SPR Perlu Kaji Semula SOP Penjalanan Pilihan Raya dan Meyakinkan Rakyat Untuk Mengundi Dengan Selamat

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dengan kerjasama UNDI18 telah menghantar 14 pemerhati pilihan raya yang berdaftar sebagai Pemerhati Suruhanjaya Pilihan Raya (Pemerhati) untuk turun di lapangan dan memantau Pilihan Raya Umum Negeri Melaka (PRN Melaka) ke-15 yang telah diadakan pada 8-20 November 2021. Pemantauan juga dijalankan secara atas talian melalui platform media sosial calon-calon serta parti-parti politik. BERSIH hanya dapat menghantar Pemerhati di 7 DUN pada PRN kali ini iaitu di:

  1. N04 Lendu
  2. N07 Gadek
  3. N11 Sungai Udang
  4. N12 Pantai Kundur
  5. N13 Paya Rumput
  6. N14 Kelebang
  7. N17 Bukit Katil

Berikut adalah hasil utama pemerhatian BERSIH terhadap PRN Melaka.

Pengurusan Proses Pilihan Raya Oleh SPR

Kuasa SPR dilemahkan

SPR sebagai satu-satunya badan yang diberikan kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menguruskan penjalanan pilihan raya di Malaysia. Walaubagaimanapun, di dalam PRN Melaka kali ini SPR kehilangan taring dalam berunding dengan agensi dan kementerian lain bagi memastikan hak semua calon dan parti politik untuk berkempen dengan saksama.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seolah-olah telah mengambil alih tanggungjawab dan fungsi SPR untuk menentukan kaedah pelaksanaan pilihan raya apabila hampir semua kempen secara fizikal tidak dibenarkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin. SOP PRN Melaka hanya diumumkan sehari sebelum Hari Penamaan Calon iaitu pada 7 November 2021 dan secara efektif menghalang hampir semua kempen fizikal seperti tidak dibenarkan ceramah, edaran risalah calon kepada pemilih secara bersemuka dan tidak ada aktiviti walkabout.

SOP yang ketat telah menghalang proses demokrasi apabila calon-calon sukar untuk memperkenalkan calon, menyampaikan mesej dan manifesto mereka kepada para pengundi.

Pengurusan Pengundi PUS/PUI

SPR juga gagal menguruskan dan memberi jaminan kepada para pengundi yang bergejala untuk meyakinkan mereka turun mengundi. Walaupun khemah bergejala telah disediakan oleh SPR di setiap pusat pengundian, namun pada saat-saat akhir Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menetapkan SOP baharu untuk mengangkut pengundi PUS/PUI yang berkuarantin di rumah oleh parti politik yang merupakan satu pelanggaran di bawah Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Malah pengundi PUS/PUI yang melanggar arahan ini boleh dikompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].

Pusat Kesihatan Daerah (PKD) yang diberikan kuasa sepenuhnya untuk menentukan seseorang pengundi yang bergejala sama ada layak atau tidak layak untuk turun mengundi dan ini menafikan kuasa SPR.

Ini juga menunjukkan tiada koordinasi yang berkesan dan proaktif di antara KKM, MKN dan SPR di mana SPR perlu dirujuk terlebih dahulu untuk menetapkan kaedah pelaksanaan pilihan raya berdasarkan Perkara 113 dan 115 Perlembagaan Persekutuan.

Tempoh Berkempen Terlalu Singkat

Tempoh berkempen pada PRN kali ini juga adalah singkat iaitu hanya 12 hari berbanding PRN Sabah dan siri-siri PRK yang lepas selama sekurang-kurangnya 14 hari. Larangan kempen fizikal menyebabkan calon-calon dan parti politik terpaksa menggunakan lebih masa untuk bertemu pengundi di kawasan mereka. Calon dan parti terpaksa bergantung kepada kempen secara maya (online) melalui platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Tempoh kempen perlu dipanjangkan kepada minimum 21 hari bagi memberi lebih masa kepada calon-calon untuk bertemu pengundi dan memastikan bahawa undi pos sempat untuk sampai ke pejabat Pegawai Pengurus sebelum ditutup pada hari pengundian.

Capaian kempen yang rendah juga mungkin menyebabkan kadar pengundian yang rendah sebagaimana yang berlaku dalam PRN kali ini iaitu hanya 65.85% pengundi turun untuk mengundi. Peratusan ini tersasar daripada jangkaan SPR iaitu sebanyak 70%. SPR perlu bertanggungjawab terhadap rendahnya peratusan keluar mengundi kali ini.

