Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) telah menghantar pasukan Pemantau BERSIH untuk memerhati penjalanan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor kali ke-15. Pasukan Pemantau ini juga telah berdaftar dengan SPR. Sebanyak 21 kawasan Dewan Negeri di Johor telah dipantau secara fizikal di lapangan dan secara atas talian melalui kempen-kempen media sosial calon-calon pilihan raya dan parti-parti politik yang terlibat.
Pemerhatian Utama
Terdapat enam isu utama yang dapat kami perhatikan berlaku semasa di dalam tempoh berkempen sehinggalah pada hari pengundian:
- SOP Kempen Pilihan Raya Merugikan Pembangkang
Walaupun BERSIH mengalu-alukan pelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk kempen pilihan raya kali ini dengan kebenaran untuk mengadakan ceramah, walkabout, ziarah rumah ke rumah dan pengedaran risalah, namun kami mendapati bahawa SOP ini menguntungkan parti/calon yang berada di pihak kerajaan dan merugikan parti/calon pembangkang. Had 100 orang hadirin untuk ceramah lebih merugikan pembangkang apabila parti atau calon di pihak kerajaan bebas menggunakan jentera dan sumber kerajaan untuk berkempen atas nama program rasmi kerajaan.
- Pemilih Positif COVID-19 Tidak Dibenarkan Untuk Mengundi
Larangan pengundi positif COVID-19 untuk turun mengundi adalah bertentangan dengan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan di mana semua rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih berhak untuk membuang undi mereka di dalam pilihan raya. SPR seharusnya bertegas untuk membenarkan pesakit COVID-19 membuang undi dan menyediakan kemudahan-kemudahan yang bersesuaian kepada mereka agar dapat melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka.
Pemantau BERSIH telah memerhati dan merekodkan lima insiden di mana pengundi yang berstatus COVID-19 hadir ke pusat pengundian dan diarahkan pulang oleh penyelia pusat pengundian. Pusat pengundian tersebut adalah di SMK Taman Pasir Putih (DUN Tiram), Sekolah Agama Taman Molek, Sekolah Agama Bandar Seri Alam (DUN Johor Jaya) dan SK Taman Tun Aminah (DUN Skudai). Satu kes lagi adalah pengundi di DUN Larkin di mana beliau telah dikompaun RM1000 dan diarahkan pulang.
- Senarai Daftar Pemilih
Semasa dalam tempoh pilihan raya, terdapat satu kes dalam senarai daftar pemilih di mana wujud nama yang meragukan. Terdapat nama yang meragukan dalam senarai daftar pemilih seperti “Deseased” dan “Expired” dan kedua-dua ini dalam senarai daftar pemilih bagi PRN Johor. Kes-kes seperti ini perlu penelitian yang khusus dan perlu dicegah daripada berulang kembali dalam pilihan raya yang akan datang.
Kebersihan senarai daftar pemilih adalah asas utama kepada pelaksanaan pilihan raya yang bersih dan adil. Keyakinan pengundi kepada integriti senarai daftar pemilih amat penting supaya proses dan keputusan pilihan raya dapat diterima oleh semua pihak.
- Pengurusan Undi Pos
SPR hanya dapat mengeluarkan kertas undi pos pada hari ketiga selepas hari penamaan calon iaitu pada 1 Mac 2022. Hasil tinjauan kami mendapati kertas undi pos paling awal tiba ke tangan pengundi pos di Singapura pada 2 Mac 2022 dan ada pengundi pos yang berada di Perth, Australia hanya menerima kertas undinya pada 7 Mac, lima hari sebelum hari pengundian. Tempoh pengeluaran dan penghantaran kertas undi pos yang lambat menyebabkan pengundi pos meragui sama ada kertas undi mereka sempat untuk sampai ke pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya tepat pada masanya.
- Petugas Pilihan Raya Yang Tidak Terlatih
Isu yang masih timbul adalah petugas pilihan raya yang tidak cukup terlatih. Walaupun kami memahami kekangan dan cabaran daripada SPR untuk melatih petugas-petugas pilihan raya terutamanya Ketua Tempat Mengundi (KTM) dan kerani pengundian (KP), namun perkara ini perlu dinyatakan kerana terdapat beberapa perkara asas yang tidak sepatutnya berlaku seperti pen atau alat tulis masih berada di meja KP2 dan KP3, atau KTM tidak menulis bilangan pengundi di pintu masuk saluran. Semua ini perlu untuk menjamin ketelusan dan keyakinan pengundi kepada proses pilihan raya.
- Keadaan Pusat Pengundian
Terdapat juga kekeliruan apabila garis sempadan had pengundian 50 meter yang tidak jelas di pusat-pusat pengundian. Sebagai contoh pusat pengundian di SK Sri Gading yang garis had 50 meter itu sangat jauh daripada pagar sekolah berbanding SMK Munshi Sulaiman yang bermula di pagar sekolah tersebut. Selain itu, kami juga mendapati terdapat beberapa pusat pengundian yang masih kurang mesra terhadap pengundi OKU dan warga emas apabila semua saluran pengundian berada di tingkat atas.
Kesalahan Pilihan Raya
BERSIH telah memberi fokus kepada pemantauan salah laku dan kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh PRN Johor. Terdapat lapan perkara salah laku dan kesalahan pilihan raya yang dipantau oleh BERSIH:
- Rasuah dan beli undi
- Penjamuan dan pemberian hadiah
- Tekanan tidak wajar
- Penggunaan sumber dan aset kerajaan
- Kempen perkauman
- Kelakuan berat sebelah oleh pegawai awam
- Kesalahan pada hari pengundian
- Masalah daftar pemilih dan hari pengundian
Hasil pemantauan kami mendapati bahawa pemerhatian kesalahan pilihan raya dalam PRN Johor ini adalah lebih banyak dilakukan oleh parti-parti politik berbanding PRN Melaka (35 pemerhatian kesalahan) dan PRN Sarawak (59 pemerhatian kesalahan). Kelonggaran SOP kempen pilihan raya yang ditetapkan SPR telah diambil kesempatan secara salah oleh parti/calon untuk berkempen menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 dan konvesyen-konvensyen pilihan raya bersih dan adil di peringkat antarabangsa.
BERSIH telah mencatatkan 71 laporan yang berkaitan dengan salah laku dan kesalahan pilihan raya. Laporan kes-kes yang disenaraikan ini adalah kes yang dapat diperhatikan dan direkodkan oleh Pemantau BERSIH di 21 DUN yang dipantau sahaja.
Jumlah laporan kes-kes ini tidak mencerminkan dengan sepenuhnya dan secara menyeluruh kesalahan-kesalahan pilihan raya yang berlaku di dalam PRN ini kerana kawasan yang dipantau adalah terhad dan mungkin lebih banyak kes-kes yang tidak dapat dipantau dan dilaporkan.
Kesalahan yang menunjukkan peningkatan adalah penjamuan dan pemberian. Kesalahan yang kerap dilakukan program isi minyak motor dan tukar minyak enjin secara percuma, jamuan yang dianjurkan pihak ketiga dan bantuan-bantuan kepada golongan susah. Kesalahan kategori ini kami perhatikan banyak dilakukan oleh Perikatan Nasional (PN) iaitu sebanyak 33 kesalahan yang kami rekodkan. Antara contoh kesalahan yang dilakukan oleh PN adalah pembukaan Gerai Prihatin pada 4 Februari di Pasar Tani Pagoh dan jamuan makan malam anjuran sebuah persatuan Cina di Austin International Convention Center, Johor Bahru yang dihadiri lebih 800 orang. Calon daripada Pakatan Harapan (PH) juga ada membuat program isi minyak motor percuma.
Salah guna sumber dan jentera juga banyak dilakukan oleh parti penyandang kerajaan seperti BN dan PN. Sebanyak 11 kesalahan direkodkan dan penggunaan jentera dan sumber kerajaan paling banyak dilakukan oleh BN iaitu sebanyak sembilan kesalahan manakala dua kesalahan lagi dilakukan oleh PN. Menteri Besar Sementara, Datuk Seri Hasni Mohammad melancarkan program Pelancaran Program Keusahawanan ‘Mobile Truck’ Orang Muda sambil memakai topi BN dan berkempen dengan jentera BN pada 20 Januari 2022. Sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin menggunakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara untuk berdialog dengan orang ramai seperti dialog bersama warga pendidik di Kota Tinggi.
Bagi kesalahan rasuah dan beli undi, Pemerhati BERSIH menerima banyak laporan melalui kiriman Whatsapp audio dan video pemberian wang di beberapa kawasan namun kami tidak dapat mengesahkan laporan-laporan tersebut. Namun demikian, Pemerhati kami sempat menyaksikan satu kesalahan yang boleh diperhatikan sebagai kesalahan rasuah yang dilakukan di luar pusat pengundian SK Serkat di dalam DUN N.56 Kukup oleh jentera BN.
Selain itu, sebanyak 13 kesalahan membuka pondok panas dan perayu undi diperhatikan oleh Pemantau BERSIH. Barisan Nasional paling banyak membuka pondok-pondok panas dan merayu undi walaupun ada diantaranya berjarak lebih 50 meter daripada pusat pengundian. Malah ada pondok panas yang dibuka di dalam Rumah Orang Tua yang berjarak lebih sedikit daripada 50 meter daripada Pusat Pengundian SJK(C) Tampoi di DUN Kempas. Perayu undi daripada Parti Pejuang juga ada diperhatikan mengedarkan risalah parti berhadapan SK Larkin 1, DUN Larkin pada hari pengundian.
Hampir semua parti politik juga kelihatan mengangkut pengundi pergi dan balik daripada pusat pengundian. Kenderaan yang digunakan ada yang dilekatkan stiker calon dengan lambang parti dan ada yang kosong serta hanya mempunyai bendera parti politik sahaja. Pemantau BERSIH telah merekodkan sebanyak 5 kesalahan parti politik mengangkut pengundi ke pusat pengundian yang kebanyakannya dilakukan oleh BN dan juga PKR. Pengangkutan pengundi adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Bagi inisiatif Suara Untuk Semua, BERSIH sekali lagi telah bekerjasama dengan rakan media kami iaitu Astro Awani, Sinar Harian, Sin Chew Daily dan The Star untuk menyediakan platform kepada calon-calon daripada semua pihak yang bertanding dalam PRN Johor. Seramai 29 orang calon daripada lima parti iaitu PH, PKR, Warisan, MUDA dan PSM telah menghantar video kempen mereka kepada Suara Untuk Semua dan telah diterbitkan sebagai berita oleh rakan media BERSIH. Selain itu, pelbagai dialog dan wacana anjuran Astro Awani dan Sinar Harian juga telah diadakan dengan penglibatan hampir semua parti yang bertanding.
Cadangan Penambahbaikan
Secara keseluruhannya proses pengundian berjalan dengan lancar dan teratur. Namun demikian, pihak SPR dan Kerajaan Persekutuan perlu mengambil berat larangan kepada pengundi positif COVID-19 untuk turun mengundi. Sewajarnya SPR menjalankan tanggungjawab perlembagaan yang dipundakkan kepada mereka untuk membantu semua pengundi termasuk pengundi berstatus COVID-19 melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dalam proses pilihan raya. SPR juga perlu lebih memainkan peranan untuk meyakinkan pengundi turun mengundi dalam pilihan raya. Sasaran 70 peratus jumlah turun mengundi oleh SPR tersasar teruk apabila hanya 54.92 peratus pemilih sahaja yang turun membuang undi.
Berikut adalah cadangan utama BERSIH bagi memperkasakan pengurusan dan penjalanan pilihan raya yang akan datang:
- Kerajaan Persekutuan perlu segera meminda Seksyen 27 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi memberi kuasa yang lebih besar kepada SPR bagi menguatkuasakan undang-undang.
- Kerajaan Persekutuan perlu segera menubuhkan satu Jawatankuasa Bebas Audit Daftar Pemilih bagi menyemak dan mengaudit daftar pemilih untuk menjamin integriti senarai daftar pemilih berikutan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik (PPSA).
- Memanjangkan tempoh pilihan raya kepada minimum 21 hari dengan meminda Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) supaya pengundi pos di luar negara sempat menghantar kertas undi ke Malaysia
- Menyediakan pengangkutan kepada pengundi yang diberikan arahan kuarantin rumah sama ada PUI/PUS atau kuarantin di pusat kuarantin untuk bergerak ke tempat pengundian.
- Kerajaan perlu memberi akses kepada media yang lebih adil untuk semua parti dan calon yang terlibat dalam pilihan raya melalui RTM, BERNAMA, TV3 dan saluran media utama yang lain.
- Membuka pusat-pusat pengundian di dalam kampung atau kawasan yang sukar dicapai agar pengundi tidak perlu bergantung kepada pihak lain untuk turun ke pusat pengundian
- Pemerhati pilihan raya yang berdaftar di bawah SPR perlu dibenarkan untuk memantau semua peringkat penjalanan pilihan raya seperti penamaan calon, pembukaan undi pos dan undi awal
Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH