Pisahkan Jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya Dengan Segera

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) hari ini telah melancarkan laporan kajian yang bertajuk “Reformasi Jawatan Peguam Negara dan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan di Malaysia”. Laporan ini, yang dinaungi oleh BERSIH 2.0 dan ditulis oleh Andrew Yong, menunjukkan kekurangan kawalan perlembagaan terhadap jawatan Peguam Negara merangkap Pendakwa Raya, yang menyebabkan pendakwaan terpilih dan penguatkuasaan undang-undang jenayah yang tidak sama rata di Malaysia, serta menunjukkan pemisahan kuasa yang tidak mencukupi antara Jabatan Peguam Negara dan Badan Kehakiman Mahkamah Rendah.

Laporan ini mengkaji peruntukan perlembagaan semasa yang mengelola Peguam Negara dan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan di Malaysia dengan merujuk kepada sejarah dan amalan semasa yang terbaik yang diguna pakai di pelbagai Negara Komanwel. Ia telah mempertimbangkan skop dan fungsi, proses pemilihan dan jaminan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di Malaysia, serta hubungan Jabatan Peguam Negara dengan kerajaan-kerajaan Negeri dan institusi persekutuan yang lain.

Pemecatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani bin Patail secara tiba-tiba pada tahun 2015 dan tindakan penggantinya, Tan Sri Apandi Ali, dalam membersihkan Dato’ Sri Najib bin Razak daripada semua kesalahan jenayah berkaitan skandal 1MDB telah membusukkan nama jawatan Peguam Negara, dan menyumbang kepada ketidakpercayaan masyarakat terhadap sistem keadilan jenayah di Malaysia. Layanan lembut terhadap menteri-menteri Kerajaan, berbeza dengan tindakan pantas dan drakonian yang diambil terhadap pemimpin pembangkang dan pemimpin masyarakat madani, telah menimbulkan persepsi umum bahawa Peguam Negara di Malaysia beroperasi sebagai orang suruhan Perdana Menteri dan bukannya sebagai pegawai kuasi-kehakiman (quasi-judicial) yang tidak berpihak.

Pada bulan Julai 2021, Menteri Undang-Undang dalam kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini, Takiyuddin Hassan, telah menyatakan bahawa Kerajaan tiada bantahan untuk mempertimbangkan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mereformasi jawatan Peguam Negara. Ini telah disokong oleh ahli-ahli politik dan parti-parti politik termasuk Datuk Sri Azalina Othman, Tun Mahathir Mohamad, MCA dan lain-lain.

Dengan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional dan muslihat-muslihat ahli politik dari “Kluster Mahkamah”, yang menghadapi tuduhan atau disabit kesalahan rasuah serta kesalahan lain terhadap rakyat Malaysia, kini penting untuk tindakan diambil bagi menghilangkan pengaruh politik serta gangguan lain daripada pendakwaan awam dan sistem keadilan jenayah di Malaysia.

BERSIH 2.0 menyeru agar kerajaan segera memulakan dan bekerjasama dengan parti politik lain di Parlimen untuk menjalankan reformasi perlembagaan yang telah diperincikan dalam laporan, seperti yang diringkaskan di bawah:

