Kebimbangan BERSIH terhadap SOP SPR untuk PRN Sarawak ke-12

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) ingin merespon kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Sarawak ke-12 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Disember 2021, sehari sebelum penamaan calon seperti semasa PRN Melaka. SPR sepatutnya mengeluarkan SOP lebih awal agar parti-parti politik dan calon dapat membuat persiapan kempen mereka dengan lebih baik. 

Berkaitan SOP, BERSIH memuji beberapa SOP yang lebih longgar untuk PRN Sarawak berbanding di Melaka seperti membenarkan ceramah fizikal dengan pematuhan SOP untuk beberapa DUN, pengedaran risalah dan kempen rumah ke rumah serta membenarkan lebih banyak bilik gerakan di setiap DUN bagi setiap calon. Walaubagaimanapun masih ada beberapa SOP oleh SPR yang terlampau ketat yang akan bercanggah dengan undang-undang sedia ada dan akan merugikan sesetengah parti politik.  

Berikut adalah larangan yang menjadi kebimbangan oleh BERSIH:

  1. Larangan pergerakan rentas negeri kecuali lima pemimpin tertinggi untuk setiap parti yang bertanding adalah tidak perlu kerana Sarawak mempunyai keluasan negeri seperti Semenanjung dan mempunyai 82 kerusi DUN dan larangan ini sudah tentu bukan kerana kebimbangan perkumpulan orang ramai. Ia juga bertentangan dengan Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63 yang membenarkan warganegara untuk memasuki Malaysia Timur untuk menjalankan hak politik yang sah. Walaupun rentas negeri ke Sarawak memerlukan kelulusan aplikas Enter Sarawak untuk semua warga, larangan terhadap aktiviti politik hanya akan dianggap sebagai bermotif politik. Larangan ini akan memberi kelebihan kepada parti tempatan dan merugikan parti nasional. 
  1. Larangan ceramah/syarahan kecuali di DUN yang kurang capaian internet adalah tidak diperlukan memandangkan 64 daripada 82 DUN (78%) dibenarkan dan hanya 18 kerusi bandar yang dilarang. SOP untuk mengadakan ceramah dengan had kapasiti 50% bagi setiap tempat atau maksimum 150 orang pada satu-satu masa perlu dibenarkan di semua DUN. 
  1. Pengundi yang positif COVID-19 tidak dibenarkan mengundi. Mengikut SPR, ini selari dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tetapi hak untuk mengundi adalah termaktub di bawah Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan. Bagi memastikan pengundi tersebut tidak dinafikan hak perlembagaannya, kami menggesa SPR untuk menyediakan Pengurusan Pengundian Khusus (Special Voting Arrangement-SVA) kepada pengundi-pengundi ini sekiranya mereka ingin mengundi. Ia boleh dilaksanakan melalui peti undi bergerak dibawakan kepada tempat mereka sedang dirawat atau dikuarantin. 
  1. Bagi individu PUI/PUS, mereka diwajibkan memohon kebenaran daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sebelum mereka ke pusat pengundian untuk mengundi di khemah khas di setiap pusat. Kami mencadangkan supaya permohonan kebenaran ini dimansuhkan kerana Pegawai Kesihatan Daerah akan melanggar hak perlembagaan rakyat untuk mengundi sekiranya beliau enggan memberikan kebenaran. Keperluan PUI/PUS untuk bergerak ke pusat pengundian di dalam kereta sendiri adalah satu penambahbaikan berbanding keperluan parti politik yang perlu mengangkut mereka kerana ia adalah satu kesalahan pilihan raya untuk mengangkut pengundi pada hari pengundian. 
  1. Keperluan bagi pengundi yang akan merentas daerah atau meninggalkan kawasan di bawah PKPD untuk memohon kebenaran daripada polis juga tidak perlu dan melanggar hak mereka. Pengundi hanya perlu menunjukkan bukti lokasi pusat pengundian mereka sekiranya diberhentikan oleh polis.    
  1. BERSIH juga berasa kecewa kerana selain menggalakkan parti dan calon untuk menggunakan media sosial, media cetak dan televisyen untuk berkempen, SPR tidak memainkan peranan yang lebih aktif untuk membantu akses kepada media terutama televisyen dan radio kerajaan, di mana capaian internet yang rendah memerlukan televisyen dan radio untuk pengundi di pedalaman Sarawak. 

Memandangkan kurang inisiatif daripada SPR untuk membantu akses media adil kepada semua parti dan calon, BERSIH akan meneruskan inisiatif #SuaraUntukSemua, bermula semasa PRN Melaka, dengan rakan media kami iaitu Astro Awani, Sinar Harian dan SinCHew Daily bagi menyediakan platform media sosial, media cetak dan televisyen. Calon yang berminat boleh menghantar video (dibawah 5 minit) kepada kami di [email protected] atau Telegram, t.me/BersihOfficial. 

BERSIH menggesa SPR untuk mempertimbangkan semula beberapa SOP mereka untuk PRN Sarawak berdasarkan kebimbangan yang kami nyatakan di atas. Adalah penting untuk apa-apa SOP yang dikeluarkan seimbang antara kesihatan orang ramai dan keperluan berkempen agar pengundi dapat membuat keputusan berdasarkan maklumat. Ia juga kritikal agar SPR dilihat sebagai badan yang benar-benar bebas dan SOP ini tidak merugikan mana-mana parti dan calon, serta mereka dilindungi dan hak perlembagaan setiap rakyat untuk mengundi dipertahankan. 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH