BERSIH Menang Saman, Tiada Tempat Untuk Politik Fitnah di Malaysia

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan pada hari ini yang menolak rayuan Jamal Yunos, Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar untuk mengenepikan saman mantan Pengerusi BERSIH, Maria Chin semasa himpunan BERSIH 5. Maria Chin dan BERSIH telah difitnah sebagai ejen kepada Kumpulan Pengganas Daesh.

BERSIH adalah kumpulan masyarakat sivil yang berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan menghormati keluhuran undang-undang. Sepanjang penganjuran siri-siri himpunan BERSIH, mereka yang menyertai perhimpunan ini memahami hak-hak sebagai warganegara termasuklah hak berhimpun dan berpersatuan seperti yang termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Tuduhan yang dilemparkan terhadap Maria Chin dan BERSIH secara umumnya adalah satu tindakan berunsur politik fitnah dan keputusan mahkamah hari ini membuktikan bahawa politik fitnah sudah tidak ada lagi tempat di Malaysia.

BERSIH mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Maria Chin, barisan peguam dan semua rakyat Malaysia yang terus mempertahankan hak berhimpun secara aman bagi mendesak kerajaan melaksanakan agenda pembaharuan untuk mewujudkan pilihan raya yang bersih dan adil.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH