Pembentangan RUU Anti Lompat Parti Tidak Boleh Ditangguh Lagi

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) merujuk kepada laporan berita Utusan Malaysia pada 13 Mac yang memetik sumber Jabatan Perdana Menteri bahawa pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat akan ditangguhkan ke tarikh lain yang sesuai.

Menurut Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Ismail Sabri berjanji untuk membentangkan RUU itu di Parlimen minggu lalu, satu kenyataan yang tidak dinafikan kerajaan.

Kami melihat penangguhan pembentangan RUU ini dengan kekecewaan dan kebimbangan yang serius. Kami menyeru kerajaan untuk membentangkan RUU ini secepat mungkin dalam sidang parlimen ini untuk meyakinkan orang ramai bahawa mereka masih komited dengan perjanjian reformasi yang ditandatangan bersama Pembangkang.

Kerajaan tidak sewajarnya menangguhkan pembentangan rang undang-undang tersebut kepada sidang parlimen akan datang. Memorandum Persefahaman Transformasi Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan menyatakan reformasi ini perlu dilaksanakan selewat-lewatnya pada persidangan pertama Sidang Parlimen Kelima.

Kami menyeru rang undang-undang ini dihantar untuk semakan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen selepas bacaan pertama bagi mendapatkan input dan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan melalui proses yang telus.

Semasa Pilihan Raya Negeri Melaka pada November 2021, Presiden UMNO Zahid Hamidi berjanji akan membentangkan enakmen anti lompat di peringkat negeri untuk mengukuhkan kestabilan politik di negeri tersebut. Pada Pilihan Raya Negeri Johor, Menteri Besar Datuk Hasni juga berjanji sebagai sebahagian daripada manifesto bahawa RUU Anti Lompat akan menjadi keutamaan Barisan Nasional jika mereka memenangi pilihan raya tersebut.

Memandangkan Barisan Nasional (BN) berjanji untuk menggubal undang-undang seumpama itu di peringkat negeri dan mereka telah pun menang di kedua-dua negeri, serta sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, mereka tidak seharusnya berlengah-lengah lagi dalam membentangkan RUU Anti Lompat dalam sidang parlimen kali ini bagi memudahkan kelulusan undang-undang tersebut di peringkat negeri di Melaka dan Johor seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan rayanya.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH