Undang-Undang Anti Lompat Wajib Diluluskan Pada Sidang Parlimen Akan Datang

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyatakan kebimbangan kami terhadap kenyataan Menteri Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa masih lagi belum ada kata sepakat bagi terma “lompat parti” kerana setiap parti mempunyai tafsiran sendiri berkenaan makna dan ruang lingkupnya. Beliau menyebutkan perkara ini dalam segmen Agenda Astro Menstabilkan Demokrasi di Malaysia pada 15 Februari 2022.

Kami juga kesal dengan penundaan mesyuarat libat urus bersama Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) yang dikelola oleh Menteri Undang-Undang pada 17 Februari kerana peningkatan kes COVID-19. BERSIH dan CSO yang lain sangat ternanti peluang untuk bertemu dengan Kementerian tersebut dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan cadangan-cadangan pembaharuan termasuk draf Undang-Undang Anti Lompat. BERSIH berharap kenyataan Wan Junaidi dan penangguhan libat urus ini bukanlah dalih Kerajaan untuk tidak melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan mustahak sebelum PRU15.

Meluluskan satu undang-undang untuk mencegah lompat parti secepat mungkin adalah antara terma utama dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) yang ditandatangan oleh kerajaan Ismail Sabri dan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September 2021. Komitmen Kerajaan dan blok pembangkang terbesar di parlimen untuk melaksanakan Undang-Undang Anti Lompat, UNDI18, Penggal Perdana Menteri dua-penggal, pembaharuan parlimen dan beberapa pembaharuan lagi adalah sangat asasi untuk menstabilkan politik serta memperkasakan demokrasi kita.

BERSIH faham isu lompat parti adalah isu yang kompleks dengan pelbagai tafsiran, perundangan, pertimbangan antara parti dan pilihan raya, tetapi untuk mencari penyelesaian sempurna adalah hampir mustahil. Kami juga berpandangan pasca Langkah Sheraton, di mana lompat parti telah menyebabkan keruntuhan Kerajaan Persekutuan sebanyak dua kali dan secara langsung atau tidak langsung mencetuskan perubahan di lapan kerajaan negeri dalam masa dua tahun, penggubalan undang-undang ini sangat penting untuk mencegah lompat parti di Malaysia bagi mengembalikan kestabilan politik malah lebih utama kepercayaan rakyat kepada demokrasi kita.

Pada pandangan kami, perkara berikut secara asasnya perlu dipertimbangkan sebagai lompat parti bagi Undang-Undang Anti Lompat:

(1) Wakil rakyat meninggalkan partinya untuk menyertai parti lain atau menjadi bebas.

(2) Wakil rakyat bebas menyertai parti politik.

(3) Wakil rakyat meletakkan jawatan secara sukarela daripada parti dan/atau kerusi.

(4) Wakil rakyat dipecat oleh partinya.

Dalam Undang-Undang Anti Lompat tradisional, sekiranya perkara di atas terjadi, kerusi mereka akan diisytiharkan kosong secara automatik dan pilihan raya kecil akan berlangsung. BERSIH bagaimanapun lebih cenderung kepada Undang-Undang Anti Lompat melalui Prosedur Pecat yang tidak akan secara automatik mengosongkan kerusi pelompat parti tetapi menyediakan prosedur untuk pengundi pelompat parti mengosongkan kerusi tersebut. Hal ini akan mengelakkan tiga asas undang-undang anti lompat yang berbahaya: pertama, pimpinan parti mungkin menghapuskan saingan dalaman parti dengan memecatnya daripada parti dan secara berkesan daripada Parlimen; kedua, kuasa ini akan menjadikan Ahli Parlimen menjadi pengikut buta kepada ketua mereka, dan Parlimen menjadi pak turut kepada sebarang Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti tunggal dalam kerajaan; ketiga, sistem parti akan dibekukan dengan mencegah kemunculan parti baru akibat perpecahan politik dalam parti sedia ada seperti Amanah, Bersatu dan Warisan pada 2015-16.

Walaubagaimanapun, kami akan menyokong cadangan undang-undang anti lompat kerajaan namun dengan harapan perkara berikut akan diselesaikan:

(1) Mansuhkan Perkara 48(6) di mana wakil rakyat yang meletakkan jawatan daripada kerusinya dihalang untuk bertanding selama lima tahun. Hal ini akan memberi laluan kepada wakil rakyat untuk meletakkan jawatan kerana prinsip daripada partinya dan bertanding di kerusi yang sama untuk mendapat mandat baru daripada pengundi. Sekiranya Perkara ini tidak dimansuhkan, wakil rakyat akan berhadapan penghinaan dipecat sebelum dibenarkan bertanding semula.

(2) Negeri perlu diberikan kebebasan untuk menggubal undang-undang anti lompat sendiri, sama ada anti lompat tradisional, anti lompat melalui prosedur pecat seperti cadangan BERSIH dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Said Othman, atau kaedah lain. Sehingga kini, pindaan Perkara 10 untuk membenarkan sekatan kebebasan berpersatuan kerana lompat parti perlu disekalikan “Perlembagaan Negeri” disamping “Perlembagaan Persekutuan”. Pada masa yang sama, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda untuk memaksa salinan karbon undang-undang anti lompat tradisional Perlembagaan Persekutuan kepada Negeri.

BERSIH menggesa Menteri Undang-Undang dan kerajaan PM Ismail Sabri untuk membentangkan usul Undang-Undang Anti Lompat ini pada sidang Parlimen 28 Februari ini dan memastikan usul ini menjadi undang-undang selepas mengambil input daripada Ahli Parlimen, CSO dan orang ramai.

Kelulusan Undang-Undang Anti Lompat akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya dan memberi sebab untuk mereka keluar mengundi pada PRU15.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH