Sarawak Tidak Perlu Diugut Untuk Memilih Sesuai Dengan Hasrat Kerajaan Persekutuan

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) bimbang dengan cubaan licik untuk mengugut orang Sarawak supaya mengundi gabungan politik penyandang kerajaan, diketuai oleh Perdana Menteri Ismail Sabri. Apabila Perdana Menteri secara terbuka mengumumkan bahawa Projek Jambatan Sungai Yong yang kedua tidak akan terlaksana sekiranya terdapat perubahan kerajaan negeri dan apabila beliau berkata “Ketua Menteri Sarawak Abg Jo adalah kawan saya. Sebab itu, kali ini saya harap jangan membuat keputusan yang silap, banyak lagi yang hendak lulus ini tidak dapat dilaksanakan, kalau lain pemerintah negeri dengan pusat,”. (1) Ini adalah ugutan kepada rakyat Sarawak bahawa mereka akan dihukum jika mereka tidak menyokong kerajaan sedia ada bila mengundi kelak. 

Ugutan ini juga bercanggah dengan sloga Keluarga Malaysia di mana negeri pimpinan pembangkang akan dianak-tirikan. Ia juga membangkitkan persoalan keneutralan pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak, sama ada sumber persekutuan dan negeri akan terbuka kepada salah guna kepartian. Laporan berkenaan salah guna oleh kerajaan negeri sementara dan kenyataan ini sekaligus memperkukuh persoalan ini.

BERSIH yakin bahawa sebarang pilihan bermaklumat oleh pengundi Sarawak yang menatijahkan sebarang pembentukan kerajaan dengan majoriti gabungan/parti di DUN adalah pilihan yang BETUL. Tindakan Perdana Menteri yang pilih kasih adalah sangat tidak bermaruah dan berat sebelah. Malaysia adalah sebuah Persekutuan dan Kerajaan Persekutuan perlu melayan semua kerajaan negeri dengan adil dan saksama tanpa mengira kecenderungan parti. 

Sekiranya pengundi Sarawak ditekan untuk mengundi pihak yang sesuai dengan selera politik Kerajaan Persekutuan, ia menunjukkan Sarawak belum mencapai kemerdekaan sepenuhnya melalui Malaysia, sebagaimana dijanjikan dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963. Tambahan lagi, sekiranya keputusan pengundi Sarawak tidak dihormati oleh Kerajaan Persekutuan, maka sebagaimana hak demokrasi mereka, Sarawak boleh menunjukkan ketidakpuasan hati mereka dalam PRU akan datang. 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH

  1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/12/895164/rakyat-sarawak-kena-buat-pilihan-tepat-betul-ismail-sabri