lancar. Pengerusi JPKP harus diberikan elaun berasingan di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980.

  9. Menyediakan tenaga kerja mencukupi dengan mengembangkan saiz urus setia JPKP termasuk penyelidik, pakar, kerani dan staf sokongan. Sekurang-kurangnya diperuntukkan 2 orang penyelidik bagi setiap JPKP.

  10. Mengadakan latihan berterusan dan berkala kepada semua Ahli Parlimen dan urus setia JPKP mengenai amalan terbaik dan perkembangan terbaru berkaitan institusi Parlimen.

#ReformasiParlimen 

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0