Cabaran Johor: Tiada Kestabilan dan Akauntabiliti Tanpa Penambahbaikan Sistem dan Institusi Politik

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) sekali lagi mencabar parti-parti politik dan calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Negeri Johor (PRN Johor) untuk menjanjikan kestabilan dan akauntabiliti selepas pilihan raya melalui penambahbaikan sistem dan institusi politik sebagai agenda utama dalam manifesto pilihan raya mereka.

BERSIH berpandangan bahawa kestabilan politik sahaja tidak mencukupi sekiranya tidak ada akauntabiliti dan perkara ini amat penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem demokrasi dalam negara kita. Sistem politik kita telah lama terkebelakang dan sudah tiba saatnya demokrasi kita bergerak maju kehadapan melalui penambahbaikan dan pembaharuan politik yang lebih sihat, matang dan profesional.

Justeru, BERSIH mencabar calon-calon dan parti-parti politik yang akan bertanding dalam PRN Johor untuk mengambil Cabaran Johor dengan menjanjikan pembaharuan berikut, bukan saja dalam manifesto mereka, tetapi juga persediaan untuk berkerjasama dengan parti lain untuk merealisasikan pembaharuan yang sesetengahnya memerlukan pindaan Perlembagaan Negeri.

  1. Menggubal sebuah Enakmen Prosedur Pecat untuk memperkasakan ketuanan pengundi bagi memecat wakil-wakil rakyat yang suka melompat parti atau gabungan. Wakil rakyat yang melompat atau dipecat parti, sama ada kerana perbezaan politik atau mengejar kepentingan peribadi akan dihakimi oleh rakyat sama ada akan dipecat atau dikekalkan melalui kutipan petisyen dengan nilai ambang (threshold) yang tertentu.

  1. Memperkenalkan Undi Tidak Percaya Secara Konstruktif (Constructive Vote of No Confidence) dengan meminda Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN untuk menetapkan bahawa Menteri Besar tidak dapat dijatuhkan kecuali jika undi tidak percaya juga mengandungi nama penggantinya diluluskan dengan majoriti mudah, dan tiada pilihan raya baru diperlukan jika Menteri Besar baharu dapat digantikan dengan kaedah sedemikian. Proses ini perlu berlaku dan dibuktikan di DUN. Hal ini dapat mengelakkan pembangkang yang berpecah-pecah menjatuhkan kerajaan apabila mereka sendiri tidak mempunyai majoriti.

  1. Menggubal sebuah Enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan peruntukan wakil rakyat diberikan secara sama rata dan saksama kepada semua ADUN sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Peruntukan yang berat sebelah hanya akan menghukum rakyat di kawasan tersebut dan menjadikan padang politik berat sebelah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

  1. Menggubal sebuah enakmen pendanaan awam kepada parti politik berdasarkan jumlah atau peratusan undi yang mereka terima dalam pilihan raya umum yang lepas. Pendanaan awam kepada parti politik dapat mengurangkan fokus parti untuk mencari dana operasi parti mereka dan membantu wakil rakyat mengkaji dan membangunkan polisi yang lebih baik. Hanya parti yang mencapai ambang tertentu akan menerima dana ini.

  1. Memperkenalkan Enakmen Penggal Tetap DUN yang memerlukan Menteri Besar untuk mendapatkan sokongan dua pertiga Dewan sekiranya beliau ingin membubarkan Dewan sebelum penggal Dewan tamat. Undang-undang ini tidak akan mengganggu kuasa Sultan untuk membubarkan DUN.

  1. Menghadkan jawatan Menteri Besar selama dua penggal bagi memberi laluan kepada calon-calon menteri besar yang baharu supaya negeri sentiasa mempunyai pelapis kepimpinan yang kompeten dan bertenaga.

  1. Memperkenalkan Kerusi Tambahan Untuk Wanita (Top-up Women Only Additional Seats-TWOAS)bagi mencapai kuota 30% perwakilan wanita di dalam DUN. Sekiranya perwakilan wanita di DUN selepas PRN Johor ke-16 kurang daripada 30% (sekurang-kurangnya 17 daripada 56 kerusi), wakil rakyat tambahan daripada kalangan wanita akan dilantik untuk mencukupkan kuota tersebut. Berlainan daripada Sabah, Terengganu, Pahang dan dicadangkan untuk Melaka, wakil rakyat TWOAS tidak boleh dimonopoli oleh parti pemerintah, sebaliknya kerusi-kerusi TWOAS yang perlu diisi akan diagihkan secara berkadar (proportional) kepada semua parti bertanding mengikut peratusan undi. Wakil-wakil rakyat TWOAS akan berkhidmat kepada semua pengundi Johor tanpa kawasan melalui jawatankuasa-jawatankuasa DUN. Wakil rakyat tambahan ini hanya boleh dilantik selama sepenggal bagi memberi ruang kepada orang baru. (Untuk butiran lanjut tentang TWOAS, sila rujuk Kertas Putih terbitan Pulau Pinang https://pwdc.org.my/wp-content/uploads/2021/11/TWOAS-Kertas-Putih-BM.pdf)

BERSIH menggesa agar semua parti dan calon pilihan raya untuk mengangkat agenda pembaharuan ini dengan segera. Perkara ini perlu menjadi inti kepada manifesto pilihan raya agar politik tidak berkecamuk dengan kepentingan pihak tertentu dan membelakangi rakyat serta institusi politik negara kita. Mereka yang enggan mengangkat cadangan ini supaya dapat mengaut keuntungan daripada kelompangan yang wujud dalam sistem politik kita perlu dihukum oleh pengundi di Johor.

BERSIH juga menggesa semua parti yang menerima Cabaran Johor ini untuk menandatangani satu Perjanjian Persaingan Sihat untuk menjanjikan persediaan mereka untuk menerima keputusan rakyat pada hari pengundian, tidak akan menarik ADUN-ADUN parti lain untuk berpaling tadah, sebaliknya akan bekerjasama antara satu sama lain dalam pindaan Perlembagaan Negeri dan Peraturan-peraturan Mesyuarat DUN dan penggubalan enakmen baharu demi merealisasikan Cabaran Johor ini.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH