Kerajaan Persekutuan dan Negeri-Negeri Harus Mengkanunkan Peruntukan Pembangunan Kawasan yang Sama Rata

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengalu-alukan gesaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan, YB Anthony Loke dan ADUN Pulau Pinang, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq supaya peruntukan sama rata diberikan kepada semua ADUN sama ada mereka daripada parti kerajaan mahupun parti pembangkang. Perbincangan ini berlaku semasa perbahasan belanjawan negeri masing masing minggu ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menunjukkan perlunya sebuah perundangan untuk menginstitusikan peruntukan pembangunan yang penting itu untuk memberi manfaat kepada semua pengundi.

Peruntukan sama rata adalah ciri politik matang dan satu perakuan bahawa semua kawasan adalah penting serta perlu mendapat manfaat daripada peruntukan ini, bukan sahaja mereka yang mengundi kerajaan. Kini kita telah melihat langkah positif ke arah ini dengan Perak mengumumkan peruntukan yang sama rata untuk ADUN mereka tanpa mengira kecenderungan parti. Peruntukan sama rata juga telah dijanjikan di peringkat Persekutuan di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) semasa untuk Kestabilan Politik dan Transformasi kepada semua Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang. Bagaimanapun, ini hanya melibatkan penandatangan MoU, mengetepikan Ahli Parlimen daripada
parti politik lain seperti PEJUANG, Warisan dan bebas. Kemudian selepas isu ini dibangkitkan, Timbalan Menteri Dato’ Mastura Mohd Yazid mengumumkan bahawa ia juga akan dipanjangkan kepada Ahli Parlimen yang tidak terlibat dalam MoU tetapi hanya untuk tempoh Sept-Dis 2021. Sedikit sebanyak, Perlis dan Johor sememangnya menyediakan peruntukan kepada semua ADUN mereka tetapi wakil parti Kerajaan diberi bahagian yang lebih besar.

BERSIH menyokong gesaan kedua-dua ADUN ini supaya peruntukan sama rata diberikan kepada ADUN dan Ahli Parlimen. Kami menggesa Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengikuti langkah progresif rakan mereka dan memberikan peruntukan sama rata kepada semua ADUN. Kami juga mencabar semua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan untuk berganjak ke peringkat seterusnya dengan menggubal undang-undang untuk meneruskan amalan peruntukan sama rata ini. Melaksanakan langkah-langkah progresif dan berorientasikan pembaharuan itu menyerlahkan daya saing parti dan hakikat bahawa mereka komited untuk meletakkan wang mereka di tempat sepatutnya.

Selain peruntukan sama rata, kami juga inginkan perundangan tersebut dilaksanakan:

  • Senarai peruntukan dalam belanjawan negeri dan persekutuan
  • Penentuan kriteria utama untuk jumlah dan keragaman (jika ada)
  • Garis panduan untuk dokumentasi peruntukan dan perbelanjaan bagi tujuan ketelusan dan;
  • Langkah pembetulan dalam kes penyalahgunaan peruntukan ini bagi tujuan peribadi atau sebab-sebab lain

Peruntukan yang dijamin Perlembagaan ini telah lama digunakan sebagai alat kerajaan untuk mencetuskan budaya lompat parti yang secara tidak langsung telah menghukum pengundi yang memilih calon pembangkang. Ini sangat memalukan dan menunjukkan ketidakpedulian parti yang menang kepada tadbir urus yang baik. Dalam keadaan Malaysia yang sedang bergerak daripada lanskap dominasi parti tunggal kepada keadaan kerajaan gabungan malah kerajaan minoriti, parti politik dan rakyat hanya akan menerima laba dengan penggubalan tersebut.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH