Tak Wajar Hukum Pemilih Yang Tidak Membuang Undi, Lebih Utama Baiki Kelemahan Sistem Politik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) merujuk kepada perbahasan Ahli Parlimen Pontian, YB Datuk Seri Ahmad Maslan di dalam Dewan Rakyat kelmarin (30 September 2021) yang mencadangkan agar kerajaan menghukum pemilih yang tidak turun untuk membuang undi dalam pilihan raya. Beliau mencadangkan agar rakyat yang tidak turun mengundi dikenakan denda sebanyak RM100-200 kerana tidak menjalankan tanggungjawab kepada negara.

Walaupun cadangan tersebut berkemungkinan dibuat dengan niat untuk menggalakkan semua rakyat yang layak turun untuk mengundi dalam pilihan raya, namun BERSIH 2.0 berpandangan kaedah yang dicadangkan oleh Ahmad Maslan tidak sesuai dan tidak selari dengan prinsip kebebasan memilih oleh rakyat. Meski penyertaan rakyat sangat asasi dalam proses pilihan raya dan menjadi hak yang sakral, namun mereka juga mempunyai hak untuk tidak turun mengundi dalam pilihan raya.

Berbanding menghukum mereka yang tidak turun mengundi, tumpuan yang lebih utama adalah dengan kerajaan menyediakan akses pengundian yang lebih baik kepada rakyat agar mereka dapat turun menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Kaedah yang sekadar menghukum tanpa menyediakan prasarana, bantuan dan peluang yang lebih baik kepada rakyat hanya akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada proses demokrasi dan pilihan raya kerana mereka mengundi disebabkan terpaksa serta bukannya kerana tanggungjawab. Justeru, perkara berikut perlu dilaksanakan segera bagi menyediakan sistem yang lebih baik untuk membantu rakyat keluar mengundi:

  1. Penetapan tarikh pilihan raya
  2. Penambahbaikan kemudahan infrastruktur untuk OKU
  3. Pemanjangan tempoh pengundian
  4. Peluasan kategori undi tidak hadir kepada pengundi yang berada di luar kawasan
  5. Penambahan pusat pengundian dan saluran pengundian untuk mengelakkan masa beratur yang lama. Pusat pengundian bergerak juga boleh dilaksanakan terutama pengundi di kawasan pedalaman.

Sekiranya kita inginkan peratusan keluar mengundi dengan lebih tinggi, pendekatan menghukum tidak wajar digunakan sama sekali sebaliknya kerajaan perlu bersiap sedia mendidik rakyat dengan program-program pendidikan pengundi seperti kepentingan mengundi, proses pengundian dan prinsip-prinsip demokrasi. Selain itu, isu penguatkuasaan hukuman juga bakal menjadi isu besar kepada badan penguatkuasa seperti SPR untuk mengeluarkan saman kepada pemilih yang tidak turun mengundi.

Pilihan raya dan proses-prosesnya memerlukan penyertaan rakyat, dan rakyat hanya akan yakin kepada pilihan raya sekiranya sistem pilihan raya bersih dan adil dengan menyediakan padang yang sama rata kepada semua pihak yang bertanding. Di samping itu, kelemahan-kelemahan dalam sistem politik yang menyebabkan wakil rakyat sewenangnya melompat parti dan mengkhianati mandat pilihan raya juga wajib diperbaiki dengan segera.

Ahli-ahli politik perlu fokus mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem politik dan demokrasi dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang menyebabkan perubahan kerajaan pertengahan penggal akibat lompat parti. Mereka perlu memberikan alasan kukuh bagi memastikan rakyat terus percaya dan berasa tidak rugi untuk mengundi dalam pilihan raya.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0