Kenyataan Media Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional 14 Januari 2022 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Harus Bebas dan Telus Dalam Siasatan Terhadap Tuduhan ke atas Tan Sri Azam Baki

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, mengambil maklum bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri akan mengadakan sebuah mesyuarat pada 19 Januari 2022 untuk menyiasat isu kontroversi pemilikan saham yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya (KP), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. 

  1. Difahamkan JPK telah meminta Tan Sri Azam Baki sendiri untuk hadir dalam sesi pendengaran pada 19 Januari. Kami meminta supaya JPK mengumumkan terma rujukan siasatan yang akan dijalankan. Terma rujukan ini perlu secara jelas menggariskan tujuan siasatan dan skop siasatan yang akan dijalankan. 

Skop siasatan hendaklah termasuk untuk mendapatkan penjelasan mengenai perkara berikut:-

(a) Setakat mana pegangan saham Tan Sri Azam Baki dalam syarikat-syarikat yang terlibat dalam dakwaan semasa terhadapnya dalam tempoh masa yang berkaitan, dan sejauh mana dan tujuan beliau memegang saham tersebut secara benefisial bagi pihak orang lain;

(b) Sama ada pegangan saham Tan Sri Azam Baki dalam syarikat-syarikat tersebut, atas namanya sendiri atau digabungkan dengan pegangan saham pemilik benefisial sebenar dan mana-mana penama lain, berjumlah sekurang-kurangnya 5% daripada saham/saham mengundi dalam mana-mana satu syarikat, dan sama ada gabungan pegangan saham mungkin telah mencetuskan kewajiban pelaporan, had dan kesalahan berkaitan pegangan saham substansial di bawah Akta Syarikat 2016 sekiranya pemilikan benefisial telah diisytiharkan dengan sewajarnya dan tepat pada masanya;

(c) Punca dana untuk pembelian saham berkenaan, dan sama ada beliau menerima sebarang hasil jualan, dividen atau keuntungan lain daripada pemilikan saham tersebut;

(d) Sama ada sebagai pemegang saham syarikat pada masa yang berkaitan, beliau mengambil bahagian sama ada secara langsung atau melalui proksi dalam resolusi pemegang saham atau keputusan yang mempengaruhi perniagaan, pentadbiran atau operasi syarikat-syarikat;

(e) Sama ada saham yang dibelikan oleh Tan Sri Azam Baki telah diisytiharkan di bawah Akta Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993; 

(f) Sama ada akibat daripada perkara di atas, sebuah siasatan sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau pihak berkuasa awam atau badan kawal selia lain yang diberi kuasa sewajarnya sama ada Tan Sri Azam Baki telah melanggar Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 (2002) “Pemilikan dan Pengisytiharan Harta oleh Pegawai Awam”, yang menjadikannya suatu kesalahan untuk membeli lebih daripada 5% modal terbayar atau saham bernilai RM100,000 dalam syarikat tertentu, dan apakah jangka masa dan bidang kuasa penyiasatan sedemikian;

(g) Sama ada status pemilikan benefisial saham telah diisytiharkan kepada pihak berkuasa kawal selia yang berkenaan dan seterusnya sama ada terdapat alasan untuk menyiasat jika kesalahan telah dilakukan di bawah Seksyen 25(4), 25(5), 25A(2) dan/atau 49 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) dibaca bersama Kaedah 25.02B, 25.02C dan 25.03 Kaedah-kaedah Bursa Malaysia Depository Sdn Bhd;

(h) Sama ada dan sejauh mana syarikat dan broker saham yang terlibat sedar secara nyata atau tersirat tentang sebarang status pemilikan benefisial bagi saham berkenaan, berdasarkan kuasa atau kewajiban masing-masing di bawah Akta Syarikat (seperti Seksyen 56), SICDA atau kaedah-kaedah Bursa Malaysia Depository;

(i) Sama ada akibat daripada perkara di atas, siasatan sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Malaysia, Bursa Malaysia Depository dan/atau pihak berkuasa kawal selia lain; dan

(j) Sama ada berdasarkan fakta dan perkara yang dibentangkan kepada JPK ataupun tidak, terdapat alasan yang munasabah untuk sebuah siasatan mungkin diperlukan di bawah peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau undang-undang lain yang termasuk dalam bidang penyiasatan SPRM terhadap mana-mana orang atau entiti, dan jika ya, apakah tindakan yang sedang diambil oleh SPRM;

(k) Sama ada dan jika ya, apakah tindakan dan pembaharuan struktur dan operasi SPRM yang diperlukan untuk mempertahankan integriti dan kredibiliti SPRM.

  1. Selain itu, JPK perlu memanggil semua pihak yang terlibat dalam isu ini, termasuk Lalitha Kunaratnam yang membuat laporan, bekas pemimpin SPRM semasa kes ini, pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan menyiasat atau mempunyai bidang kuasa berhubung perkara berkenaan untuk memberikan maklumat dan penjelasan, dan untuk menguji kebenaran dakwaan dan dakwaan balas dalam kes ini. Tidak cukup jika Tan Sri Azam Baki sahaja dipanggil untuk memberi penjelasan kepada JPK.
  2. Kami juga menggesa agar sesi pendengaran dijalankan secara terbuka dan disiarkan secara langsung di saluran-saluran rasmi Parlimen dan Kerajaan agar keyakinan rakyat terhadap institusi Parlimen agar bertindak sebagai badan semak dan imbang berkesan kepada Eksekutif kekal utuh.
  3. Kami menggesa penyata JPK mengenai siasatan ini dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebaik sahaja ia selesai.

Parlimen melalui jawatankuasa-jawankuasanya sepatutnya terus proaktif memberikan maklum balas kepada isu nasional khususnya apabila melibatkan pertuduhan rasuah yang mengaitkan institusi awam seperti SPRM kini, agar nilai kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan terus terpelihara.

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Boleh kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP 

Ditandatangani oleh:

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
  2. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)
  3. ENGAGE
  4. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
  5. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
  6. WISDOM Foundation
  7. Bait Al-Amanah