Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada laporan berita siasatan terhadap aktivis anak muda yang disiasat kerana menganjurkan perhimpunan aman #TangkapAzamBaki pada Sabtu (22 Januari 2022) yang lepas. Menurut Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor, seramai 19 orang aktivis anak muda telah disiasat di Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan peraturan-peraturan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Beliau juga menyatakan bahawa seramai 94 peserta dan aktivis serta 12 pengunjung awam menghadiri himpunan tersebut telah dikenal pasti.
BERSIH mengecam sebarang tindakan untuk menyiasat aktivis anak muda yang berhimpun secara aman dan melaksanakan hak perlembagaan mereka sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan setiap warganegara berhak untuk menganjurkan dan menyertai perhimpunan aman. Siasatan secara rambang ini adalah satu bentuk gangguan dan intimidasi kepada rakyat yang ingin menggunakan hak mereka yang dijamin perlembagaan, terutama apabila perhimpunan tersebut terbukti berjalan secara aman. Hak berhimpun adalah hak asasi manusia dan tidak sepatutnya mereka dilayan seolah-olah penjenayah yang ingin membuat kacau dan kerosakan.
Pihak penguasa terutamanya Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya lebih bersifat memandu serta mengawasi berbanding menyekat dan menghalang rakyat daripada berhimpun dan menyatakan ketidakpuasan hati mereka dengan aman dan teratur. Sifat suka menghalang dan menyekat sebarang perhimpunan aman adalah perangai lapuk serta kebelakang serta membazirkan sumber dan tenaga pihak penguasa terutamanya pihak polis.
Dilaporkan hampir semua jalan masuk ke Kuala Lumpur pada hari Sabtu lepas dan beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel telah ditutup serta polis telah mendapatkan perintah mahkamah untuk melarang daripada mana-mana pihak berkumpul di Sogo, Masjid Jamek dan Dataran Merdeka. Pihak polis daripada IPD Dang Wangi juga dilaporkan telah mengerahkan lebih 1000 anggota polis untuk mengawal himpunan #TangkapAzamBaki. Tindakan dan respon ini jelas sangat berlebihan dan merupakan satu pembaziran sumber di tempat yang tidak sepatutnya. Adakah pihak kerajaan mengerahkan sumber yang serupa untuk menyiasat kontroversi pembelian saham Tan Sri Azam Baki yang dikatakan digunakan oleh adiknya? Kenapa sumber kerajaan yang begitu besar untuk menekan satu perhimpunan aman dapat dimobilisasikan dalam masa yang begitu singkat tetapi tidak dapat dimobilisasikan bagi menangani bencana banjir untuk menolong mangsa-mangsa banjir baru-baru ini?
BERSIH berpandangan pihak penguasa terutama Menteri Dalam Negeri dan pihak PDRM perlu menukar kaedah mereka merespon kepada sebarang penganjuran perhimpunan aman. Kini sudah masuk tahun 2022 dan demokrasi sepatutnya lebih baik daripada tahun-tahun terdahulu.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH