Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa semua gabungan dan parti menunjukkan iltizam mereka kepada penggubalan enakmen Peruntukan Pembangunan Kawasan yang saksama dan menggariskan komitmen mereka dengan melaksanakan perkara yang sama di negeri yang ditadbir oleh mereka. Sebagai penyokong tegar untuk peruntukan kawasan yang saksama untuk semua wakil rakyat, BERSIH gembira apabila melihat idea itu muncul sebagai konsensus rentas parti dan elemen utama politik matang.
BERSIH mengalu-alukan perjanjian dalam manifesto kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) ke arah peruntukkan saksama untuk kerajaan dan pembangkang. Bagaimanapun, kedua-dua janji itu harus dibuat dengan lebih konkrit.
Barisan Nasional berjanji untuk “Meneruskan peruntukan tahunan RM 200,000 untuk ADUN Kerajaan dan Pembangkang dengan sama rata” (muka surat 31, Ikhtiar BN). Iltizam ini tidak menjelaskan bahawa RM 200,000 itu adalah jumlah keseluruhan yang akan diperolehi oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Maka, ada kemungkinan bahawa ADUN Kerajaan mendapat peruntukkan tambahan melebihi RM 200,000.
Sementara itu, PH berjanji, “Pemberian peruntukan kepada pihak kerajaan dan pembangkang secara seimbang dan wajar” (TT5) di bawah tajuk Cadangan 3: Menjalankan Kerajaan yang Bersih, Cekap dan Bermaruah. Kenyataan itu sangat tidak jelas dan tidak boleh dipastikan ia bermakna peruntukkan yang saksama untuk semua ADUN, pendanaan awam berkadar untuk parti kerajaan dan pembangkang, atau kedua-duanya.
Diskriminasi kewangan terhadap pembangkang sudah lama bertapak sebagai insentif negatif atau alasan untuk wakil rakyat pembangkang lompat parti atau gabungan. Dan kebanyakan parti termasuk BN dan PH pernah mengalami lompat parti apabila berada dalam Pembangkang.
Kami tidak akan ada kestabilan politik tanpa menghapuskan kelebihan penyandang jawatan dalam peruntukan pendanaan awam. BERSIH mendesak BN, PH, PN, PEJUANG, MUDA, WARISAN, PBM dan PUTRA untuk membentangkan (jika dalam kerajaan) atau menyokong (jika pembangkang) Enakmen Peruntukkan Pembangunan Kawasan Saksama yang:
- Dinyatakan dengan jelas jumlah peruntukkan dalam belanjawan tahunan Negeri;
- Ditetapkan secara khusus jumlah peruntukan tahunan yang akan diberikan kepada setiap ADUN;
- Melarang perbezaan peruntukan mengikut gabungan parti atau kedudukan dalam kerajaan;
- Membenarkan perbezaan hanya berdasarkan kriteria objektif seperti saiz kawasan pengundian atau keluasan kawasan; dan
- Menyediakan garis panduan perbelanjaan dan pelaporan yang telus untuk memastikan akauntabiliti.
BERSIH juga mengalu-alukan mana-mana gabungan atau parti yang komited kepada Enakmen Pendanaan Awam Parti Politik untuk memperuntukkan pendanaan awam tahunan kepada semua parti berkadaran dengan peratusan undi mereka pada pilihan raya negeri yang lalu.
Memandangkan gabungan dan parti politik di Malaysia biasa membuat janji pilihan raya yang kemudiannya diambil remeh selepas pilihan raya, bukankah lebih baik untuk mereka menunjukkan komitmen mereka dengan melaksanakan sekarang, perjanjian yang sama oleh kerajaan negeri yang mereka kuasai?
Dengan sendirinya, BN mentadbir empat negeri: Perlis, Perak, Pahang dan Melaka; PH berkuasa di tiga negeri: Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan; dan PN pula menjadi kerajaan di tiga negeri: Kedah, Kelantan dan Terengganu. Daripada 11 negeri ini, hanya Perak telah melaksanakan peruntukkan yang sama sejak Disember 2020 manakala perkara yang sama telah dijanjikan untuk Melaka oleh BN.
BERSIH memuji kerajaan Perak yang berfikiran ke hadapan dan menggesa BN dan PH mengumumkan pelaksanaan yang sama untuk empat negeri lain di bawah BN dan tiga negeri di bawah PH. Begitu juga, PN harus memberikan komitmen yang sama.
Itu akan menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka serius untuk melakukan pembaharuan dan melaksanakan perjanjian manifesto mereka.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH