Undang-Undang Peruntukan Wakil Rakyat Saksama Perlu Digubal Segera

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menggesa Kerajaan Persekutuan dan semua Kerajaan Negeri untuk segera menggubal satu rang undang-undang (RUU) bagi memperuntukkan peruntukan wakil rakyat secara saksama kepada semua Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sama ada berada di pihak kerajaan, pembangkang mahupun bebas. Penggubalan undang-undang ini sangat mustahak kerana seringkali tiada peruntukan atau peruntukan yang tidak setara kepada wakil rakyat di pihak pembangkang menjadi alasan untuk mereka menyokong kerajaan dan perkara ini sangat tidak sihat untuk sistem demokrasi negara.

Terbaru MP Sri Aman Masir Kujat mengumumkan bahawa beliau telah keluar daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan menjadi wakil rakyat bebas [1]. Masir Kujat dalam satu kenyataan yang dipetik oleh Malaysiakini memaklumkan bahawa beliau kekurangan dana untuk membantu kawasan selepas meninggalkan Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang merupakan komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS). Dengan menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri, beliau berharap untuk mendapat peruntukan yang lebih di kawasan beliau [2].

Walaupun Perkara 3.5 Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU) ada memperuntukkan penyaluran peruntukan kepada MP yang terlibat dalam MOU, namun peruntukan itu belum diberikan secara undang-undang. Undang-undang peruntukan wakil rakyat secara saksama yang perlu digubal ini adalah satu bentuk penaiktarafan daripada MOU kepada undang-undang yang mengikat siapa pun yang menjadi kerajaan kelak.

BERSIH juga menggesa agar Barisan Nasional (BN) segera mengotakan manifesto mereka semasa pilihan raya di Melaka dan Johor untuk memperuntukkan peruntukan saksama dalam bentuk enakmen negeri yang akan menjanjikan kelangsungan pemberian peruntukan tersebut. Di Melaka, BN telah menjanjikan untuk memberikan peruntukan ini dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan. Malah, Menteri Besar Perak daripada BN boleh mempelopori penggubalan enakmen peruntukan wakil rakyat ini

BERSIH juga menggesa agar Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) untuk menggubal enakmen yang sama bagi memberikan peruntukan wakil rakyat yang saksama kepada semua ADUN tanpa melihat kepada kecenderungan politik. Pulau Pinang dan Selangor kini hanya memberikan sedikit peruntukan kepada ADUN pembangkang manakala di Negeri Sembilan tidak ada langsung peruntukan yang diberikan.

BERSIH mengajak rakyat untuk memastikan parti-parti politik yang mentadbir kerajaan di peringkat persekutuan mahupun negeri supaya menjadikan peruntukan wakil rakyat yang saksama ini sebagai salah satu kriteria utama untuk mereka undi. Peruntukan yang berat sebelah kepada parti tertentu sahaja adalah tidak adil dan sebenarnya satu hukuman kepada rakyat kerana memilih parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan.

Dikeluarkan oleh:

Jawatankuasa Pemandu BERSIH

[1] https://www.astroawani.com/berita-politik/ahli-parlimen-sri-aman-masir-kujat-umum-keluar-psb-354355

[2] https://m.malaysiakini.com/news/616329