Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mencabar parti-parti politik dan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Negeri Melaka (PRN Melaka) untuk menjanjikan kestabilan dan akauntabiliti selepas pilihan raya melalui pembaharuan institusi sebagai agenda utama dalam manifesto pilihan raya mereka supaya pengundi Melaka tahu undi dan mandat mereka tidak akan kehilangan makna selepas pilihan raya.
Walaupun Memorandum Persefahaman Politik terjalin antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan, namun ia masih lagi tidak dapat menstabilkan situasi politik selagi pembaharuan institusi politik dan demokrasi di negara kita tidak dilembagakan sebagai undang-undang di peringkat Persekutuan mahupun di peringkat Negeri. Hal ini jelas dengan berlakunya penarikan sokongan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka terhadap Ketua Menteri mereka yang menyebabkan DUN terbubar dan pilihan raya terpaksa diadakan pada bulan November ini.
Justeru, BERSIH 2.0 menggesa agar calon-calon dan parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRN Melaka untuk mengumumkan manifesto pilihan raya mereka dan apakah polisi-polisi dan undang-undang yang akan digubal oleh mereka sekiranya berkuasa untuk menyelesaikan masalah kemelut politik akibat lompat parti, ketidaktentuan sokongan majoriti Ketua Menteri yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan, ketidakstabilan politik dan menghakis sistem demokrasi negara.
Demi kestabilan politik dan sistem demokrasi yang lebih matang dan sihat, kami mendesak calon-calon dan parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRN Melaka untuk mengambil Cabaran Melaka dengan menjanjikan pembaharuan berikut, bukan saja dalam manifesto mereka, tetapi juga persediaan untuk berkerjasama dengan parti lain untuk merealisasikan pembaharuan yang sesetengahnya memerlukan pindaan Perlembagaan Negeri
- Menggubal sebuah Enakmen Mengawal Lompat Parti dan Akauntabiliti Politik untuk memperkasakan ketuanan pengundi bagi memecat wakil-wakil rakyat yang suka melompat parti atau gabungan. Wakil rakyat yang melompat atau dipecat parti, sama ada kerana perbezaan politik atau mengejar kepentingan peribadi akan dihakimi oleh rakyat sama ada harus dipecat atau dikekalkan melalui kutipan petisyen dengan nilai ambang tertentu.
- Meminda Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN untuk mewajibkan Undi Percaya Pengesahan (Confirmatory Vote of Confidence, CVC) untuk Ketua Menteri selepas perlantikan, tidak kira selepas pilihan raya baru atau pada pertengahan penggal, untuk memperkasakan keabsahan Ketua Menteri dan mengurangkan percubaan untuk menjatuhkannya.
- Meminda Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN untuk memperkenalkan Undi Tidak Percaya Secara Konstruktif (Constructive Vote of No Confidence) yang menetapkan bahawa Ketua Menteri tidak dapat dijatuhkan kecuali jika undi tidak percaya juga mengandungi nama penggantinya diluluskan dengan majoriti mudah, dan tiada pilihan raya baru diperlukan jika Ketua Menteri Baru dapat digantikan dengan kaedah sedemikian.
- Menggubal sebuah Enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan peruntukan CDF diberikan secara sama rata dan saksama kepada semua wakil rakyat sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Peruntukan yang berat sebelah hanya akan menghukum rakyat di kawasan tersebut dan menjadikan padang politik berat sebelah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
- Mereformasikan Dewan Undangan Negeri untuk menjadikan ia benar-benar badan bebas daripada Eksekutif dengan:
a. Penetapan agenda DUN ditentukan melalui perbincangan antara-parti melalui Jawatankuasa Dewan, dan tidak ditentukan secara sehala oleh Yang di-Pertua atau Ketua Menteri (sebagai Ketua Dewan);
b. Menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan dengan komposisi jawatankuasa yang mencerminkan nisbah ADUN Bukan EXCO setiap parti di dalam DUN, dan menjamin penyertaan kedua-dua ADUN barisan belakang kerajaan dan ADUN pembangkang dalam membentuk dasar-dasar pentadbiran kerajaan negeri.
BERSIH 2.0 bersedia berbincang dan memberi nasihat serta bantuan teknikal kepada mana-mana parti politik yang berhasrat untuk membawa agenda-agenda ini dalam manifesto mereka.
BERSIH 2.0 berpandangan bahawa pembaharuan sistem politik amat diperlukan sekarang bagi memberikan peranan yang lebih bermakna, sihat dan matang kepada wakil rakyat yang telah dipilih dalam pilihan raya. Agenda-agenda ini perlu diangkat dengan segera dan perlu menjadi inti kepada manifesto pilihan raya agar politik tidak berkecamuk dengan kepentingan pihak tertentu dan membelakangi rakyat serta institusi politik negara kita. Mereka yang enggan mengangkat cadangan ini supaya dapat mengaut keuntungan daripada kelompangan yang wujud dalam sistem politik kita perlu dihukum oleh pengundi di Melaka.
BERSIH 2.0 juga menggesa semua parti yang menerima Cabaran Melaka ini untuk menandatangani satu Perjanjian Persaingan Sihat untuk menjanjikan persediaan mereka untuk menerima keputusan rakyat pada hari pengundian, tidak akan menarik ADUN-ADUN parti lain untuk berpaling tadah, sebaliknya akan bekerjasama antara satu sama lain dalam pindaan Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN dan penggubalan enakmen baru demi merealisasikan Cabaran Melaka ini.
BERSIH 2.0 yakin parti-parti yang berani dan ikhlas menyahut Cabaran Melaka ini boleh menyakinkan penggundi Melaka untuk keluar mengundi dan memberi keutamaan kepada mereka pada hari mengundi.
#KetuananPengundi
#HidupDemokrasi
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0