Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengalu-alukan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam melalui telegram Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pengumuman SOP kali ini yang dibuat lebih awal akan memberikan masa kepada calon-calon dan parti-parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya membuat persediaan yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, BERSIH mempunyai beberapa isu untuk perhatian pihak SPR terutama berkenaan hak pemilih untuk turun mengundi selain beberapa SOP yang boleh ditambahbaik bagi membuka ruang pelaksanaan demokrasi yang lebih baik tetapi masih mengutamakan kesihatan dan kebajikan rakyat.
- Pemilih positif COVID-19 dan pengundi PUI/PUS
Dalam garis panduan SOP yang ditetapkan SPR, pemilih yang positif COVID-19 tidak dibenarkan keluar untuk membuang undi mereka. Perkara ini adalah satu pelanggaran Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan hak kepada pemilih untuk mengundi. SPR sebagai badan yang diberikan kuasa untuk menjalankan proses pilihan raya seharusnya mewujudkan mekanisme yang terbaik supaya pemilih dapat menjalankan hak mereka dan bukannya menghalang mereka menjalankan tanggungjawab.
Selain itu, pengundi berstatus PUI/PUS juga masih perlu memohon kepada Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) untuk keluar mengundi dan bergantung kepada penilaian PKD untuk dibenarkan mengundi. Kebenaran mengundi atau tidak mengundi bukanlah kuasa PKD atau PDRM untuk menentukannya kerana perlembagaan telahpun memberikan hak kepada mereka.
BERSIH menggesa supaya SPR dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk segera menjelaskan sama ada SOP ini akan menghalang pengundi positif COVID-19 dan PUI/PUS untuk mengundi. Sekiranya ya, BERSIH menggesa untuk SPR/KKM membenarkan mereka membuat pilihan untuk mengundi dan menyediakan kemudahan yang bersesuaian.
- Kempen Fizikal
BERSIH mengalu-alukan pelonggaran SOP untuk calon-calon dan parti-parti politik berkempen secara fizikal dengan menganjurkan ceramah, kempen rumah ke rumah, pengedaran risalah dan kempen menggunakan pembesar suara. Pelonggaran ini adalah satu penambahbaikan dan penting agar para pengundi dapat memperolehi maklumat yang secukupnya tentang calon atau parti yang mereka akan undi.
Walau bagaimanapun, BERSIH berpandangan bahawa penganjuran ceramah tidak seharusnya terhad di bilik gerakan atau pejabat parti/calon sahaja. Bilik gerakan atau pejabat adalah sempit dan tidak semua berada di kawasan yang mempunyai ruang yang besar atau kawasan yang lapang. BERSIH menggesa SPR untuk mempertimbangkan semula perkara ini dan membenarkan penganjuran ceramah fizikal dibuat di kawasan lapang seperti padang atau tempat parkir kenderaan yang luas dengan SOP yang ketat seperti pemakaian pelitup muka, penggunaan pensanitasi tangan dan penyediaan kerusi dengan penjarakan fizikal 1 meter.
Walaupun kami memahami keperluan untuk permohonan permit ceramah daripada polis, namun kami berpandangan bahawa pemberian notis untuk ceramah sudah mencukupi untuk memaklumkan pihak polis. Kami mencadangkan agar pemberian notis perlu dibuat dalam tempoh 24 jam sebelum ceramah dianjurkan. Sebarang pertindihan perlu mengutamakan pihak yang menghantar notis terlebih dahulu.
Selain itu, penetapan SOP untuk pengundi di kawasan PKPD memohon kepada PDRM supaya boleh pergi ke pusat pengundian juga tidak diperlukan. BERSIH berpandangan bahawa cukup sekadar mereka menunjukkan keputusan RTK Antigen yang negatif dan dokumen seperti semakan daftar pemilih MySPR bagi membuktikan bahawa mereka pengundi dalam PRN Johor. Dengan ini, beban kepada pihak PDRM akan berkurangan dan mereka boleh menjalankan tugas mereka untuk membantu SPR dalam penguatkuasaan penjalanan pilihan raya.
BERSIH ingin mengajak semua pemilih di Johor untuk turun mengundi dalam PRN Johor kali ini. Mengundi adalah satu hak dan tanggungjawab semua rakyat untuk memilih wakil rakyat yang akan mengemudi negeri Johor. Undi adalah kuasa rakyat!
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH