Kenyataan Media Komuniti Perintis Untuk Parlimen Profesional 24 Mac 2022 PM, sila arahkan Menteri Utamakan Usul Bagi Merujuk Ahli Parlimen Pekan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan

Kami, selaku kumpulan masyarakat madani yang menandatangani kenyataan ini, menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk mengutamakan usul daripada Ahli Parlimen (MP) Damansara, Tony Pua Kiam Wee bagi merujuk MP Pekan, Datuk Seri Najib Razak menghadap Jawatankuasa Hak dan Kebebasan supaya usul tersebut (Usul Razak) boleh dibahas dan diputuskan sebelum Sidang Parlimen berakhir hari ini. 

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat pada 24 Mac 2022 yang dimuatnaik pada petang 24 Mac 2022, Usul Razak diletakkan sebagai perkara terakhir daripada 19 perkara dalam Aturan dan Usul Harian. Ini bermakna Usul Razak sebenarnya mungkin tidak sempat untuk dibahaskan dan diputuskan oleh Dewan Rakyat dalam sidang kali ini. 

Sekiranya Datuk Seri Ismail Sabri tidak berniat untuk melindungi Dato’ Seri Najib Razak daripada disoal oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker, beliau perlu mengarahkan salah seorang menterinya untuk mengemukakan satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 14(2) bagi meletakkan Usul Razak sebagai item paling awal dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

Kerajaan bertanggungjawab untuk membenarkan 220 wakil rakyat memutuskan sekiranya Dato’ Seri Najib Razak perlu disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi menentukan sama ada beliau telah mengelirukan Dewan bahawa Kerajaan tidak pernah membayar pinjaman 1MDB, satu kenyataan yang bercanggah dengan kenyataan Menteri Kewangan semasa dan yang lepas. Keputusan tersebut perlu ditentukan oleh Dewan dan bukannya Kerajaan yang menetapkan Aturan Dewan. 

Dengan menguburkan usul tersebut dalam aturan urusan mesyuarat Kerajaan bukan sahaja menafikan peluang 220 MP dan pengundi mereka untuk mempertanggungjawabkan bekas Perdana Menteri, malah hal ini juga memberi mesej bahawa Kerajaan berat sebelah dan menyokong tindakan Dato’ Seri Najib Razak yang dikatakan telah mengelirukan Parlimen. 

Gimik yang sangat tidak profesional dengan menanam usul mustahak sebagai aturan urusan mesyuarat terakhir, menekankan keperluan untuk menyemak Peraturan Mesyuarat “bagi memastikan prosiding dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara berjalan secara teratur dan berkesan”, satu janji yang tidak dipenuhi (perkara 3.4, Lampiran) dalam MOU yang sepatutnya perlu dilaksanakan serta merta selepas MOU ditandatangan. (perkara 3.7, Lampiran)

Justeru kami menggesa Menteri Kerajaan untuk menaikkan usul Peraturan Mesyuarat 14(2) agar Dewan boleh memutuskan untuk mengutamakan Usul Razak daripada aturan biasa. Isu sama ada MP telah membuat kenyataan mengelirukan Dewan adalah mustahak dan memerlukan tindakan segera daripada Dewan. 

Kenyataan ini adalah inisiatif Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional, sebuah jaringan individu yang aktif dalam kumpulan masyarakat madani, badan pemikir dan akademia yang memperjuangkan sebuah Parlimen yang profesional bagi mewujudkan persaingan dasar yang sihat antara pelbagai parti.

Boleh kunjungi Laman FB kami untuk kenyataan media dan bahan kempen lain: https://www.facebook.com/SC4PP 

Ditandatangani oleh:

  1. Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH)
  2. Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)
  3. Persatuan Pengundi Muda (UNDI18)
  4. Engage Network
  5. Bait Al Amanah 
  6. WISDOM Foundation
  7. Institute for Political Reform and Democracy (REFORM)