Sidang Parlimen 20 Januari Perlu Utamakan Agihan Peruntukan Kawasan kepada Ahli Parlimen Dengan Saksama

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa Perdana Menteri untuk mengagihkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dengan saksama atau berdasarkan keperluan kawasan, kepada semua Ahli Parlimen (MP) pada pusingan agihan CDF yang seterusnya. Bencana banjir pada 1.5 bulan yang lepas memberikan alasan yang kuat mengapa semua MP tanpa mengira kecenderungan parti perlu mendapat peruntukan ini bagi menangani situasi banjir dan pascabanjir, koordinasi bantuan kepada mangsa, dan perancangan jangka panjang pengurusan bencana banjir di kawasan mereka.

CDF atau lebih dikenali sebagai peruntukan MP/ADUN adalah peruntukan bagi menyokong pembangunan dan projek kebajikan di setiap kawasan. CDF di Malaysia terkenal disalahgunakan sebagai senjata politik untuk mengganjarkan MP Kerajaan dan menghukum MP Pembangkang. Berdasarkan maklumat yang kami terima, pada 2021 di bawah kerajaan Ismail Sabri, MP Pembangkang di bawah Pakatan Harapan (PH) diberikan RM500k berbanding MP penyokong kerajaan yang diberikan melebihi RM3.8 juta. MP yang tidak menandatangani MoU seperti Syed Saddiq daripada Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), langsung tidak menerima apapun setakat ini. Ini bertentangan dengan janji Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Mastura Yazid pada September 2021 di mana semua MP akan menerima peruntukan yang sama rata.

Isu-isu pembangunan dan bencana alam tidak ada diskriminasi kaum, kepercayaan atau siapa undi siapa; demikian sepatutnya bantuan kerajaan kepada rakyatnya. Kajian kami menunjukkan bahawa kecenderungan parti tidak boleh dikira apabila mengagihkan CDF kerana ia bukan sahaja tidak adil malah memperkukuh kelebihan kepada penyandang jawatan wakil rakyat dan membuka ruang kepada politik naungan. Banjir terbaru yang memusnahkan rumah menunjukkan keperluan agihan CDF secara saksama dan lebih utama lagi, agihannya perlu dibuat dengan telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan penyelewengan peruntukan.

Sidang Khas Parlimen pada 20 Januari bagi membincangkan kepentingan negara menyediakan peluang untuk memikirkan semula kaedah CDF diagihkan. Memandangkan terdapat kawasan yang terkesan dengan lebih serius berbanding yang lain, adalah munasabah memberikan lebih peruntukan kepada kawasan tersebut. Demikian juga sekiranya CDF diberikan berdasarkan keperluan, formula agihan dan jumlah akhir yang diberikan perlu didedahkan kepada orang ramai dengan garis panduan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. Selain keperluan mendedahkan, kami menggesa supaya MP juga mengambil inisiatif untuk berlaku telus tentang jumlah yang mereka terima dan bagaimana wang tersebut dibelanjakan. Mereka tidak seharusnya menunggu dan bergantung kepada dokumen rasmi untuk kebertanggungjawaban.

Berdasarkan Belanjawan 2022, kerajaan telah memperuntukkan sekitar RM2.2 hingga 2.5 bilion untuk CDF. Ini berdasarkan jumlah peruntukan geran di bawah ICU dan peruntukan untuk Prohek Khas dan Projek Mesra Rakyat di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sekiranya diagihkan dengan saksama, setiap MP akan menerima sekitar RM9-11 juta. Jumlah ini boleh mempercepatkan bantuan kepada kawasan yang terjejas teruk.

Kami juga menggesa undang-undang CDF dikanunkan dengan mengambil cadangan di atas dan memastikan semua CDF pada masa hadapan diagihkan dengan adil dan telus serta meminimumkan ruang untuk penyalahgunaan melalui prosedur laporan yang jelas demi ketelusan.

Untuk menyokong CDF yang sama rata sila tandatangan petisyen ini: https://www.change.org/p/malaysian-government-jangan-hukum-rakyat-lagi-gubal-undang-undang-peruntukan-wakil-rakyat-sama-rata-anwaribrahim-ismailsabri60-msabu-official-guanenglim-mohdshafieapdal?utm_campaign=cdf+-+fmt

Untuk kajian dan cadangan yang lebih terperinci, sila muat turun kajian IDEAS dan BERSIH bertajuk “Removal or Reform: Charting the Way Forward for Malaysia’s Constituency Development Funds (Peruntukan Ahli Parlimen dan ADUN)”:

https://www.ideas.org.my/publications-item/removal-or-reform-charting-the-way-forward-for-malaysias-constituency-development-funds-peruntukan-ahli-parlimen-dan-adun/

 

Dikeluarkan oleh BERSIH & IDEAS