Tiada Kestabilan Politik Tanpa Pembaharuan Institusi dan Tata Kelola Untuk Perkasakan Demokrasi Berparlimen

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menggesa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri yang dinamakan, untuk membawakan pembaharuan institusi dan tata kelola sebagai keutamaan beliau, selain daripada menguruskan COVID-19 dan ekonomi dalam tempoh beliau memegang jawatan sehingga Pilihan Raya Umum seterusnya dalam masa kurang dua tahun. Gesaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk politik baru dan menamatkan budaya politik ‘kalah jadi abu’ tidak akan terhasil melainkan struktur dan sistem yang menyumbang kepada ketidakstabilan ini diatasi melalui pindaan dan penggubalan undang-undang.

Kami menegaskan semula gesaan kami bahawa undi percaya perlu dibuat dalam sidang khas Dewan Rakyat untuk mengesahkan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ke-9. Perkara ini perlu dilaksanakan sebelum sidang ketiga Parlimen yang diprorog pada 30 Ogos 2021.

Usaha untuk mencapai kesepakatan pelbagai parti perlu dicapai melalui sistem parlimen yang ada sekarang di mana peranan Pembangkang perlu dilindungi dan diperkasakan, berbanding melalui Kerajaan Perpaduan atau Kabinet Perang di mana semua wakil rakyat berada dalam kerajaan. Walaupun idea perpaduan ini menggoda, kos untuk sistem kerajaan sedemikian akan bermaksud adanya ‘Kabinet Kembung’ dan hilangnya  semak dan imbang, penelitian dan persaingan prestasi dan idea, serta alternatif untuk rakyat memilih. Perpaduan juga hanyalah satu ilusi kerana persaingan untuk mendapat habuan jawatan dan kementerian, bahkan siapa menjadi PM, akan mencipta lebih banyak ketidakfungsian dan ketidakstabilan yang akan menenggelamkan kita ke jurang politik.

Kami menggesa Ismail Sabri untuk belajar daripada kegagalan pentadbiran Muhyiddin di mana beliau telah gagal untuk berunding secara konstruktif bersama Pembangkang bahkan membazirkan 17 bulan untuk menghalang lawan politik beliau melalui penggantungan parlimen dan menggalakkan pengkhianatan. Ismail Sabri perlu segera memulakan perbincangan dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti lain dalam pembangkang berkaitan pembaharuan tata kelola dan institusi yang akan memberikan peranan bermakna kepada Pembangkang untuk menangani Covdi dan ekonomi serta meratakan padang politik untuk semua pihak. Perjanjian hasil perbincangan ini boleh dijelmakan dengan menandatangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) secara terbuka yang turut memasukkan garis masa jelas untuk mencapai pembaharuan-pembaharuan sebelum PRU15.

Kami juga menggesa blok Pembangkang untuk memberi pertimbangan serius kepada apa-apa pendekatan Ismail Sabri dan cuba berunding untuk CSA yang berasas pembaharuan institusi dan tata kelola yang utama. Sebarang rundingan pembaharuan perlu digubal berbanding dibuat secara pentadbiran sahaja agar ianya lebih berkekalan. Sekiranya PH dapat berunding untuk melakukan pembaharuan ini, mereka juga akan memenuhi janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya mereka, walaupun sebagai Pembangkang. Ini menjadi gambaran baik kepada mereka sebagai kerajaan alternatif berminda pembaharuan untuk PRU15.

Ismail juga perlu sedar bahawa kerajaan beliau tidak akan stabil dan berkesan sekiranya tiada sokongan dan kolaborasi daripada 13 kerajaan negeri, lima diperintah oleh UMNO, sementara tiga lagi diperintah oleh PH dan PAS, dan dua negeri yang setiap satu oleh GPS dan GRS. Kerajaan beliau perlu bebas daripada pemusatan kuasa yang keterlaluan dan berkongsi kuasa pembuatan polisi dengan Negeri-Negeri. Desentralisasi perlu menjadi sebahagian daripada CSA.

Untuk memastikan kepatuhan kepada terma CSA yang dirundingkan, Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat perlu dipinda bagi mengurangkan kuasa PM sebagai Ketua Majlis untuk menentukan agenda mesyuarat. Sebagai contoh, usul undi percaya/tidak percaya perlu dijadikan keutaaman sebelum urusan kerajaan. Ini akan memperkasa Dewan sebagai cabang legislatif kerajaan untuk mempertanggungjawabkan Eksekutif.

Sebagai rujukan awal, parti-parti boleh merujuk kepada 10-Perkara Pelan Perdamaian Rentas Parti yang BERSIH 2.0 ajukan pada 16 Ogos 2021:

 

  1. Majlis Persekutuan-Negeri berkenaan Kesihatan dan Ekonomi dengan wakil daripada Kerajaan Persekutuan, Pembangkang Persekutuan dan 13 Kerajaan Negeri, dibantu oleh pakar dalam perkhidmatan awam dan masyarakat madani.

 

  1. Had penggal perdana menteri.

 

  1. Panduan kabinet yang melengkapkan Perlembagaan Persekutuan

 

  1. Pembaharuan parlimen untuk memperkasakan peranan Parlimen.

 

  1. Pembaharuan Jabatan Peguam Negara, SPRM dan LHDN untuk tamatkan pendakwaan terpilih dan konflik kepentingan

 

  1. Pelaksanaan segera UNDI18, Daftar Pemilih Automatik, peluasan undi tidak hadir kepada pengundi di luar kawasan.

 

  1. Penggubalan Akta Pembiayaan Politik

 

  1. Pendaftaran dan penyeliaan parti politik di bawah SPR berbanding ROS.

 

  1. Asas-asas yang perlu dibina untuk memastikan pembaharuan jangka pendek seperti:
    a. Akta Pecat Ahli Parlimen untuk semua ahli parlimen yang dipilih bawah sistem FPTP
    b. Pengenalan kerusi parlimen Perwakilan Berkadaran Senarai Tertutup (PBST) dengan fasal anti lompat dan kuota jantina, dan
    c. Penyusunan semula Suruhanjaya Pilihan Raya
  1. Akta Penggal Tetap Parlimen.

Untuk maklumat lanjut berkenaan 10-Perkara Pelan Perdamaian Rentas Parti, sila rujuk kenyataan kami bertarikh 16 Ogos 2021 [1] dan cadangan-cadangan pembaharuan dan penambahbaikan kami [2].

Cadangan-cadangan pembaharuan ini akan memanfaatkan semua parti politik dalam realiti politik baru gabungan berbilang parti di mana tidak ada parti yang yakin mereka boleh kekal sebagai kerajaan dan prospek kerajaan minoriti akan sentiasa ada di belakang. Parti-parti perlu meratakan padang politik sekarang supaya mereka dapat bersaing sesama sendiri secara sihat dengan idea dan polisi, dan menjadi pembangkang bukanlah satu penindasan politik atau akan dilupakan.

Sangat penting untuk semua parti politik dan MP bersama di kala krisis kesihatan, ekonomi dan politik, dan mereka perlu bangkit daripada hanya politik kepartian untuk menempa jalan kestabilan politik yang memperkasakan demokrasi berparlimen dan memastikan politiknya adalah politik rakyat.

#KetuananPengundi

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

Rujukan

[1] New Government must pursue stability through multi-partisan governance and institutional reforms-https://www.bersih.org/new-government-must-pursue-stability-through-multipartisan-governance-and-institutional-reforms/

[2] Cadangan dan kajian BERSIH 2.0 – https://www.bersih.org/research-report