Memorandum Persefahaman PN-PH: Sebuah Batu Loncatan untuk Reformasi Parlimen dan Politik yang Memerlukan Perlindungan

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menanggapi berita berkenaan Memorandum Persefahaman tentang Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam.

Terbentuknya sebuah Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) tanpa nama, MoU tersebut merupakan sebuah perkembangan positif berikutan pergolakan politik selama 18 bulan dengan pertukaran dua buah kerajaan, yang mana kedua-duanya tidak dipilih oleh pengundi mahupun melalui undi kepercayaan di Parlimen.

Kami mengalu-alukan prospek reformasi politik dan parlimen yang akan menggerakkan negara ini daripada keadaannya yang tidak berfungsi dan memelihara demokrasi perwakilan. Walaubagaimanapun, harapan kami adalah bahawa pembaharuan seperti itu tidak boleh dianggap sebagai alat jual beli untuk kelangsungan politik, tetapi yang sebenar-benarnya – prasyarat penting untuk demokrasi yang sihat dan lestari yang menjadi tanggungjawab setiap perwakilan politik untuk melaksanakannya tanpa mengira bawaan keuntungan politik peribadi.

Sementara MoU tersebut berisi janji-janji transformasi dengan garis masa yang longgar untuk setiap kategori reformasi, MoU tersebut tidak memperincikan atau menetapkan struktur dan tatacara di Parlimen yang perlu dikembangkan untuk memastikan pencapaian kebanyakan janji tersebut. Hal ini adalah kelemahan yang kritikal. Memperkasakan Parlimen akan memastikan bahawa mekanisme untuk menunaikan janji akan terus wujud tidak kira terdapat apa-apa perubahan pada objektif politik peribadi pihak-pihak yang menandatanganinya, maka itu akan menjadi ciri tetap untuk Parlimen di masa hadapan.

Berikut adalah beberapa komitmen kritikal yang terlepas pandang daripada MoU yang mana Jawatankuasa Pemandu MoU dwi-parti ini harus lakukan sebagai tambahan yang perlu:

1. Tidak ada janji untuk mengkanunkan tatacara undi percaya dan tidak percaya. Benar bahawa kepercayaan majoriti Dewan Rakyat adalah asas keabsahan seorang Perdana Menteri untuk membentuk Kabinet dan memerintah. Namun, tidak terdapat di mana-mana undang-undang bertulis dan peraturan Parlimen akan perlindungan terhadap aspek kedaulatan Parlimen ini dengan jelas. Pergolakan politik yang melanda negara dan kesan besar pandemik COVID-19 mungkin dapat dihindari atau diselesaikan melalui cara demokratik jika terdapat peraturan, tatacara dan amalan yang jelas untuk memungkinkan isu-isu kepercayaan dapat ditentukan di Dewan Rakyat.

2. Tidak ada janji untuk memperkasa peranan Parlimen dan Ahli Parlimen dalam pembuatan undang-undang. Proses perundangan semasa tidak memberi peluang sebenar kepada Ahli Parlimen Pembangkang dan Penyokong Kerajaan untuk memperkenalkan undang-undang dan mempengaruhi dasar. Sebagai contoh, mereka tidak dijamin jangka waktu minimum yang memadai antara Bacaan Pertama dan Kedua Rang Undang-Undang (RUU) bagi memastikan bahawa mereka mempunyai masa yang cukup untuk mempersiapkan perbahasan dasar mengenai RUU. Tidak ada amalan atau konvensyen untuk menghantar RUU kepada jawatankuasa pilihan supaya disemak sebelum atau selepas Bacaan Kedua, yang memungkinkan kajian yang lebih mendalam, dwi-partisan dan peluang untuk mengumpul bukti dan maklum balas pemegang taruh. Peraturan dan tatacara yang ada untuk meminda RUU Kerajaan tidak jelas, dan tanpa sokongan teknikal diberikan kepada Ahli Parlimen oleh kakitangan parlimen. Sama pentingnya, tidak ada peluang yang sebenarnya diberikan kepada Ahli Parlimen Pembangkang dan Penyokong Kerajaan untuk mengusulkan Rang Undang-Undang mereka sendiri, misalnya dengan memperuntukkan Tempoh Ahli Persendirian di mana RUU dan usul mereka boleh diperdebatkan.