  • Pemisahan pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya
  1. Oleh kerana Peguam Negara adalah seorang lantikan politik tanpa jaminan jawatan, beliau perlu berhenti memegang jawatan Pendakwa Raya atau menjadi anggota di mana-mana Suruhanjaya Perkhidmatan. Kewibawaannya hendaklah terhad kepada Jabatan Peguam Negara sahaja, dan bukan kepada keseluruhan Perkhidmatan Perundangan.
  2. Perdana Menteri harus memiliki fleksibiliti untuk memilih calon terbaik sebagai Peguam Negara dan untuk jawatan Menteri Undang-Undang, dan boleh menggabungkan kedua-dua jawatan tersebut dalam satu individu, sebagaimana yang dianggap sesuai. Namun, Parlimen harus mempunyai hak untuk mewajibkan pencalonan Perdana Menteri dikemukakan untuk mendapat persetujuan Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen.
  3. Peguam Negara harus menghadiri sesi Kabinet secara berkala, dan harus juga berhak, seperti menteri Kabinet, untuk mengambil bahagian secara ex officio dalam prosiding kedua-dua Dewan. Namun, jika Peguam Negara dilantik sebagai Menteri Undang-Undang, maka beliau mesti menjadi anggota Dewan Parlimen.
  4. Pendakwa Raya harus dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas syor Suruhanjaya Perkhidmatan yang sesuai, setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri. Syor tersebut boleh dikembalikan kepada Suruhanjaya sekali sahaja untuk ditimbang semula. Parlimen harus mempunyai hak untuk mewajibkan nasihat Perdana Menteri dikemukakan untuk mendapat persetujuan Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen sebelum dipersembahkan kepada YDPA.
  5. Pendakwa Raya hendaklah dilantik untuk satu penggal selama lapan tahun, tertakluk kepada usia persaraan maksimum yang sama seperti hakim Mahkamah Persekutuan, dan dengan jaminan jawatan yang sama.
  6. Parlimen harus mempunyai kuasa untuk mewajibkan Pendakwa Raya supaya berunding dengan Peguam Negara dalam kes-kes tertentu, tetapi tidak boleh mewajibkan Pendakwa Raya bertindak tertakluk kepada persetujuan atau di bawah arahan atau kawalan mana-mana pihak.
  7. Parlimen harus mempunyai hak untuk memberikan kuasa kepada pihak berkuasa yang lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, dan lain-lain, untuk memulakan dan menjalankan pendakwaan atas kesalahan-kesalahan tertentu dalam bidang kuasa masing-masing; namun Pendakwa Raya harus memiliki kuasa, dengan kebenaran mahkamah atau persetujuan pihak berkuasa yang berkenaan, untuk mengambil alih sebarang pendakwaan.
  • Pemisahan Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan
  1. Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan harus dibahagikan kepada Perkhidmatan Kehakiman dan Perkhidmatan Perundangan yang berasingan, masing-masing mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan yang tersendiri.
  2. Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman harus kembali dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara sebagai ketua Badan Kehakiman, dengan pemegang jawatan kehakiman yang lain dan wakil ketua Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sebagai anggota ex officio. Ia juga harus memegang kembali tanggungjawab untuk mencalonkan anggota tribunal bagi menamatkan jawatan hakim Mahkamah Atasan dan untuk mengesyorkan penggantungan jawatan sementara menunggu keputusan tribunal tersebut.
  3. Suruhanjaya Perkhidmatan Perundangan harus tidak lagi mempunyai Peguam Negara sebagai anggota ex officio, dan tempatnya harus digantikan oleh Peguamcara Negara dan Pendakwa Raya. Ia harus bertanggungjawab ke atas pelantikan, kenaikan pangkat, pemindahan dan disiplin semua anggota Perkhidmatan Perundangan. Ia juga harus memiliki tanggungjawab untuk mencalonkan anggota tribunal untuk menamatkan jawatan Pendakwa Raya dan untuk mengesyorkan penggantungan jawatan sementara menunggu keputusan tribunal tersebut.
  4. Peguam Negara dan Peguamcara Negara tidak harus berkuasa memberi arahan kepada  anggota Perkhidmatan Perundangan yang dilantik atau ditugaskan untuk berkhidmat di Jabatan Pendakwa Raya, Kerajaan Negeri, Parlimen atau Suruhanjaya-suruhanjaya yang bebas.
  5. Pembaharuan undang-undang hendaklah terus menjadi tanggungjawab setiap kementerian, bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara. Akan tetapi, sebuah Suruhanjaya Pembaharuan Undang-Undang yang terdiri dari ahli akademik undang-undang dan bekas hakim harus dibentuk, di bawah pengawasan Kementerian Undang-Undang, bagi membentukkan cadangan untuk pembaharuan undang-undang, yang hendaklah dibentangkan di Parlimen.

BERSIH 2.0 mendesak semua parti politik di Parlimen untuk bekerjasama bagi melaksanakan saranan ini tanpa bertangguh lagi, bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai iltizam politik dan komited terhadap reformasi institusi yang dijanjikan kepada rakyat.

#KetuananPengundi
#HidupDemokrasi

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0