Gubal Undang-Undang Peruntukan Ahli Parlimen, Tidak Boleh Hanya Sekadar Ihsan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri YB Mastura Mohd Yazid di Dewan Rakyat semalam (23 September 2021) yang memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberikan peruntukan pembangunan kawasan (constituency development fund – CDF) kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang. Peruntukan tersebut akan disalurkan bermula September hingga Disember tahun ini.

Keputusan untuk memberikan peruntukan secara adil ini adalah bertepatan dengan semangat parlimen dan demokrasi di mana wakil rakyat berhak dilayan secara adil bagi memberi khidmat sepenuhnya kepada rakyat di kawasan mereka. Keputusan ini juga memperlihatkan kesanggupan Kerajaan Persekutuan mendengar pandangan-pandangan BERSIH 2.0 dan parti pembangkang lain supaya peruntukan diberikan kepada semua tanpa diskriminasi. Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik yang dicapai antara Pakatan Harapan dan Kerajaan Persekutuan hanya bersetuju memberikan peruntukan kepada parti-parti yang menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut.

Namun, keputusan yang baik ini tidak boleh hanya dilaksanakan apabila berlaku pergolakan politik atau dasar budi bicara Perdana Menteri yang ingin memberikan peruntukan yang adil kepada semua Ahli Parlimen.

BERSIH 2.0 mengulangi gesaan kami untuk Kerajaan Persekutuan segera menggubal satu undang-undang CDF bagi memastikan peruntukan kepada semua wakil rakyat diberikan secara sama rata dan berterusan, serta bukannya atas dasar ihsan mana-mana pihak. Undang-undang CDF selain memastikan peruntukan diberikan secara sama rata, ia juga perlu menyatakan formula peruntukan untuk setiap kawasan, sumber kewangan dalam belanjawan tahunan, had peruntukan tahunan CDF, keperluan agensi dan wakil rakyat untuk menyiarkan maklumat utama CDF kepada orang ramai, mekanisme penyertaan orang ramai dalam perumusan, pelaksanaan dan pemantauan CDF serta sekatan kepada penyalahgunaan atau penggelapan CDF.

Selain itu, semua kerajaan negeri juga perlu mencontohi tindakan kerajaan persekutuan dan juga kerajaan negeri Perak yang merupakan negeri pertama memberikan peruntukan yang saksama kepada semua wakil rakyat di dewan. Kerajaan-kerajaan negeri perlu menyalurkan peruntukan yang saksama dengan menggubal satu ordinan CDF agar wakil rakyat di peringkat negeri dapat membantu rakyat di kawasan mereka terutama semasa musim COVID-19 ini.

Reformasi-reformasi yang dipersetujui antara kerajaan dan Pakatan Harapan serta yang telah banyak didesak oleh banyak pihak termasuk BERSIH 2.0 tidak cukup sekadar dilaksanakan atas dasar budi bicara kerajaan. Ia perlu diinstitusikan segera melalui penggubalan undang-undang agar semua pihak dapat melakukan semak dan imbang yang berkesan sekaligus mengukuhkan institusi parlimen yang sekian lama dilemahkan.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0