Bersainglah Idea dan Polisi dalam Pilihan Raya, Bukan Gula-Gulakan Pengundi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada progran Jualan Prihatin Rakyat anjuran Perikatan Nasional pada hari ini (4 Februari 2022) bertempat di Dataran Pagoh Jaya, Pagoh, Johor. Program tersebut dikatakan akan menjual barang-barang keperluan harian seperti beras, gula, telur dan ayam dengan harga yang lebih murah. Berdasarkan kiriman poster mereka, pek barangan yang disebutkan akan dijual dengan harga RM20 berbanding harga RM40 seperti harga pasaran.

BERSIH mengingatkan sekali lagi bahawa program jualan murah seperti ini adalah satu kesalahan pilihan raya di mana perbuatan secara langsung atau tidak langsung oleh mana-mana pihak untuk memberikan makanan, minuman atau bekalan sebelum, semasa atau selepas pilihan raya dengan tujuan mendapatkan undi di bawah Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Walaupun rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian, namun apa yang dilakukan oleh PN seperti Jualan Prihatin Rakyat ini bukanlah penyelesaian bahkan rakyat tidak seharusnya digula-gulakan dengan pemberian seperti ini. Lebih baik PN atau mana-mana parti politik yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Negeri Johor (PRN Johor) nanti menawarkan polisi-polisi yang bernas untuk menstabilkan harga barangan berbanding melakukan kesalahan pilihan raya dengan memberi barang makanan, duit, dan lain-lain pemberian bernilai semasa tempoh pilihan raya yang kononnya untuk meringankan beban rakyat.

Kesalahan pilihan raya seperti di bawah Seksyen 8 ini boleh menyebabkan penganjur aktiviti seperti PN Johor, Tan Sri Muhyiddin malah syarikat-syarikat yang terlibat dan mereka yang menerima tawaran tersebut dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak kurang seribu ringgit dan tidak melebih lima ribu ringgit jika disabitkan kesalahan.

BERSIH menggesa agar semua pihak menjunjung semangat pilihan raya bersih dan adil serta mengamalkan kempen pilihan raya yang bebas daripada program-program pemberian secara rasuah yang sekian lama diamalkan setiap kali musim pilihan raya bagi mempengaruhi pengundi. BERSIH menyeru agar para pengundi yang akan mengundi dalam PRN Johor nanti untuk menolak calon-calon dan parti-parti politik yang mengamalkan kempen secara rasuah dan korup. Pilihlah calon yang mempunyai komitmen tinggi untuk melakukan pembaharuan institusi, politik dan ekonomi.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH