BERSIH 2.0 Mengalu-alukan Persefahaman Kerajaan-PH, Namun Masih Ada Ruang Penambahbaikan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengucapkan tahniah kepada Kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) di atas peristiwa bersejarah yang jarang sekali terbentuk dalam budaya politik negara kita. Kerajaan dan PH telah berjaya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik (MPTKP) yang menggariskan apa yang dikatakan transformasi untuk memperbaharui beberapa polisi yang sekian lama didesak oleh pertubuhan masyarakat sivil dan juga pihak pembangkang.
 
Apabila terjadinya Langkah Sheraton pada bulan Mac 2020, BERSIH 2.0 bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) telah mengeluarkan satu kenyataan bersama pada 10 Jun 2020 bagi menamatkan komplot politik yang tidak berkesudahan ketika itu. BERSIH 2.0-ABIM-GBM telah mencadangkan 6 perkara bagi menghentikan politiking yang berlebihan sehingga mengabaikan peranan pembangkang, parlimen dan fungsi institusi-institusi utama negara. Pada 16 Ogos 2021, BERSIH 2.0 juga telah mencadangkan 10-perkara pelan kedamaian bagi memuktamadkan perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) antara Kerajaan dan Pembangkang. Persefahaman dan penjajaran politik ini perlu dibuat atas dasar pembaharuan institusi supaya padang permainan politik yang sama rata dapat diwujudkan dan persaingan politik berjalan dengan sihat dan matang.
 
Merujuk kepada MPTKP tersebut, terdapat 5 perkara yang dipersetujui bersama antara Kerajaan dan PH iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Tranformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963. BERSIH 2.0 mengalu-alukan beberapa transformasi dan reformasi yang dinyatakan dalam Memorandum Persefahaman tersebut termasuklah pembentangan undang-undang untuk mencegah lompat parti, mempercepatkan UNDI18 dan AVR, had tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun, pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen lebih seimbang.
 
Walaupun perkara-perkara yang termaktub dalam Memorandum Persefahaman itu baik, namun terdapat banyak ruang untuk penambahbaikan yang boleh dimasukkan. Kami bimbang perkara berkenaan kebebasan institusi kehakiman dan Perjanjian Malaysia 1963 di dalam MPTKP adalah terlalu umum serta tidak mengandungi langkah-langkah pembaharuan yang spesifik dan konkrit yang boleh dipantau untuk memastikan pelaksanaan. Terdapat juga banyak isu-isu penambahbaikan institusi lain yang amat penting yang tertinggal.
 
Antara perkara yang BERSIH 2.0 ingin kemukakan untuk pertimbangan Kerajaan dan Pakatan Harapan adalah seperti berikut:
 
1. Memastikan peruntukan saksama yang disalurkan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat juga melibatkan mereka yang tidak bertandatangan di dalam Persefahaman ini melalui penggubalan satu Akta CDF supaya peruntukan yang diberikan tidak bergantung kepada ehsan kerajaan semata-mata. Adalah tidak adil membeza-bezakan peruntukan kepada wakil rakyat kerana ini adalah satu hukuman kepada rakyat yang telah memilih wakil rakyat tersebut.
 
2. Bagi memastikan kebebasan kehakiman dan kesetaraan undang-undang, Suruhanjaya Pelantikan Hakim perlu dinaiktarafkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan, kompossi ahlinya dirombak dan pencalonan hakim oleh Suruhanjaya Pelantikan Hakim perlu diterima oleh Perdana Menteri untuk menasihat pelatinkan oleh Yang Di-Pertuan Agong. Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan perlu dibahagikan kepada dua Suruhanjaya yang bebas, iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Suruhan Perkhidmatan Perundangan. Peranan Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu dipisahkan daripada peranan Pendakwa Raya. Jabatan Pendakwa Raya yang bebas perlu ditubuhkan supaya AGC dapat kembali kepada tugas utamanya untuk menasihati kerajaan dan mendraf undang-undang.
 
3. Akta Pembiayaan Politik yang telah tersedia sekian lama sejak pentadbiran Pakatan Harapan juga perlu disemak dan dibentangkan segera di parlimen untuk diluluskan supaya pendanaan dan perbelanjaan parti politik adalah telus dan tidak melibatkan rasuah. Pendanaan awam kepada parti politik yang memenangi sekurang-kurangnya 5% undi di peringkat persekutuan perlu diadakan supaya parti politik tidak bergantung kepada dana sektor swasta atau sumber kewangan yang melanggar undang-undang.
 
4. Dalam jangka masa sederhana sebelum PRU15, SPR juga perlu distrukturkan semula bagi menambahbaikan proses pelantikan ahli-ahli suruhanjaya supaya pelantikan dibuat atas dasar merit dan integriti dan menjadikan SPR benar-benar bebas, memberikan kuasa kepada SPR untuk menyelia pendaftaran dan pengurusan parti-parti politik serta menubuhkan satu Suruhanjaya Persempadanan yang bebas dan profesional.
 
5. Undi tidak hadir diperluaskan kepada pengundi di luar kawasan seperti pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung dan sebaliknya serta peluasan undi pos kepada rakyat Malaysia yang tinggal di Brunei, Singarpura, Selatan Thailand dan Kalimantan. Kategori undi pos domestik juga perlu dihapuskan dan sebaliknya digantikan dengan pemanjangan tempoh pengundian atau peluasan kategori undi awal.
 
BERSIH 2.0 sentiasa mendesak dan mendokong supaya pembaharuan-pembaharuan institusi dan sistem politik negara dilaksanakan dengan segera melalui semangat permuafakatan merentas parti. Parti-parti politik yang bersaing di dalam pilihan raya perlu disediakan padang permainan yang sama rata dan institusi-institusi utama kerajaan tidak sewenangnya disalahgunakan sebagai senjata untuk menghukum musuh politik atau digunakan untuk memenuhi kocek sendiri.
 
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0