Proses Undi Pos Perlu Pembaharuan Menyeluruh untuk Memberi Hak 1 Juta Rakyat Malaysia di Luar Negara

Walaupun BERSIH mengalu-alukan peluasan hak pengundi pos kepada semua pengundi luar negara termasuk mereka yang berada di negara jiran seperti Singapura, Selatan Thailand, Brunei dan Kalimantan, kami masih mendapati beberapa kelemahan dalam proses undi pos. Pengalaman pengundi yang mengambil bahagian dalam survei pasca PRN Johor juga mengesahkan beberapa masalah yang kami perhatikan.

Ringkasan Isu-Isu:

  1. Kekurangan Masa. Isu ini selalu menjadi aduan oleh pengundi luar negara dan boleh dibahagikan kepada dua kategori – tempoh pendaftaran dan permohonan serta tempoh berkempen (tempoh untuk menghantar semula kertas undi sebelum Hari Pengundian)
    1. Tempoh Pendaftaran/Permohonan –Pada PRN Johor, tempoh untuk mendaftar sebagai pengundi pos adalah 10 hari, daripada 9-18 Februari, iaitu seminggu sebelum Penamaan Calon. Ramai telah mengadu bahawa tempoh 10 hari adalah tidak mencukupi untuk mereka memohon memandangkan mereka mengetahui pilihan undi pos hanya terkemudian.
    2. Tempoh Berkempen (tempoh untuk menghantar semula kertas undi) –Untuk Johor, tempohnya adalah selama 2 minggu daripada 26 Februari sehingga 12 Mac 2022. Dapatan survei kami, penerima terawal kertas undi pos beliau adalah pada 2 Mac di Singapura, 5 hari selepas Penamaan Calon dengan kebanyakan yang menerima kertas undi mereka hari berikutnya. Jelas daripada proses penghantaran kertas undi dan tempoh kempen yang singkat, pengundi di luar negara dengan perkhidmatan pos yang perlahan, undi pos adalah tidak bermakna kepada mereka.
  2. Kurang Kesedaran. Hanya 7,814 pengundi daripada sekurang-kurangnya 200,000 anak Johor yang tinggal di luar negara, atay kurang daripada 4 peratus yang memohon menjadi pengundi pos menunjukkan masih ramai yang tidak menyedari bahawa mereka boleh mengundi dalam PRN Johor sebagai pengundi pos. Jika kita mengambil kadar pengambilan semasa PRU14, peratusannya lebih mendukacitakan. Hanya 7,979 permohonan daripada sekurang-kurangnya 1 juta rakyat Malaysia di luar negara, bersamaan 0.8 peratus sahaja.
  3. Kurang keyakinan. Kami juga memerhatikan ada di antara mereka yang sedar dengan undi pos namun menunjukkan keraguan dengan integriti proses tersebut.

Cadangan Penambahbaikan Sistem Undi Pos

Kaedah pemprosesan dan pengurusan undi pos oleh SPR terlalu bergantung kepada manusia dan proses manual yang mempunyai keupayaan terhad dan membawa kepada kesalahan manusia. Kami menganggarkan proses yang sedia ada, SPR tidak dapat menguruskan permohonan undi pos lebih daripada 10,000 tanpa berhadapan dengan tunggakan dan  penangguhan yang serius. Perkara ini akan mencerut pengurusan yang boleh menafikan ratusan ribu pengundi yang berpotensi. Seluruh proses ini perlu dirombak sebelum PRU15.

  1. Menghapuskan keperluan untuk mencetak kertas undi, Borang 2 dan sampul dengan membenarkan pengundi pos yang telah lulus untuk memuat turun dokumen versi PDF daripada akaun MySPR mereka. Ini akan menjimatkan 5 hingga 14 hari untuk mencetak, memasukkan sampul dan masa untuk penghantaran. Ini juga akan menjimatkan kos yang diperlukan untuk menggaji pekerja untuk melakukan tugas secara manual, kos material dan menghapuskan kesalahan pengurusan manusia seperti memasukkan kertas undi ke sampul yang salah atau menulis nombor siri yang silap pada Borang 2 dsbg.
  2. Untuk memperkukuhkan pengenalan, salinan pasport dan MyKad perlu dilampirkan dengan amaran denda dinyatakan dengan jelas kepada mereka yang ingin melakukan penipuan dan penyamaran atau membuat salinan kertas undi.
  3. Apabila undi pos dikira pada Hari Pengundian, ejen calon perlu hadir untuk memerhati dan menyilang nama di salinan senarai pengundi pos mereka di daerah mengundi untuk memastikan hanya satu orang satu undi dan dokumen pengenalan mereka yang disertakan sepadan dengan maklumat di senarai daftar pemilih. Perkara ini akan meminimumkan kemungkinan penipuan pilihan raya besar-besaran yang akan menghancurkan integriti pilihan raya.

Untuk meningkatkan penyertaan dan menambahbaikan akses pengundian oleh rakyat Malaysia di luar negara, kami menggesa pembaharuan prosedur berikut:

  1. Tempoh permohonan menjadi pengundi pos luar negara perlu dipanjangkan bermula sebaik sahaja Dewan dibubarkan dan ditutup sejurus sebelum Hari Penamaan.
  2. Tempoh kempen minimum 21 hari untuk memberikan masa yang mencukupi bagi kertas undi dikembalikan sebelum Hari Pengundian.
  3. Semua arahan, sama ada atas talian atau luar talian (offline), perlu dwibahasa dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
  4. Saksi yang menandatangan Borang 2 tidak semestinya rakyat Malaysia memandangkan ada situasi di mana pengundi tersebut mungkin satu-satunya rakyat Malaysia di bandar atau kawasan tersebut.

Pelaksanaan Undi18 dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA), senarai daftar pemilih di Malaysia akan meningkat ke 21.1 juta pengundi daripada 14.9 juta pada PRU14. Kesannya, PRN Johor baru-baru ini menunjukkan kadar keluar mengundi terendah dalam pilihan raya negeri dalam sejarah iaitu hanya 55 peratus. Melainkan SPR melakukan usahan yang serius untuk meningkatkan akses pengundian kepada semua pemilih, kita akan menyaksikan kadar keluar mengundi antara 55 hingga 60 peratus dalam semua pilihan raya.

Pembaharuan prosedur ini adalah dalam ruang lingkup SPR dan tidak memerlukan pindaan undang-undang yang besar terhadap undang-undang yang sedia ada, dan ia sempat dilaksanakan sebelum PRU akan datang yang paling lewat pada September 2023.

Sila baca laporan penuh Penilaian Undi Pos dalam PRN Johor yang dilampirkan bersama. Kami juga mencadangkan untuk merujuk laporan komprehensif sebanyak 3 jilid oleh Global Bersih bertajuk Overseas Voting Reform Proposals yang boleh dimuatturun di pautan berikut: https://www.globalbersih.org/resources/overseas-voting-reform-proposal/

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH