Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengutuk pelantikan Ahli Parlimen (MP) Alor Gajah, Mohd Redzuan Md Yusof sebagai Pengerusi Boustead Holdings Bhd. Boustead adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang merupakan badan berkanun di bawah Kementerian Pertahanan.
Walaupun beliau yang juga merupakan ahli parti BERSATU dikatakan mempunyai pengalaman di syarikat awam dan swasta, kecenderungan politik serta peranan sebagai wakil rakyat menjadikan lantikan ini dilihat sebagai satu lagi kes di mana kerajaan mendapat sokongan MP menerusi kaedah yang tidak beretika. Hal ini membuka kemungkinan salah guna sistem dan mungkin akan merugikan kemajuan negara dan prestasi ekonomi agensi tersebut. Lebih memprihatinkan adalah kemungkinan salah guna kewangan sebagaimana dalam kes 1MDB. Malah Boustead juga sedang mengalami kerugian sejak daripada 2018 lagi.
Tambahan pula, pelantikan MP menjadi Pengarah atau Pengerusi akan mengalihkan tumpuan untuk melaksanakan tanggungjawab kepada pengundi mereka dan sebagai penggubal undang-undang. Lebih utama adalah peranan mereka untuk menyemak imbang kerajaan termasuk prestasi GLC yang diselia oleh Eksekutif. Justeru, MP tidak seharusnya memegang apa-apa jawatan dalam GLC. Ia juga akan menghalang profesional yang berkelayakan dengan rekod yang baik daripada dilantik bagi memimpin syarikat.
Pelantikan Mohd Redzuan sebagai Pengerusi mengingatkan kita kepada strategi mantan Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin apabila beliau melantik lebih 20 MP dan ADUN untuk memegang jawatan bagi mengukuhkan kekuasaan kerana kelemahan pentadbiran beliau. BERSIH berharap PM Ismail Sabri tidak mengulangi jejak Muhyiddin sebaliknya lebih berminda reformasi dan progresif.
BERSIH mengulangi seruan kami untuk kerajaan menggubal Akta GLC yang akan melarang wakil rakyat daripada dilantik ke jawatan Pengarah atau Pengerusi. Sesetengah GLC sudahpun mempunyai peraturan sedemikian seperti SOCSO yang melarang pelantikan wakil rakyat sebagai Pengerusi berdasarkan statut syarikat. Akta ini juga perlu menyediakan kriteria pelantikan yang terikat dengan undang-undang serta menggariskan mekanisme pelantikan dan pelaporan demi ketelusan yang lebih baik.
BERSIH menggesa kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Parlimen untuk meneliti proses pelantikan GLC dan badan berkanun. Daripada lantikan politik dibuat secara belakang tabir, lebih baik pelantikan tersebut dibuat berdasarkan merit dan melalui proses yang telus melalui tapisan di Parlimen.
Pelantikan golongan profesional yang berkelayakan untuk memimpin syarikat kaitan kerajaan ini akan menyumbang kepada tatakelola kerajaan yang lebih baik untuk prestasi ekonomi. Pergumpalan toksis antara politik dan perniagaan menggalakkan kronisme, korupsi, penaungan dan salah guna kuasa. Gejala ini telah membarah di Malaysia sekian lamanya dan untuk bergerak ke hadapan kita perlu menghentikan salah guna kuasa ini.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH