PRN Sarawak: Rakyat Sarawak Berhak Mendapatkan Sebuah Pilihan Raya yang Adil dan Saksama Supaya Demokrasi Terus Subur di Sarawak

Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang baru sahaja berakhir, kini sekali lagi tumpuan seluruh negara terarah kepada PRN Sarawak yang telah diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa hari lepas. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengikuti dengan dekat pengumuman oleh SPR tersebut.

BERSIH memandang serius tempoh berkempen yang terlalu singkat dengan hanya 12 hari seperti diumumkan SPR untuk PRN Melaka sebelumnya dan sekarang untuk PRN Sarawak. Sarawak adalah sebuah negeri terbesar dan mempunyai bilangan DUN terbanyak di Malaysia, maka mustahil tempoh berkempen sesingkat ini dapat memberi keadilan kepada pengundi dan calon yang bertanding. Rekod sebelum ini pun, pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan PRN Sabah telah diperuntukkan 14 hari bagi tempoh berkempen. Sewajarnya, tempoh ideal untuk waktu berkempen sekurang-kurangnya 21 hari bagi PRN Sarawak kali ini supaya undi pos sempat sampai ke peti undi dan calon dan parti mempunyai lebih masa untuk berkempen dalam keadaan yang terkawal dalam pandemik.

Walaupun hari pengundian jatuh pada hari Sabtu namun masih terdapat banyak syarikat, organisasi atau individu yang bekerja pada hari tersebut. BERSIH menyarankan Kerajaan Sarawak mengumumkan Hari Kelepasan Am Khas pada hari pengundian 18 Disember nanti, seperti diumumkan Kerajaan Melaka sebelum ini bagi memberi lebih kemudahan dan keselesaan kepada para pengundi keluar membuang undi. 

BERSIH juga mencadangkan supaya sekurang-kurangnya satu pusat pengundian khas disediakan di setiap negeri bagi membenarkan pengundi Sarawak membuang undi di mana sahaja mereka berada dalam Malaysia. Untuk rekod, dianggarkan sejumlah 250,000 orang rakyat Sarawak menetap di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Mengikut semakan semasa harga tiket kapal terbang ke Sarawak dari Semenanjung hampir mencecah RM3,000. Amatlah tidak adil untuk pengundi Sarawak lebih-lebih lagi yang kurang berkemampuan untuk membiayai kos perjalanan semahal itu bagi menjalankan tanggungjawab mereka. Juga mustahil untuk pengundi berulang-alik sebanyak dua kali dalam tempoh singkat memandangkan perayaan Krismas jatuh pada minggu berikutnya. 

BERSIH mendesak supaya Prosedur Operasi Standard (SOP) benar-benar dikaji semula supaya SOP yang tidak masuk akal seperti ketika PRN Melaka tidak lagi berulang. Memandangkan faktor geografi, kekurangan infrastruktur dan akses maklumat yang amat terhad di Sarawak khususnya di pedalaman dan pinggir bandar, kempen bersemuka amatlah mendesak dan perlu dibenarkan. Calon-calon bertanding berhak menyampaikan maklumat kempen kepada pengundinya. Sementelah bagi pengundi untuk celik membuat pilihan dengan baik siapakah calon-calon yang bakal membawa suara mereka kelak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN). Kerajaan melalui SPR, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mestilah mengeluarkan SOP baharu yang lebih adil kepada semua demi mewujudkan persaingan di atas padang yang sama rata. SOP sewajarkan dikeluarkan lebih awal dengan sesegera yang mungkin sebelum Hari Penamaan Calon agar semua pihak terlibat mempunyai waktu persiapan yang cukup.

Akhir sekali, BERSIH juga meminta supaya saluran televisyen milik kerajaan seperti RTM dan TVS menawarkan ruang dan peluang kempen secara percuma kepada semua calon yang berkempen di Sarawak secara adil. Ia akan membantu calon yang kurang berkemampuan dari segi jentera dan wang untuk menyampaikan tawaran-tawaran mereka kepada pengundi dengan lebih baik. 

PRN Sarawak yang ke-12 kali ini harus berjalan dengan adil dan saksama demi menjamin masa depan rakyat Sarawak yang cerah dan makmur.  

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH