Bersih Lancarkan Kempen #TagYourMP Mengenai Undang-Undang Anti Lompat Parti

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) hari ini melancarkan kempen #TagYourMP untuk mewujudkan kesedaran orang ramai dan mengumpul sokongan politik bagi mendesak Ahli Parlimen mereka menyokong RUU Anti-Lompat Parti yang akan dibentangkan di Parlimen pada 11 April 2022.

Kempen #TagYourMP dan #AntiHoppingNOW bertujuan menyediakan wacana di seluruh negara mengenai RUU Anti-Lompat Parti dan menyeru rakyat Malaysia untuk menggesa Ahli Parlimen mereka menyokong rang undang-undang itu sebaik sahaja ia dibentangkan.

Dalam kempen ini, kami mengajak orang ramai untuk melakukan perkara berikut:

  1. a) Menciap (Tweet) dan tag media sosial Ahli Parlimen mereka menggesa mereka menyokong RUU itu;
  2. b) Menghantar e-mel kepada Ahli Parlimen;
  3. c) Menyebarkan mesej/idea kepada keluarga dan rakan-rakan untuk melakukan perkara yang sama;
  4. d) Menandatangani petisyen

BERSIH juga akan menganjurkan forum dan acara untuk membincangkan kepentingan mekanisme anti lompat parti ini dan kepentingannya kepada orang ramai.

Kita perlu mempunyai undang-undang untuk menghentikan gejala lompat parti oleh wakil rakyat yang telah menggugat kestabilan kerajaan dan negara kita. Tanpa sebarang mekanisme anti lompat parti, rakyat akan terus kecewa dengan politik dan demokrasi kita. Berkemungkinan besar ramai yang tidak akan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. BERSIH ada juga memulakan petisyen di Change.Org: https://www.change.org/tableAHLnow untuk mendesak RUU Anti Lompat Parti yang telah disokong oleh lebih daripada 40,000 rakyat.

Ayuh tag Ahli Parlimen anda di media sosial dan tuntut mereka untuk menyokong RUU Anti Lompat Parti pada 11 April ini. Semua diseru untuk mendesak dan ayuh kita buat perubahan bersama !

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH