Merujuk kepada aktiviti Gerai Prihatin Rakyat yang akan dianjurkan oleh Perikatan Nasional (PN) Melaka pada 30 Oktober 2021 di Kampung Tersusun Jus Permai, Kelebang, Melaka(1), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memberi amaran kepada parti-parti politik bahawa beberapa perkara di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya sudah pun mula berkuat kuasa apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka terbubar pada 4 Oktober lepas.
Kebanyakan parti politik atau calon hanya menganggap Akta Kesalahan Pilihan Raya bermula selepas penamaan calon namun tempoh pilihan raya telah bermula selepas DUN atau Parlimen dibubarkan. Justeru, BERSIH 2.0 mengingatkan bahawa aktiviti sebegini adalah satu kesalahan pilihan raya di mana perbuatan secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana pihak untuk memberikan makanan, minuman atau bekalan sebelum, semasa atau selepas pilihan raya dengan tujuan mendapatkan undi di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Walaupun Gerai Prihatin Rakyat tersebut tidak memberikan makanan, minuman atau bekalan secara langsung namun mereka menjualnya dengan harga yang sangat murah dan boleh mempengaruhi pengundi secara rasuah untuk mengundi parti-parti politik atau calon-calon yang menyediakan khidmat sedemikian semasa tempoh pilihan raya.
Kesalahan di bawah Seksyen 8 ini boleh menyebabkan penganjur aktiviti seperti PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohiddeen, Tan Sri Muhyiddin Yassin, syarikat yang terlibat dan mereka yang menerima tawaran dijatuh hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak kurang seribu ringgit dan tidak melebih lima ribu ringgit jika disabitkan kesalahan.
BERSIH 2.0 menggesa semua pihak menjunjung semangat pilihan raya bersih dan adil serta semangat peruntukan Akta ini untuk menghalang mana-mana pihak secara rasuah mempengaruhi pengundi untuk memilih mereka dalam pilihan raya.
#KetuananPengundi
#HidupDemokrasi
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
(1)https://www.facebook.com/104730808300706/photos/a.109888084451645/250658373707948