Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) memandang serius isu pelantikan Menteri Besar (MB) Johor baru-baru ini. Hal ini berikutan pelantikan MB Johor selain dari calon tunggal MB Barisan Nasional (BN) semasa PRN Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad. Namun, DYMM Sultan Johor telah memperkenan dan melantik Datuk Onn Hafiz Ghazi yang merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Machap menjadi MB Johor.
BERSIH melihat perkara ini berpotensi mewujudkan ketidakstabilan politik sekali lagi di Johor sekiranya sistem yang sedia ada tidak diperbaharui bagi mengesahkan sokongan Dewan Negeri terhadap MB Johor yang baharu.
BERSIH menggesa MB Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi membentangkan undi percaya terhadap dirinya sendiri bagi mengabsahkan sokongan ADN di dalam Dewan terhadap beliau. Undi percaya ini penting kerana sebelum ini BN telah menamakan Datuk Seri Hasni Mohamad sebagai calon MB Johor semasa kempen pilihan raya, dan dikatakan 38 ADN daripada BN telah menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Hasni sebagai MB.
BERSIH juga menggesa Kerajaan Negeri Johor di bawah Barisan Nasional untuk meminda Perlembagaan Negeri Johor dan Peraturan Mesyuarat Dewan Negeri bagi mewajibkan Undi Pengesahan Kepercayaan (Confirmatory Vote of Confidence) kepada MB baharu selepas selesai pilihan raya atau di pertengahan penggal bagi mengabsahkan MB yang dilantik serta mengurangkan kebarangkalian pertukaran kerajaan pada pertengahan penggal.
Selain itu, Undi Tidak Percaya Secara Konstruktif (Constructive Vote of No Confidence) juga perlu diperkenalkan di Dewan Negeri bagi menetapkan bahawa seseorang MB tidak boleh dijatuhkan kecuali jika undi tidak percaya juga mengandungi nama penggantinya yang diluluskan dengan majoriti mudah, justeru tiada pilihan raya mengejut diperlukan jika MB baharu dapat digantikan dengan kaedah sedemikian.
BERSIH berpandangan pindaan-pindaan ini adalah sangat mustahak untuk mengelakkan percaturan politik yang tidak berkesudahan dan akan menambahkan keyakinan rakyat kepada demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan serta dapat memastikan kestabilan politik yang lebih kukuh.
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH