Cabaran Sarawak: Pembaharuan Institusi Demi Politik Matang dan Berdaya Maju

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mencabar calon-calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sarawak (PRN Sarawak) ke-12 untuk menjanjikan pelaksanaan pembaharuan institusi demi politik Sarawak yang lebih matang, berakauntabiliti dan berdaya maju agar rakyat di Sarawak mendapat wakil-wakil rakyat yang mempunyai tekad memastikan Sarawak yang lebih makmur, bebas dan berkebajikan.

Dengan geografi dan demografi negeri Sarawak yang lebih luas dan rencam, pembaharuan institusi dan sistem politik yang lebih baik sangat diperlukan agar rakyat Sarawak dapat benar-benar memastikan akauntabiliti wakil rakyat yang mereka pilih kelak serta agar kekayaan negeri Sarawak dapat diagihkan secara saksama kepada semua rakyat Sarawak tanpa mengira kecenderungan politik. 

Demi politik dan sistem demokrasi yang lebih matang dan sihat, kami mendesak calon-calon dan parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRN Sarawak untuk mengambil Cabaran Sarawak dengan menjanjikan pembaharuan berikut, bukan saja dalam manifesto mereka, tetapi juga persediaan untuk berkerjasama dengan parti lain untuk merealisasikan pembaharuan yang sesetengahnya memerlukan pindaan Perlembagaan Negeri:

  1. Menggubal sebuah Enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan peruntukan CDF diberikan secara sama rata dan saksama kepada semua wakil rakyat sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Peruntukan yang berat sebelah hanya akan menghukum rakyat di kawasan tersebut dan menjadikan padang politik berat sebelah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.
  2. Menggubal sebuah Enakmen Mengawal Lompat Parti dan Akauntabiliti Politik untuk memperkasakan ketuanan pengundi bagi memecat wakil-wakil rakyat yang suka melompat parti atau gabungan. Wakil rakyat yang melompat atau dipecat parti, sama ada kerana perbezaan politik atau mengejar kepentingan peribadi akan dihakimi oleh rakyat sama ada harus dipecat atau dikekalkan melalui kutipan petisyen dengan nilai ambang tertentu.
  3. Meminda Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN untuk mewajibkan Undi Percaya Pengesahan (Confirmatory Vote of Confidence, CVC) untuk Ketua Menteri selepas perlantikan, tidak kira selepas pilihan raya baru atau pada pertengahan penggal, untuk memperkasakan keabsahan Ketua Menteri dan mengurangkan percubaan untuk menjatuhkannya.
  4. Meminda Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN untuk memperkenalkan Undi Tidak Percaya Secara Konstruktif (Constructive Vote of No Confidence) yang menetapkan bahawa Ketua Menteri tidak dapat dijatuhkan kecuali jika undi tidak percaya juga mengandungi nama penggantinya diluluskan dengan majoriti mudah, dan tiada pilihan raya baru diperlukan jika Ketua Menteri Baru dapat digantikan dengan kaedah sedemikian.
  5. Mereformasikan Dewan Undangan Negeri untuk menjadikan ia benar-benar badan bebas daripada Eksekutif dengan: 
    • Penetapan agenda DUN ditentukan melalui perbincangan antara-parti melalui Jawatankuasa Dewan, dan tidak ditentukan secara sehala oleh Yang di-Pertua atau Ketua Menteri (sebagai Ketua Dewan);
    • Menubuhkan lebih banyak jawatankuasa pilihan dengan komposisi jawatankuasa yang mencerminkan nisbah ADUN Bukan EXCO setiap parti di dalam DUN,  dan menjamin penyertaan kedua-dua ADUN barisan belakang kerajaan dan ADUN pembangkang dalam membentuk dasar-dasar pentadbiran kerajaan negeri.
  6. Gabungan politik yang akan membentuk kerajaan negeri Sarawak perlu menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan dengan lebih serius hak pengundi Sarawak yang bekerja atau belajar di Semenanjung dan Sabah untuk memastikan mereka mempunyai akses pengundian yang lebih baik dengan membuka kategori Undi Awal untuk mereka. SPR perlu membuka sekurang-kurangnya satu pusat pengundian Undi Awal di setiap negeri dan pengundi Sarawak yang ingin mengundi awal perlu membuat pra-pendaftaran sebagai Pengundi Tidak Hadir (absentee voter) sama seperti kategori Undi Pos.

BERSIH menggesa untuk semua calon dan parti politik mengambil cabaran ini agar agenda-agenda ini perlu diangkat dengan segera dan perlu menjadi inti kepada manifesto pilihan raya agar politik tidak berkecamuk dengan kepentingan pihak tertentu dan membelakangi rakyat serta institusi politik negara kita. Mereka yang enggan mengangkat cadangan ini supaya dapat mengaut keuntungan daripada kelompangan yang wujud dalam sistem politik kita perlu dihukum oleh pengundi di Sarawak.

Demokrasi hanya akan subur dan bermakna sekiranya ia diterjemahkan kepada keadilan, kesamarataan dan kebebasan kepada semua pihak. 

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH