Kenyataan Media Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional 8 Oktober 2021 Rombakan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Perlu Proses Yang Lebih Telus dan Terbuka

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, maklum bahawa Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas bagi Dewan Rakyat akan melabuhkan tirainya minggu hadapan dan mezahirkan kebimbangan tentang janji Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik untuk melaksanakan “dengan serta merta” dalam Perkara 3.3 (dalam Lampiran) berkaitan penambahan bilangangan Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen dan Perkara 3.4 berkaitan keseimbangan keahlian dan kepimpinan JPK.

  1. Sungguhpun dilaporkan bahawa senarai anggota JPK Parlimen yang baru selepas perlantikan pentadbiran baru akan diumumkan minggu depan akan tetapi ada dua perkara utama yang masih tidak jelas. Kami menyeru Ahli-ahli Jawatankuasa Pemandu MoU agar memberi pencerahan kepada orang awam supaya sebarang kekurangan boleh dielakkan dalam pengumuman kelak.
  2. Pertama, adakah bilangan JPK akan ditambah dengan secukupnya dan tidak berulang keadaan seperti di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dahulu? 

(a) Adakah setiap portfolio kementerian akan dipantau oleh sesebuah JPK? Status quo sekarang yang mana lapan kementerian iaitu (1) Hal Ehwal Negeri (dengan seorang menteri dan tiga orang Duta Khas bertaraf menteri), (2) Sumber Manusia, (3) Komunikasi dan Multimedia, (4) Belia dan Sukan, (5) Pelancongan, Seni dan Budaya, (6) Perpaduan Negara, (7) Wilayah Persekutuan dan (8) Pembangunan Usahawan dan Koperasi terlepas daripada pemantauan sebarang JPK, sepatutnya tidak berulang lagi.

(b) Adakah setiap JPK wajar menjaga lebih daripada dua kementerian? Keadaan seperti di mana sebuah JPK Pembangunan Infrastruktur menjaga empat buah kementerian penting; Kerja Raya, Pengangkutan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, serta Pembangunan Luar Bandar tidak sepatutnya terjadi lagi.

(c) Adakah JKP ditubuhkan untuk memantau isu pentingseperti (1) Hal Ehwal Pilihanraya dan Parti; (2) Federalisme dan Desentralisasi; dan (3) Pendanaan Politik, sepertimana yang dituntut oleh parti politik dan masyarakat sivil?

  1. Kedua, adakah jumlah bilangan Ahli Parlimen yang menganggotai JPK hanya dihadkan kepada 82 atau kurang daripada ini sekadar untuk memastikan bilangan Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (backbenchers) tidak dilangkaui Ahli Parlimen Pembangkang? Jika keadaan ini berlaku, seramai 65 Ahli Parlimen Pembangkang akan dinafikan peluangnya untuk terlibat dalam proses pantauan terhadap Eksekutif dan pembentukan dasar dalam masa lapan ke sembilan bulan setahun apabila Dewan tidak bersidang.
  2. Keadaan yang tidak masuk akal ini boleh berlaku berdasarkan latar belakang ini:

(a) 73 orang (termasuk Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan tiga orang Duta Khas bertaraf Menteri) daripada 114 Ahli Parlimen Kerajaan adalah anggota Pentadbiran yang tidak layak menganggotai JPK;

(b) 147 orang Ahli Parlimen Persendirian (bukan Menteri atau Timbalan Menteri) yang layak menganggotai JPK terdiri daripada 41 orang Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (backbencher) dan 106 orang Ahli Parlimen Pembangkang (termasuk Ahli Parlimen Gua Musang); dan

(c) Jika keseimbangan keanggotaan JPK disalahtaksifkan sebagai jumlah Ahli Parlimen Pembangkang dalam JPK tidak boleh melebihi jumlah Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (backbencher), oleh itu jumlah keseluruhannya ialah 41 x 2 iaitu 82 orang Ahli Parlimen. 

  1. Kami menyeru agar Jawatankuasa Pemandu MoU yang terdiri daripada lima orang masing-masing mewakili Kerajaan Dato’ Sri Ismail Sabri dan Pakatan Harapan untuk mengumumkan: 

(a) bilangan dan senarai ahli JPK yang akan dilantik;

(b) ketetapan bahawa semua Ahli Parlimen Persendirian yang berminat untuk menyertai JPK akan berpeluang mengambil bahagian;

(c) kesediaan untuk menambahkan bilangan anggota setiap JPK daripada bilangan minimumnya iaitu tujuh orang; dan

(d) ketetapan bahawa pemilihan Ahli-ahli Parlimen Persendirian untuk menyertai JPK dibuat dengan serius mengambilkira minat dan keupayaan mereka dan bukan dibuat secara sambil lewa oleh pemimpin dan ketua whip parti.   

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Sila kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP 

Ditandatangani oleh:

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0)
  2. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
  3. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
  4. Bait Al-Amanah
  5. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
  6. ENGAGE