Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Sementara Negeri Johor untuk menghentikan pengumuman dasar-dasar, projek dan peruntukan baharu di Johor kerana tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip pilihan raya bersih dan adil serta bercanggah dengan konvensyen kerajaan sementara di peringkat antarabangsa. BERSIH merujuk kepada pengumuman Dasar Agro Makanan 1.0 Johor yang telah dibuat oleh Datuk Seri Hasni Mohammad Menteri, Besar Sementara Negeri Johor. Beliau telah mengumumkan dasar tersebut di dalam satu majlis Apresiasi Penyumbang Sektor Agromakanan Negeri Johor 2022 (1).
Di negara yang mempunyai sistem politik demokrasi yang maju dan matang, terdapat garis panduan kerajaan sementara seperti “Australia Capital Territory 2012 General Election on Guidance on Caretaker Conventions” dan “London Cabinet Office on General Election Guidance 2010” yang bertujuan untuk memastikan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berkelakuan dengan sewajarnya semasa tempoh pilihan raya agar tidak membuat keputusan dan pengumuman semasa tempoh pilihan raya yang akan mengikat parti-parti yang akan membentuk kerajaan akan datang.
Tempoh pilihan raya untuk negeri Johor sebenarnya telahpun bermula apabila berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 22 Januari 2022 yang lepas selepas diperkenankan oleh Sultan Johor Sultan, Sultan Ibrahim Iskandar.
Antara perkara yang tidak boleh dilakukan oleh kerajan sementara adalah mengumumkan polisi baharu seperti Dasar Agro Makanan yang baru diumumkan oleh Menteri Besar Sementara Johor, mengumumkan peruntukan-peruntukan baharu dalam bentuk geran atau lain-lain kaedah, merasmikan majlis pecah tanah, merasmikan majlis-majlis pelancaran program-program dan inisiatif-inisiatif kerajaan dan menandatangani perjanjian-perjanjian penting yang akan mengikat kerajaan baharu.
Malah, pengumuman projek oleh kerajaan persekutuan semasa tempoh pilihan raya negeri juga perlu dielakkan sebagaimana yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (2). Pengumuman-pengumuman oleh Menteri Besar Sementara dan Menteri Kerajaan Persekutuan adalah satu bentuk kempen pilihan raya. Hal ini akan mewujudkan kelebihan kepada parti dan calon-calon daripada parti kerajaan serta menjadikan padang pilihan raya tidak sama rata kepada calon-calon daripada parti-parti politik yang lain.
BERSIH sekali lagi menggesa agar Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan dengan secepat mungkin panduan atau undang-undang yang mengawal tingkah laku kerajaan sementara bagi memastikan lapangan bersaing yang sama rata dan pilihan raya yang adil dan bersih untuk semua parti dan calon.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH
(1) https://www.sinarharian.com.my/article/188975/EDISI/Johor-gubal-Dasar-Agro-Makanan-Negeri-Johor-10