Tubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen berkenaan Pilihan Raya

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengalu-alukan rombakan yang telah dilakukan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) di mana jumlah ahli JPKP telah ditambah kepada sembilan orang dan nisbah di antara wakil rakyat parti kerajaan dan parti pembangkang telah diperbetulkan kepada 5:4 yang mencerminkan kekuatan sebenar masing-masing dalam Parlimen.

Sembilan JPKP yang ditubuhkan iaitu berkenaan Kebebasan Asasi dan Hak Perlembagaan, Kewangan dan Ekonomi, Keselamatan, Agensi-Agensi Di Bawah Jabatan Perdana Menteri, Pertanian Dan Perdagangan Dalam Negeri, Pembangunan Infrastruktur, Pendidikan, Hal Ehwal Wanita dan Kanak-Kanak Dan Pembangunan Sosial dan, Kesihatan, Sains Dan Inovasi.

Kami juga menerima baik cadangan untuk menubuhkan satu JPKP baru iaitu JPKP Hal Ehwal Antarabangsa dan kami harap ini akan merangkumi kawal selia Parlimen terhadap hak dan tanggungjawab Malaysia di bawah undang-undang antarabangsa yang ditandatangani oleh kerajaan, termasuk isu seperti perubahan iklim dan lain-lain.  

BERSIH 2.0 juga ingin mengesa pindaan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat supaya satu jawatankuasa tetap (Standing Committee)), seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), berkenaan hal-hal dan isu pilihan raya ditubuhkan bagi mengawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bebas dan isu-isu penambahbaikan sistem pilihan raya yang tidak tertakluk kepada bidang kuasa mana-mana kementerian. Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya amat penting untuk ditubuhkan terutamanya bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya dalam keadaan pandemik yang masih belum reda dan kita masih mempunyai 5 pilihan raya (2 pilihan raya negeri dan 3 pilihan raya kecil) yang masih tertangguh.

Sebab mengapa perlunya satu Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya dalam Parlimen adalah kerana sistem dan isu pilihan raya amat penting untuk sistem politik negara dan banyak isu-isu pembaharuan perlu dibincangkan dan diambil tindakan. Jika ia ditubuhkan sebagai JPKP sahaja, ia mudah dibubarkan dan dihilangkan, seperti yang berlaku kepada JPKP Hal Ehwal Pilihan Raya yang ditubuhkan oleh Dewan Rakyat pada 2019 di bawah pimpinan mantan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohd Ariff bin Yusof setelah berlakunya Langkah Sheraton.

Kami juga ingin mengulangi semula cadangan kami pada tahun 2019 di mana Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya perlu dipengerusikan oleh wakil rakyat daripada pembangkang serta dianggotai oleh wakil rakyat yang mempunyai komitmen kepada pilihan raya bersih dan adil serta ada kepakaran berkenaan urusan pilihan raya.

Mandat Jawatankuasa Tetap Pilihan Raya ini perlu merangkumi:

  1. Menubuhkan satu Jawatankuasa Pencalonan yang bebas untuk menamakan calon-calon kepada Perdana Menteri untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli-Ahli Pesuruhjaya SPR.
  2. Menerima, menyemak dan membahaskan laporan tahunan daripada SPR termasuklah laporan khusus selepas Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil, sebelum laporan tersebut dibentang di Dewan Rakyat dengan ulasan JPKP.
  3. Menerima, meneliti dan memeriksa laporan kewangan dan perbelanjaan SPR termasuklah selepas Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Kecil.
  4. Melaksanakan siasatan berkaitan sebarang isu berkenaan pilihan raya apabila perlu dengan kuasa untuk mensapina saksi-saksi bagi memberikan keterangan dan bukti-bukti bagi isu yang dibangkitkan. Siasatan ini juga perlu dilakukan secara terbuka kepada orang umum dan disiarkan secara langsung di televisyen ataupun di laman web parlimen sebagaimana siaran perbahasan parlimen.
  5. Menyemak sebarang undang-undang dan pindaan undang-undang berkenaan pilihan raya sebelum dibentangkan dan dibahaskan di dalam parlimen melalui proses libat urus semua pemegang taruh, terutamanya parti-parti politik, pengundi dan masyarakat madani.
  6. Memanggil SPR untuk menjawab soalan di Parlimen berkenaan pentadbiran SPR dan pengurusan proses-proses pilihan raya berbanding soalan tersebut dijawab oleh Menteri bagi memastikan SPR bebas daripada Eksekutif.
  7. Memberi cadangan-cadangan bagi reformasi sistem, amalan dan undang-undang pilihan raya.
  8. Memanggil pakar-pakar daripada dalam dan luar negara bagi mendapatkan pandangan ketiga terhadap sesuatu isu berkaitan sistem, pelaksanaan dan undang-undang pilihan raya

Kami juga menyeru kepada kerajaan supaya memberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang terma sembilan JPKP ini supaya orang ramai dimaklumkan kementerian mana dikawal selia oleh JPKP yang mana dan samada terdapat kementerian yang terlepas daripada kawal selia mana-mana JPKP.  

Peraturan Mesyuarat untuk JPKP juga perlu dipinda dan sumber manusia dan kewangan yang mencukupi perlu diperuntukan supaya semua JPKP dapat berfungsi secara efektif dan bermakna. BERSIH 2.0 sedia membantu dan memberi kerjasama kepada kerajaan dan Parlimen berkaitan hal-hal pembaharuan ini.

 

Pilihan raya adalah tonggak kepada demokrasi dalam negara dan sangat mustahak dijalankan dengan telus, bersih dan adil bagi memastikan persaingan politik di Malaysia berlangsung secara sihat, matang, progresif dan demokratik.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0