Pengurusan Undi Pos

Terdapat penambahbaikan daripada SPR dalam pengurusan undi pos di mana mereka telah membuka kategori undi pos kepada pengundi-pengundi yang berada di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan Kalimantan. Ini adalah pertama kali pengundi warga negara yang tinggal empat negara/kawasan tersebut diberi hak mengundi melalui undi pos. Kami mengalu- alukan penambahbaikan ini dan ia akan memberi hak yang lebih baik kepada warganegara Malaysia yang terpaksa berada di negara-negara tersebut atas faktor kerja, belajar dan sebagainya.

Perkara ini perlu diteruskan untuk memberi peluang kepada lebih banyak pengundi untuk terlibat di dalam urusan pemilihan kerajaan dan wakil rakyat mereka.

Tidak Membenarkan Pemerhatian Proses Penamaan dan Undi Awal

Pemerhati SPR hanya diberikan ruang untuk memerhati bagi proses pengundian, pengiraan Undi, penjumlahan undi dan pengumuman keputusan pilihan raya. Kami tidak dapat memerhati keseluruhan proses pilihan raya sebagaimana di dalam PRN Sabah yang lepas yang turut termasuk proses penamaan calon dan undi awal. Demi ketelusan proses pilihan raya dan semua pihak menerima keputusan pilihan raya tanpa sebarang raguan, kami mengesa SPR supaya membenarkan pemerhati untuk memerhati proses penamaan dan proses undi awal dalam pilihan raya yang akan datang, termasuk Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak.

Masalah Pengurusan di Pusat Mengundi

Pemerhatian BERSIH mendapati masih ada insiden kesilapan oleh petugas pilihan raya di pusat mengundi, seperti Ketua Tempat Mengundi (KTM) lupa menulis atau salah menulis nombor giliran pengundi untuk Tempat Mengundi di depan pintu bilik, terdapat pen di atas meja kerani kedua dan ketiga yang septutnya tidak berlaku, kekurangan papan tanda untuk memberi panduan kepada pengundi untuk mencari saluran mereka, pemerhati dilarang memerhati pengiraan undi, dan lain-lain.

Kesalahan Pilihan Raya

BERSIH juga telah memberi fokus kepada pemantauan salah laku dan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh PRN Melaka. Di peringkat BERSIH, tempoh pilihan raya bermula sejurus selepas pembubaran DUN diumumkan.

BERSIH telah mencatatkan 35 laporan yang berkaitan dengan salah laku dan kesalahan pilihan raya. Laporan kes-kes yang disenaraikan ini adalah kes yang dapat diperhatikan dan direkodkan oleh Pemerhati BERSIH di 7 DUN yang dipantau sahaja.

Jumlah laporan kes-kes ini tidak mencerminkan dengan sepenuhnya dan secara menyeluruh kesalahan-kesalahan pilihan raya yang berlaku di dalam PRN ini kerana kawasan yang dipantau adalah terhad dan mungkin lebih banyak kes-kes yang tidak dapat dipantau dan dilaporkan.

Rasuah dan beli undi

Kesalahan rasuah dan beli undi yang dapat pihak kami rekodkan adalah rendah pada kali ini. Pihak kami hanya dapat mengesahkan dua kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Seksyen 10: Penyogokan, di mana calon PN bagi Machap Jaya Tai Siong Jul menganjurkan program tukar minyak hitam.

Penjamuan

Selain itu kesalahan penjamuan dan pemberian juga diperhatikan di mana Perikatan Nasional telah menganjurkan Gerai Prihatin di beberapa tempat seperti Selandar, Kelebang dan Felda Tun Ghaffar. Aktiviti penjamuan adalah kesalahan di bawah Seksyen 8: Penjamuan, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Perlu dinyatakan di sini bahawa pemerhatian kami di platform media sosial calon-calon, kebanyakan mereka akan memulakan kempen dengan bersarapan di kedai-kedai makan atau menziarahi pelanggan-pelanggan di kedai makan. Kebiasannya calon-calon akan membelanja pelanggan-pelanggan yang sedang makan namun pihak kami tidak dapat memastikan perkara ini.

Kempen Perkauman

Kami juga merekodkan dua kesalahan kempen secara perkauman. Kami mendapati terdapat satu banner berunsur perkauman dipasang di DUN Gadek oleh pihak yang tidak dikenal pasti dan satu kiriman Facebook oleh Gerakan Pengundi Sedar yang memuat naik kiriman menyelar calon-calon bukan Islam dengan kata-kata kesat seperti pengkhianat, mempergunakan orang Islam dan politikus kafir.