3. Tidak ada janji untuk menubuhkan sebuah kaukus parlimen untuk memimpin dan mengawasi pembaharuan. Jawatankuasa Pemandu MoU, walaupun dwi-partisan, bukanlah sebuah badan parlimen dan yang terbuka untuk memainkan peranan tersebut. Adalah mustahak bahawa kaukus parlimen mesti memimpin usaha ini, kerana ia akan mencapai tiga tujuan yang diperlukan bagi setiap proses pembaharuan: (a) inklusif, kerana dapat merangkumi Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah dalam Dewan termasuk Ahli Parlimen Bebas dan juga anggota masyarakat madani dan pakar luar; (b) ketelusan, kerana prosiding kaukus dapat dijalankan secara terbuka; dan (c) kebertanggungjawaban, kerana kaukus akan dipertanggungjawabkan secara langsung kepada Dewan Rakyat secara keseluruhan dan akhirnya kepada pengundi.

4. Tidak ada janji untuk memperkasa orang ramai untuk mengemukakan petisyen Parlimen mengenai isu-isu kepentingan awam. Walaupun di negara demokrasi lain, petisyen (rayuan) parlimen adalah tatacara tradisional, biasa dan mudah diakses untuk orang ramai secara terus mengemukakan isu mereka di Parlimen, namun Dewan Rakyat masih belum memperkasakan proses ini. Peraturan Mesyuarat sedia ada sudah usang dan penuh dengan jurang, dengan sedikit atau hampir tiada bantuan yang diberikan oleh kakitangan parlimen untuk membantu pempetisyen atau Ahli Parlimen yang mewakili mereka.

5. Tidak ada janji untuk menggubal sebuah Undang-Undang berkaitan Dana Pembangunan Kawasan (CDF) yang dapat memastikan peruntukan yang sama rata dan berterusan kepada semua Ahli Parlimen, tanpa bergantung pada kemurahan hati atau belas ihsan Perdana Menteri. Kegagalan untuk menjamin peruntukan CDF yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira fahaman parti adalah kekhilafan yang nyata dalam MoU. PH menggambarkan dirinya sebagai Pembangkang Setia Yang di-Pertuan Agong – sebagai sebuah Kerajaan yang Menunggu, seharusnya menggunakan kedudukan tawar-menawarnya dalam MoU untuk mendapatkan komitmen terhadap peruntukan CDF yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen.

Institusi kita telah lama kekurangan alat dan mekanisme parlimen untuk mendorong reformasi politik dan parlimen seperti yang terdapat di negara demokrasi berparlimen lain. Kepincangan ini telah memungkinkan kerajaan yang dominan pada masa lalu untuk menekan pengukuhan demokratik walaupun rakyat sendiri telah menjadi pendorong kepada perubahan. Ketidakupayaan institusi-institusi kita untuk mewakili dan mencerminkan kehendak rakyat adalah kerosakan asas kepada demokrasi kita, dan mereka yang telah bersungguh dan bertahan selama beberapa dekad – di semua belah politik – memikul tanggungjawab utama ini. Kita memerlukan struktur dan tatacara yang lebih kukuh untuk melindungi pada masa hadapan institusi seperti Parlimen daripada dominasi Eksekutif dan membolehkannya melaksanakan fungsi perundangan dan pengawasannya secara bebas.

Titik perubahan transformasi politik dan parlimen ini lebih besar daripada kepentingan individu PN, UMNO ataupun PH. Kita semua mesti mengambil masa untuk memastikan bahawa pembaharuan undang-undang dan perlembagaan dapat dicapai bersama dengan reformasi struktur dan tatacara, supaya bentuk dan nasib demokrasi kita tidak diserahkan kepada parti tertentu.

Kami meminta supaya Jawatankuasa Pemandu MoU untuk bertemu dengan kumpulan masyarakat madani mengenai cadangan untuk memperkukuh MoU dan meningkatkan peluangnya untuk terus bertahan dan berjaya, kerana ianya pasti akan menerima serangan daripada semua arah oleh pihak yang tidak mempercayai kerjasama politik dan tadbir urus pelbagai pihak ini.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Boleh kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP

Ditandatangani oleh:

1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
2. ENGAGE
3. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
4. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
5. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
6. Bait Al-Amanah