Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) meminta supaya peranan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-negeri (DUN) yang berperlembagaan dan demokratik, diakui dan ditingkatkan dalam proses pembentukan sesebuah kerajaan. Adalah amat penting agar langkah-langkah tersebut diambil kira dengan kadar segera, memandangkan keadaan ketidakstabilan politik yang berterusan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan jatuhnya banyak kerajaan negeri dan persekutuan.
BERSIH 2.0 hari ini melancarkan sebuah laporan penyelidikan yang bertajuk “Peranan Parlimen dalam Pembentukan Kerajaan: Meningkatkan Kestabilan dan Kebertanggungjawaban Melalui Protokol Kepercayaan dan Pembubaran”. Laporan ini dinaungi oleh BERSIH 2.0 dan ditulis oleh Maha Balakrishnan. Laporan ini menyimpulkan, antara lain, terdapat kepincangan kepada standard dalam menentukan persoalan kepercayaan dalam menentukan pelantikan dan pemecatan seseorang Perdana Menteri (PM) dan Menteri Besar/Ketua Menteri (MB/KM); selain itu tidak ada sebuah mekanisme institusi bagi ketelusan dan kebertanggungjawaban yang secukupnya terhadap bagaimana seseorang ketua negara/negeri melaksanakan peranan mereka; juga peranan penting sesebuah badan perundangan untuk mengesahkan persoalan kepercayaan tidak konkrit secara institusi dan sikap; dan peranan dan kebergantungan kepada ketua negara/negeri dalam urusan pelantikan dan pemecatan PM dan MB/KM telah berkembang dari masa ke masa sebahagiannya kerana badan perundangan itu sendiri terlalu lemah untuk menyatakan peranan sebenar mereka.
Oleh itu, kami mendesak para ahli politik dalam proses tersebut, khususnya kerajaan dan Dewan Rakyat untuk komited menambahbaik kuasa institusi Parlimen sebagai medium tertinggi untuk mengekalkan kestabilan dan kebertanggungjawaban dalam sebuah demokrasi yang sihat. Berikut ini cadangan penambahbaikan oleh BERSIH 2.0 seperti yang terdapat dalam kertas penyelidikan terbaru kami, seperti:
- Mengkanunkan Tatacara Percaya dan Tidak Percaya melalui sebuah undang-undang bertulis dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.
- Pengenalan kepada sebuah Undi Pengesahan (Investiture Vote) di Dewan Rakyat untuk mengesahkan mandat kepercayaan terhadap seseorang PM yang baru dilantik sama ada sejurus selepas PRU atau ketika dalam penggal Parlimen.
- Memastikan bahawa mana-mana ahli Dewan Rakyat berhak dan diberi kuasa untuk membawa usul untuk menyatakan hilangnya kepercayaan terhadap seseorang PM dan untuk menyatakan kepercayaan kepada Ahli Parlimen lain untuk menjadi PM. Usul tersebut harus diproses dan dibawa sebagai perkara keutamaan mengatasi urusan Kerajaan, dengan meletakkan tata cara yang memadai untuk memastikan proses tersebut tidak disalahgunakan.
- Peraturan berkanun mengenai kuasa PM untuk meminta pembubaran Parlimen, menghendakkan seorang PM untuk mendapatkan kelulusan Parlimen sebelum beliau dapat meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen bagi sebuah pilihan raya kilat.
- Penggubalan undang-undang pecat untuk menyekat wakil rakyat daripada menukar parti yang boleh menyebabkan ketidakstabilan dan ketidakberkesanan sesebuah kerajaan.
#KetuananPengundi
#HidupDemokrasi
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0