Salah guna jentera dan sumber kerajaan

Kempen kali ini juga menunjukkan kurangnya penggunaan jentera dan sumber kerajaan untuk berkempen. Kami hanya memerhatikan hanya satu kesalahan untuk kategori ini di mana Ketua Menteri Sementara Melaka, Sulaiman Md Ali melancarkan prorgam Bas Penyayang yang akan manfaatkan 33,000 rakyat. Program ini seharusnya ditangguhkan ke satu tarikh selepas pilihan raya atau dilancarkan oleh pegawai kerajaan negeri sahaja.

Kempen Hari Pengundian dan Pondok Panas

Walaupun Ketua Polis Melaka dalam kenyataan beliau menyatakan bahawa tiada barong panas dibuka semasa hari pengundian, namun hasil pemerhatian kami mendapati sebenarnya masih ada barong atau pondok panas yang dibuka. Pihak kami memerhatikan sebanyak 26 kesalahan pada hari pengundian. BN paling banyak membuka pondok-pondok panas walaupun ada diantaranya berjarak lebih 50 meter daripada pusat pengundian.

Antara kesalahannya adalah terdapat beberapa ahli politik seperti Menteri Kesihatan Khairy Jamaludin, Menteri KPKT Zuraida Kamarudin, Presiden UMNO Zahid Hamidi dan Nga Kor Ming yang berkempen di media sosial pada hari pengundian.

Selain itu aktiviti mengangkut pengundi juga banyak berlaku di mana kami merekodkan sebanyak 13 kesalahan mengangkut pengundi pergi dan balik dari pusat pengundian. Parti-parti utama seperti PH, PN dan BN telah menyediakan kenderaan untuk mengangkut para pengundi pergi dan balik ke pusat pengundian.

Kesimpulan

Secara keseluruhannya proses pengundian berjalan dengan lancar dan teratur. Namun demikian banyak perkara yang perlu diperbaiki SPR terutamanya dalam menentukan SOP Kempen Pilihan Raya yang dilihat oleh ramai pihak sebagai terlalu ketat dan tidak membantu proses demokrasi pilihan raya. Selain itu, SPR juga seolah-olah terlepas penguasaan terhadap SOP pelaksanaan pilihan raya apabila di saat-saat akhir terdapat perubahan dalam arahan kepada pengundi PUS/PUI yang terpaksa memohon kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD).

Berikut adalah cadangan penambahbaikan BERSIH:

  1. Meminda Seksyen 27 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memberi kuasa yang
    lebih besar kepada SPR bagi menguatkuasakan undang-undang.
  2. Akses media yang adil dan bermakna kepada semua calon-calon pilihan raya dan parti-
    parti politik yang terlibat dalam pilihan raya.
  3. Pengumuman SOP Penjalanan Pilihan Raya perlu dibuat seberapa segera dan
    bukannya sehari sebelum atau pada hari penamaan calon.
  4. Kempen secara fizikal seperti ceramah, walkabout bertemu pengundi dan edaran
    risalah kepada pengundi perlu dibenarkan dengan pematuhan SOP dan
    penguatkuasaan yang adil.
  5. Membuka sekurang-kurangnya satu pusat pengundian awal di setiap negeri agar
    pengundi di luar negeri tidak perlu balik ke negeri masing-masing untuk mengundi,
    terutama di musim pandemik.
  6. Memanjangkan tempoh pilihan raya kepada minimum 21 hari.
  7. Mengedarkan semula kad pengundi (voters card) kepada pengundi agar pengundi
    peka dengan pilihan raya yang akan berlangsung dan mendapat maklumat yang tepat
    berkenaan pusat pengundian dan saluran yang mereka harus pergi untuk membuang
    undi
  8. Menyediakan pengangkutan kepada pengundi yang diberikan arahan kuarantin rumah
    sama ada PUI/PUS atau kuarantin di pusat kuarantin untuk bergerak ke tempat
    pengundian. SPR boleh bekerjasama dengan agensi dan NGO untuk melaksanakan
    perkara ini.
  9. Membuka pusat-pusat pengundian di dalam kampung atau kawasan yang sukar
    dicapai.
  10. Memastikan di setiap pusat pengundian mempunyai ruang untuk menunggu terutama
    bagi pengundi saluran 1,2 dan 3.
  11. Memberi latihan dan simulasi proses pengundian yang secukupnya kepada petugas
    pilihan raya untuk mengurangkan kesilapan yang kritikal.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH