Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyokong kenyataan YB Dato’ Sri Azalina, Ahli Parlimen Pengerang yang juga merupakan mantan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membawa Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bertajuk “RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021” bagi membolehkan satu “Akta Pemecatan Ahli Parlimen” digubal di Parlimen Malaysia. Kami juga menyokong cadangan YB Azalina yang mencadangkan penubuhan “Kaukus Untuk Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti” dengan melibatkan ahli-ahli parlimen yang berminat.
Sejak daripada perubahan tampuk kepimpinan kerajaan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), isu lompat parti terus hangat apabila Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ketika itu, YB Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengeluarkan kenyataan untuk menerima kemasukan beberapa ahli parlimen UMNO ke parti beliau. Siri lompatan parti kemudiannya berterusan sehingga Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH jatuh akibat pengkhianatan daripada PPBM yang bekerjasama dengan UMNO dan PAS membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), sehinggalah UMNO menarik semula sokongan yang menyebabkan kerajaan tersebut juga tumbang pada bulan Ogos yang lepas.
Sepanjang siri lompatan parti sehingga menyebabkan perubahan kerajaan sebanyak tiga kali dalam masa tiga tahun ini, rakyat dan pengundi biasa hanya mampu menjadi penonton sahaja tanpa ada sebarang kuasa untuk mendesak wakil-wakil rakyat menghormati mandat yang telah diberikan kepada mereka dalam PRU yang lepas. Wakil rakyat yang melompat dan bertukar gabungan parti dilihat tidak mempunyai pendirian teguh dan bertindak atas kepentingan peribadi atau kelompok sendiri. Perkara ini akan menghakis kepercayaan rakyat terhadap pilihan raya sekiranya rakyat terus dibiarkan tidak berkuasa untuk menjadikan wakil rakyat mereka bertanggungjawab terhadap pengundi yang telah memilih dalam pilihan raya yang lepas.
Justeru, BERSIH 2.0 ingin menggesa Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri menyokong RUU ini dan mengarahkan supaya RUU ini diberi jalan untuk dibahaskan dan diterima untuk penelitian selanjutnya, dan tidak ditenggelamkan di bawah urusan kerajaan yang bertimbun. Pemberian jalan sebegini pernah dilakukan semasa RUU 355 di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dengan YB Azalina sebagai Menteri Undang-Undang ketika itu. Juga diharapkan bahawa usul-usul ini tidak akan ditolak atas sebarang teknikaliti remeh-temeh oleh Yang diPertua Datuk Seri Azhar Azizan Harun.
BERSIH 2.0 menaruh harapan besar pemberian jalan RUU ini berdasarkan kenyataan Menteri Undang-Udang Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 30 Ogos yang menyebutkan “Undang-undang anti-lompat parti adalah penting. Saya mengalu-alukan cadangan ini setelah Barisan Nasional tewas dalam pilihanraya 2018. Kalau ada tawaran baru dibuat, saya berharap pembangkang tidak akan menolaknya lagi kerana itu bukan satu ciri beramanah sebuah pentadbiran.”[1]
BERSIH 2.0 menyeru agar semua ahli parlimen kerajaan mahupun pembangkang untuk menyokong “RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021” yang akan dibawa oleh YB Azalina. Sudah tiba masanya sistem demokrasi diperbaharui serta ditambahbaik bagi menangani cabaran serta realiti politik semasa. Semenjak dua tahun belakangan, BERSIH 2.0 telah membuat perbincangan, kajian dan libat urus dengan pelbagai pihak untuk mencari polisi yang bersesuaian bagi mencegah gejala lompat parti. Sehubungan kajian tersebut, kami berpandangan bahawa antara kaedah untuk mencegah gejala ini adalah dengan mewujudkan mekanisme Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat (Pilihan Raya Pecat) yang memberi kuasa kepada pengundi untuk menentukan nasib wakil rakyat mereka sekiranya melompat parti.
BERSIH 2.0 menegaskan memberi kuasa kepada rakyat untuk menentukan sama ada wakil rakyat mereka harus dipecat adalah cara yang benar-benar memuliakan dan mempertuankan pengundi. Sebaliknya jika undang-undang baru memberi kuasa kepada pimpinan parti untuk melucutkan mana-mana wakil rakyat dengan terlebih dahulu memecat mereka daripada parti, maka wakil-wakil rakyat akan menjadi pak turut kepada pemimpin parti (dan kerajaan kalau partinya berada dalam kerajaan) sehingga kepentingan rakyat digadaikan untuk kepentingan parti.
Undang-undang anti-lompat parti yang berkiblatkan pemimpin parti dan bukan pengundi mesti ditolak, kerana ia mengubati satu penyakit lama dengan membawa satu penyakit baru.
Negara kita memerlukan pelbagai pembaharuan seperti Akta GLC, peruntukan pembangunan kawasan yang saksama, pemisahan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Pendakwa Raya, akta untuk pendanaan dan pembiayaan politik, dan reformasi pelantikan jawatan utama kerajaan. Kesemua pembaharuan ini dapat mengurangkan insentif untuk wakil rakyat melompat parti demi kepentingan peribadi sekaligus menggalakkan persaingan demokrasi yang lebih sihat, matang dan berpaksikan program-program yang lebih baik untuk rakyat memilih.
#KetuananPengundi
#HidupDemokrasi
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
Rujukan:
1. https://www.nst.com.my/news/politics/2021/08/722538/wan-junaidi-focus-parliament-revamp-ma63