Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dengan sukacitanya melancarkan secara rasmi kempen Ketuanan Pengundi (KP) sempena Hari Demokrasi Antarabangsa pada hari ini. KP akan menjadi kempen utama yang akan kami bawa sehingga ke Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). KP bertujuan untuk membawa semula perbahasan di peringkat nasional agar mengutamakan kepentingan pengundi berbanding perkara lain.
Sejak PRU pada tahun 2018, kita telah menyaksikan peningkatan komplot politik antara parti dan ahli-ahli parlimen (MP) yang berpaling tadah selepas PRU14, permainan sentimen agama dan bangsa oleh ahli-ahli politik terhadap beberapa insiden, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 22 bulan disusuli kejatuhan enam kerajaan negeri selepas itu, percubaan terdesak kerajaan Muhyiddin untuk berpaut pada kuasa melalui penggantungan Parlimen dan deklarasi Darurat, sehingga akhirnya peletakan jawatan Muhyiddin dan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri ketiga dalam tiga tahun.
Semua gerakan politikus ini, menafikan kebajikan serta hak rakyat dan kita hanya dapat menonton sahaja sementara ahli-ahli politik beradu kuasa walaupun COVID-19 diluar kawalan dan jutaan kehilangan punca hidup akibat sekatan pergerakan yang berterusan.
Kini masanya Rakyat menegaskan semula ketuanan kita dalam demokrasi berparlimen agar wakil wakyat mula bekerja untuk kita semula. Apabila kita membuang undi pada setiap pilihan raya, kita laksanakannya bukan sekadar tanggungjawab negara tetapi undi kita ada aspirasi terhadap masa depan yang lebih baik di mana kerajaan yang terpilih akan melaksanakan polisi yang lebih berkesan agar impian kita dapat dicapai serta undang-undang yang akan melindungi dan berkhidmat kepada kita.
Melalui kajian dan libat urus bersama pemegang-pemegang taruh, BERSIH 2.0 telah mengenalpasti kelemahan struktur dan halangan dalam sistem pilihan raya dan politik yang melemahkan hak pengundi, melumpuhkan institusi utama, memperkukuhkan Eksekutif secara tidak adil sehingga mengetepikan pembangkang.
Kempen Ketuanan Pengundi membawa semua pembaharuan penting dalam enam tuntutan untuk memperkasakan hak pengundi dan meratakan padang permainan politik kepada semua parti. Enam tuntutan itu adalah:
- JANGAN NAFI UNDI KAMI! (Isu: Reformasi SPR, Undi18, Daftar Pemilih Automatik, peluasan undi tidak hadir kepada pengundi luar kawasan)
- HENTIKAN LOMPAT PARTI! (Isu: pilihan raya pecat, peruntukan pembangunan kawasan yang saksama, reformasi pelantikan jawatan GLC)
- JAMINKAN AUTONOMI PARLIMEN (Isu: Kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen, lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, pindaan Peraturan Mesyuarat)
- HAK KAMI UNTUM MEMBANTAH (Isu: hak bersuara, berhimpun dan berpersatuan, IPCMC)
- TOLAK DUA DARJAT! (Isu: Kesetaraan undang-undang, reformasi AGC, SPRM, LHDN, reformasi lantikan pegawai utama kerajaan, kebebasan kehakiman)
- PERKASAKAN SUARA PEMBAYAR CUKAI (Isu: Galakkan demokrasi tempatan, belanjawan partisipatori, desentralisasi yang lebih baik)
Sebagai sebahagian daripada identiti enam tuntutan, kami akan menggunakan tanda isyarat tangan untuk nombor enam, bagi menunjukkan sokongan kepada tuntutan Ketuanan Pengundi serta solidatiti untuk mereka yang kelainan upaya. Untuk isyarat nombor enam, ibu jari akan bersentuhan dengan jari kelingking.
BERSIH 2.0 juga akan menjalankan kempen media sosial dan jerayawara seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran dan mendapatkan sokongan orang ramai. Pada bulan depan, kami akan melancarkan pertandingan mereka bentuk pelitup muka dan baju KP di mana ia akan diangkat sebagai reka bentuk rasmi untuk cenderahati kami.
Kami akan terus bertemu dengan parti-parti politik untuk meyakinkan mereka supaya memasukkan semua reformasi-reformasi ini ke dalam manifesto pilihan raya mereka. Kami juga sukacita memaklumkan bahawa beberapa tuntutan kami telah pun menjadi sebahagian daripada Memorandum Persefahaman untuk Tranformasi dan Kestabilan Politik yang baru ditandatangan dua hari lepas. Kami akan memantau dengan dekat janji-janji mereka.
Untuk sebahagian kempen ini, kami akan bekerjasama dengan rakan-rakan pertubuhan masyarakat madani (CSO) untuk terus berkempen atas isu yang kami kongsi bersama. Kami akan menggunakan logo Ketuanan Pengundi dan tanda pagar #KetuananPengundi dan #HidupDemokrasi sebagai advokasi bersama ini.
BERSIH 2.0 menyeru rakyat untuk menyokong enam tuntutan ini dengan mengkongsikan poster digital kami, dan berhubung dengan wakil rakyat mereka supaya menyokong tuntutan-tuntutan ini. Disebabkan kempen ini akan menggunakan sumber yang besar bergerak selama dua tahun akan datang, kami ingin memohon sokongan anda dengan memberi sumbangan kepada kami:
Nama: Bersih & Adil Network Sdn Bhd
Bank: Maybank (Cawangan PJ Old Town)
No. akaun: 512295102931
Rujukan: Ketuanan Pengundi
Menjadi harapan kami bahawa satu hari nanti kita akan menyambut 15 September sebagai Hari Ketuanan Pengundi, sehari sebelum kita menyambut kelahiran Malaysia pada 16 haribulan, dengan demokrasi memeluk kepelbagaian budaya, etnik dan agama. Hidup Rakyat, Hidup Malaysia!
Selamat Hari Malaysia ke-58!
#KetuananPengundi #HidupDemokrasi
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0